Friday, May 4, 2012

Moral & Semangat Buat Bekalan

HANYA moral dan semangat pemain Terengganu sahaja yang boleh memastikan kemenangan apabila turun menentang Perak dalam saingan Liga Super di laman sendiri malam ini kerana pasukan itu sudah mendapat cukup banyak tekanan.

Selepas gagal ke peringkat akhir Piala FA apabila tewas kepada Sime Darby sebelum ini, pasukan itu kini kehilangan jurulatih utama, Mat Zan Mat Aris yang direhatkan empat per- lawanan sehingga 15 Mei ini.

Pembantu jurulatih Terengganu, Khalid Mohd. Dahan yang kini memangku tugas Mat Zan memberitahu, selain itu, ramai pemainnya tidak dapat turun beraksi malam ini atas pelba- gai masalah.

"Francis Forkey Doe, Shamsul Kamal Mohamad, Abdul Manaf Mamat dan Ahmad Nordin Alias mengalami kecederaan, manakala Reeshafiq Alwi masih belum pulih sepenuhnya.

"Mazlizam Mohammad pula tidak boleh diturunkan sebab ada tiga kad kuning," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.

Dalam pada itu katanya, sedikit perubahan taktikal dan formasi perlu dilakukan memandangkan ramai pemain utama yang tidak dapat diturunkan, namun beliau mengharapkan agar para pemain boleh menunjukkan aksi penuh semangat.

"Ketika ini kita tidak banyak kelebihan, jadi hanya moral dan semangat yang akan membantu pasukan Terengganu untuk bermain le- bih baik menentang Perak malam esok (malam ini)," katanya.

Jelasnya, peluang dengan Perak adalah 50-50 berdasarkan dua pertemuan sebelum ini yang mana Terengganu pernah tewas sekali dalam pertemuan Piala FA 0-1 dan menang 1-0 semasa pusingan pertama Liga Super di Perak.

No comments:

Post a Comment