Tuesday, April 3, 2012

Berputih Mata Di Tempat Sendiri


TERENGGANU gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika turun melayan kunjungan Johor FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada saingan Liga Super, kelmarin.



Ternyata ketiadaan beberapa pemain penting dalam kesebelasan utama yang diturunkan pada perlawanan itu antara punca Skuad Peteh terpaksa `berputih mata’ setelah gagal mengutip mata penuh walaupun mempunyai peluang memenangi perlawanan tersebut.

Malah, ketiadaan penyerang import berbisa Terengganu, Francis Forkey Doe yang digantung satu perlawanan setelah mengutip dua kad kuning tempoh hari jelas dirasai dan ketika skuad Penyu menagih khidmat seorang lagi penyerang harapan mereka, Abdul Manaf Mamat, dia tidak dapat diturunkan kerana masih dibelenggu kecederaan sejak perlawanan Piala Konfederasi Asia (AFC) dua minggu lalu.

Pun begitu, pengendalinya, Mat Zan Mat Aris menerima hakikat keputusan perlawanan itu dan bersikap realistik apabila menyifatkan faktor utama pasukannya gagal merobek gawang pasukan pelawat disebabkan bahagian atas termasuk jentera tengah kurang kreatif melorong bola tembusi benteng pertahanan Johor FC.

Menurutnya, sepanjang perlawanan 90 minit itu, tidak banyak peluang menarik dapat dicipta untuk diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan meskipun skuad kendaliannya menguasai hampir sebahagian besar perlawanan tersebut.

No comments:

Post a Comment