Sunday, October 16, 2011

Kekuatan Mental Punca Kemenangan



TEKA-TEKI mengenai siapa lebih layak memegang status sebagai gergasi Pantai Timur 2011 akhirnya terjawab.

Kelmarin, Terengganu membuktikan mereka lebih layak memegang status itu selepas mengesahkan kemaraan ke pusingan separuh akhir setelah menewaskan musuh tradisi yang juga juara bertahan, Kelantan pada pertembungan klasik suku akhir Piala Malaysia 2011.

Kejayaan itu hadir selepas anak-anak buah Irfan Bakti berjaya mengikat tuan rumah dengan keputusan 2-2 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bahru sekali gus mara dengan kemenangan agregat 5-3.

Apa yang pasti, kemenangan itu jelas membuktikan betapa anak-anak buah Irfan Bakti memiliki pakej lengkap dari segi fizikal dan mental.

Tanpa berselindung, Irfan mendedahkan bahawa kejayaan mereka mengikat Kelantan dengan keputusan 2-2 di Kota Bharu banyak didorong oleh faktor psikologi yang diterapkan dalam diri sebelas pemain utamanya.

“Saya orang Kelantan dan saya pernah bermain untuk Kelantan, jadi saya tahu di mana kekuatan dan kelemahan pasukan Kelantan.

“Semua akui bahawa Kelantan mempunyai kekuatan luar biasa yang tidak ada pada pasukan lain iaitu faktor penyokong. Mana-mana pemain atau pasukan yang gagal menyerap tekanan daripada ribuan penyokong Kelantan pasti akan tumbang,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Pada perlawanan suku akhir kedua kelmarin, kesebelasan utama Terengganu diketuai Marzuki Yusof terpaksa berdepan ribuan penyokong Kelantan yang membentuk gelombang merah di Stadium Sultan Muhammed IV.

Bagaimanapun, perancang berbisa, Ashaari Shamsuddin berjaya menutup mulut para penyokong Kelantan menerusi dua gol jaringannya pada babak pertama permainan.

“Dua hari sebelum perlawanan di Kota Bharu ini, saya telah mengingatkan para pemain agar kuatkan mental dan psikologi. Jangan tunduk kepada sorakan penyokong lawan dan jangan sesekali fikirkan mengenai kehadiran mereka.

“Alhamdullilah, pemain telah lakukan apa yang sepatutnya dan berjaya menyerap setiap sorakan penyokong lawan sehingga berakhir 90 minit permainan. Kekuatan inilah yang sangat-sangat saya hargai daripada para pemain,” tambah Irfan.

Dalam pada itu, Irfan turut memuji sikap profesional Abdul Manaf Mamat yang sedia diturunkan pada perlawanan kelmarin sekalipun masih diselubungi kesedihan ekoran kematian bapa tersayang 24 jam sebelum aksi di Kota Bharu.

“Saya tidak memaksanya untuk bermain, tetapi dia (Manaf) tetap mahu diturunkan dan sedia memberi fokus kepada perlawanan.

“Kehadirannya jelas menyuntik semangat para pemain dan ia sesuatu yang luar biasa apabila melihat pasukan kami bermain dengan baik,” jelasnya.

Mengulas pertemuan menentang Selangor pada aksi separuh akhir 18 Oktober ini, Irfan menganggapnya sebagai satu lagi pertembungan genting berdasarkan reputasi dan kebangkitan yang dipamerkan pasukan lawan.

“Kami akan mendapat kembali khidmat Ismail Faruqi dan Zubir Azmi pada perlawanan itu dan ia memberi lebih banyak pilihan kepada saya untuk menurunkan barisan terbaik,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment