Friday, October 14, 2011

Sedia Gempur





Pengurus Pasukan Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh enggan meletakkan pasukannya dalam kedudukan selesa, meskipun berjaya menundukkan Kelantan 3-1 dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, Isnin lalu, sebaliknya membawa misi ‘pergi dengan tangan kosong’ ke tempat lawan malam ini.

Malah katanya, kelebihan belum berpihak kepada Skuad Penyu, meskipun berjaya mengetepikan seteru utamanya itu, sebaliknya skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu perlu menang sekurang-sekurangnya 2-0 ke atas pasukan The Red Warriors bagi membolehkan penyandang juara Piala FA 2011 itu mampu melangkah selesa ke peringkat seterusnya dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

“Kedudukan kita sebenarnya belum selesa untuk melangkah ke peringkat seterusnya, sebaliknya perlawanan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu, malam ini, bakal menjadi penentu dan kita perlu membuktikan dalam perlawanan malam ini.

“Malah, barisan pemain juga telah bersiap sedia sepenuhnya untuk bertemu Kelantan di tempat lawan dan kita tiada sebarang masalah untuk berhadapan dengan penyokong fanatik pasukan tuan rumah kerana tumpuan pemain adalah di atas padang,” katanya.

Menurutnya, kehilangan dua tonggak utama iaitu Ismail Faruqi Asha’ari dan Mohd Zubir Azmi yang dikenakan kad merah dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Isnin lalu, tidak menjejaskan aksi pasukannya kerana kedua-dua tempat itu telah diisi pemain gantian yang lain.

“Kita tiada masalah (ganti tempat) kerana kita mempunyai seramai 23 pemain dan tempat Ismail Faruqi dan Mohd Zubir telah diisi oleh pemain yang kita telah kenal pasti mampu beraksi. Namun siapa yang akan menggantikan tempat dua pemain itu, biarlah ia menjadi rahsia.

“Bagaimanapun, apa yang pasti kita akan memberi tentangan habis-habisan dalam perlawanan malam ini, meskipun terpaksa berhadapan dengan ribuan penyokong tuan rumah,” katanya.

Irfan berkata, meskipun kehadiran penyokong tuan rumah yang pastinya akan menggamatkan lagi aksi malam ini dianggap memberi kelebihan kepada skuad kendalian Datuk M Karathu, namun baginya situasi itu tidak sesekali menggugat tumpuan barisan pemainnya untuk memburu gol kemenangan.

Sebelum itu, perlawanan suku akhir pertama yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, Isnin lalu, menyaksikan permainan berlangsung dalam suasana penuh tegang apabila sebanyak lima kad merah, 10 kad kuning dikenakan kepada pemain kedua-dua pasukan.



Hadi, Manaf cari gol berharga

Sementara dua tonggak utama Terengganu, Abdul Hadi Yahaya dan Abdul Manaf Mamat bertekad untuk memberikan aksi terbaik dalam pertemuan timbal balik suku akhir Piala Malaysia di Kota Bharu malam ini.

Misi mereka adalah sama iaitu ingin memberikan gol berharga kepada pasukannya, sekali gus memastikan Terengganu terus selesa melangkah ke peringkat seterusnya dalam memburu kejuaraan Piala Malaysia 2011.

Bagi penyerang berbisa Terengganu, Abdul Hadi Yahaya, meskipun pasukannya berjaya mencatat kemenangan ke atas lawan di laman sendiri, namun ia belum memberi jaminan kedudukan yang selesa buat Skuad Penyu.

“Kedudukan kita masih belum dianggap selesa, sebaliknya kita perlu bermain habis-habisan dalam perlawanan penentuan malam ini dan misi peribadi saya adalah untuk mencari gol awal.

“Meskipun tekanan dilihat lebih kepada kita sebagai pasukan pelawat, namun kita tidak menganggapnya sebagai masalah besar, sebaliknya perlu memberi tumpuan sepanjang berlangsungnya perlawanan kerana apa sahaja boleh terjadi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Abdul Manaf Mamat turut membawa misi yang sama iaitu ingin memastikan kemenangan menjadi milik Terengganu, malah beliau enggan cepat berpuas hati dengan kemenangan yang dicatatkan sebelum ini, sebaliknya memberikan sepenuh tumpuan dalam aksi penting malam ini.

Menurutnya, mendahului lawan dalam perlawanan suku akhir pertama sebelum ini, belum memberi sebarang keselesaan buat pasukannya dan atas sebab itu dalam perlawanan malam ini, pasukannya perlu mencatat kemenangan.

“Walaupun kita berkelebihan dua gol, namun itu belum selamat buat kita dan saya akan memastikan kemenangan malam ini menjadi milik Terengganu,” katanya.

No comments:

Post a Comment