Wednesday, October 12, 2011

strategi Irfan Kalahkan kelantan







Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, mengakui terpaksa mengatur strategi baru bagi menggantikan kekosongan dua pemain utamanya yang dikenakan kad merah pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2011, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam kelmarin.

Terengganu terpaksa bermain tanpa dua tonggak utama dalam perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di Kota Bharu, Kelantan, 14 Oktober ini selepas Ismail Faruqi Asha’ari dan Mohd Zubir Azmi dilayangkan kad merah.

Menurut Irfan, beliau terpaksa memikirkan alternatif lain bagi memastikan aksi pasukannya tidak tempang dalam perlawanan timbal balik itu.

“Saya akan berbincang dengan penolong saya mengenai perkara ini (pertukaran baru) bagi memilih pemain mana akan diturunkan bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan dua pemain utama kita bagi memastikan kita tidak berputih mata nanti.

“Malah, saya juga akan memastikan semua pemain mencari gol awal. Meskipun tekanan lebih dirasai pasukan pelawat namun kita tidak akan bermain secara bertahan, sebaliknya perlu menggandakan asakan,” katanya ketika ditemui sebaik selesai perlawanan suku akhir pertama membabitkan dua seteru Pantai Timur itu, malam kelmarin.

Terengganu yang mencatatkan kemenangan 3-1 dalam perlawanan, melangkah lebih selesa untuk bertarung dalam saingan suku akhir kedua di tempat lawan.

Pertemuan dua gergasi bola sepak Pantai Timur itu menyaksikan perlawanan di atas padang dan tempat duduk penyokong berlangsung dalam suasana penuh tegang, apabila lima kad merah dan 10 kad kuning dikenakan kepada pemain kedua-dua pasukan.

No comments:

Post a Comment