Thursday, October 6, 2011

Hadi Tampil Aksi Terbaik


SEKALIPUN tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan, ia tidak sedikitpun melemahkan semangat penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya kini tidak sabar membantu pasukannya menentang Kelantan dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia, Isnin ini.

Penjaring terbanyak Liga Super itu berkata, azamnya untuk membantu Terengganu melangkah lebih jauh tahun ini semakin membara walaupun tidak dipanggil membarisi skuad negara menentang Australia.


“Rasa kecewa tetap ada selepas tidak dipanggil membarisi skuad negara lebih-lebih lagi bertemu pasukan sehebat Australia.

“Mungkin bukan rezeki saya kali ini, bagaimanapun saya bertekad untuk membantu Terengganu memburu impian melangkah ke final.


“Pada perlawanan menentang Kelantan di laman sendiri, saya sudah memasang impian mempamerkan aksi terbaik untuk membawa bekalan selesa sebelum bertandang ke Kota Bharu pada 14 Oktober,” katanya. Pada saingan Liga Super musim ini, pemain berusia 26 tahun itu berjaya meledak 20 jaringan mengatasi pencabar terdekat dari Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha, sekali gus dinobat pemenang kasut emas.


Bagaimanapun, dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia, taring pemain kelahiran Klang, Selangor itu agak tumpul selepas gagal menghasilkan sebarang jaringan dalam enam perlawanan. “Penyudah saya kurang menjadi di peringkat kumpulan biarpun sudah berhempas pulas memburu jaringan.

“Namun, saya berazam untuk mengakhiri badi tanpa jaringan ini pada pertemuan dengan Kelantan,” katanya.

No comments:

Post a Comment