Tuesday, October 18, 2011

Strategi 4 Pakar



MALAM ini, empat pasukan - Selangor, Terengganu, T-Team dan Negeri Sembilan - akan berarak turun ke gelanggang dengan memasang impian sama iaitu mencari cengkaman awal layak ke final Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.


Tidak dinafikan congakan strategi permainan dan semangat bakal ditiup empat jurulatih -

P Maniam, Irfan Bakti, Yunus Alif dan Mohd Azraai Khor Abdullah boleh menjadi faktor penentu pada saat getir ini dan kita bakal melihat daripada jumlah ini siapa dua pengendali akan hadir di Stadium Shah Alam dalam tempoh 12 hari lagi untuk menjulang trofi prestij itu.


Keempat-empat jurulatih ini jelas memainkan peranan besar dalam peringkat suku akhir untuk membawa pasukan masing-masing ke kelompok empat terakhir bagi edisi kali ini dan segala perancangan mereka dianggap penting ketika ini.

Ramalan majoriti ketika ini lebih terarah kepada Terengganu untuk layak tetapi Irfan harus berdepan Selangor pimpinan P Maniam yang belum kalah dalam peringkat kumpulan sehingga suku akhir. Negeri Sembilan disebut mampu layak atas faktor pengalaman tetapi T-Team pimpinan Yunus ada elemen mampu membuat kejutan.

Penyudahan perlawanan ini juga akan memberi gambaran dua pasukan prospek ke final tetapi apa yang menjadi bahan perbualan hangat adalah apakah mungkin buat pertama kali dalam sejarah Piala Malaysia, dua pasukan dari negeri yang sama (Terengganu dan T-Team) akan layak.

Segalanya terletak kepada Selangor dan Negeri Sembilan menafikan skrip itu.

No comments:

Post a Comment