Wednesday, May 9, 2012

Tawar Hati

PADA hari Mat Zan Mat Aris menyuarakan isi hati betapa dia sudah tawar hati untuk terus membimbing Terengganu, timbul spekulasi terbaru, semalam bekas pengendali Kelantan, Peter Butler bakal menggantikan tempatnya.

Mat Zan secara terus terang berkata dia bercadang berundur diri tetapi mahu Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) terlebih dahulu memenuhi syarat. Dia turut terasa khidmatnya tidak lagi diperlukan apabila mendengar khabar angin pengurusan pasukan akan memanggil seorang jurulatih asing.

Dengan nada agak terkilan bekas pemain kebangsaan itu berkata: “Perbincangan ringkas mengenai kedudukan saya hanya berlangsung antara pengurus pasukan (Datuk Che Mat Jusoh), penolongnya (Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusoff) dan Setiausaha (Abdullah Salleh) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum skuad Penyu berlepas ke Hong Kong, kelmarin.

“Tiada sebarang surat dikeluarkan dan tiada alasan diberi pengurusan termasuk punca saya digantung selama dua minggu sehingga Selasa depan, tetapi berdasarkan perbualan singkat, khidmat saya bersama skuad Penyu seolah-olah tidak diperlukan.

“Jika PBSNT mahu saya melepaskan jawatan, saya bersedia tetapi pengurusan persatuan itu perlu memenuhi beberapa syarat kerana kerana kontrak saya bersama skuad penyu hanya akan berakhir musim depan,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Sementara itu, Mat Zan berkata dia tidak akan mengeluarkan surat melepaskan jawatan. “Jika PBSNT merasakan saya perlu melepaskan jawatan, mereka perlu mengeluarkan surat untuk ditandatangani, tetapi perlu saya jelaskan beberapa syarat harus dipatuhi persatuan.”

No comments:

Post a Comment