Thursday, October 20, 2011

Selangor Tertekan



SELANGOR tidak mempunyai pilihan selain memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menyerang seawal minit pertama sekiranya mahu memastikan tempat ke final Piala Malaysia di gelanggang sendiri, Stadium Shah Alam pada hujung bulan ini menjadi milik mereka.

Skuad kendalian P Maniam itu perlu meledak tiga gol tanpa bolos untuk merealisasikan impian itu apabila bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dalam saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia pada Sabtu ini.

Malah mereka tidak lagi boleh memberikan ruang kepada pemain lawan untuk menguasai permainan seperti yang berlaku ketika tewas 0-2 malam kelmarin kerana jentera pemusnah Terengganu sememangnya diakui antara yang berbahaya dalam kancah bola sepak tempatan ketika ini.

Kekalahan itu bagaimanapun belum memaksa Maniam untuk mengangkat bendera putih menjelang aksi timbal balik yang menjadi peluang terakhirnya menyalakan kembali “Misi 33”.

“Sudah pasti ia bukan tugas yang senang untuk kami terutamanya apabila mereka mendahului dua gol di sini (Stadium Shah Alam) namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil (mengatasi lawan) sekiranya pemain mampu memberikan aksi yang terbaik. Kami masih berpeluang,” katanya.

Tambahnya antara aspek penting yang perlu ditingkatkannya adalah sentuhan penyudah selepas mendapati barisan pemainnya mampu mencipta beberapa peluang meledak gol terutamanya pada separuh masa pertama.

1 comment: