Monday, April 23, 2012

Segenlintir Penyokong Mengamuk

Tidak cukup dengan melaungkan perkataan yang mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh meletak jawatan di luar stadium berikutan kekalahan skuad Penyu 1-2 di tangan KL Sime Darby malam kelmarin, lebih 100 penyokong fanatik bertindak ‘menyerang’ kediamannya di Panji Alam.

Penyokong fanatik itu didakwa bertindak liar dengan membaling batu dan merosakkan pintu pagar kediaman Presiden PBNST itu dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.30 malam kelmarin.

Bagaimanapun, insiden itu berjaya dikawal daripada berlarutan apabila polis, penduduk kampung dan jiran tetangga di kawasan itu bertindak mengejar kumpulan terbabit.

Serangan itu adalah kemuncak bantahan yang dilakukan di luar Stadium Sultan Ismail, di mana lebih 500 peminat fanatik berkumpul dengan kain rentang dan poster yang mendesak peletakan jawatan Che Mat dan jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris.

Dalam pada itu, Che Mat melabelkan mereka yang bertindak di luar kawalan itu sebagai ‘pengkhianat’ dan bukannya penyokong sebenar kepada pasukan Terengganu.

Menurutnya, sekiranya mereka ini benar-benar peminat setia bola sepak Terengganu, insiden tidak bertamadun sebegini tidak akan berlaku, malah menerima kekalahan sebagaimana lumrah dalam satu-satu perlawanan.

“Peminat sebenar tidak akan bertindak tidak seumpama ini dan tidak melakukan bantahan sebegini rupa, apatah lagi menyerang rumah saya.

“Memang saya terkejut dengan tindakan mereka tetapi saya tidak akan berganjak dengan desakan mereka itu dan saya tidak akan meletak jawatan,” katanya ketika ditemui di kediaman di sini, semalam.

Che Mat berkata, tindakan yang dilakukan segelintir peminat ini secara tidak langsung hanya akan meninggalkan kesan negatif ke atas pemain.

“Pemain telah mencuba yang terbaik dan peminat sepatutnya menyokong pasukan walaupun tewas dalam perlawanan malam tadi (kelmarin).

“Meskipun kami tewas kepada Sime Darby tetapi kita masih ada lagi peluang pada pusingan kedua nanti dan jika kita menang, insya-Allah kita akan ke final nanti,” katanya.

Sementara itu, Che Mat berkata, beliau bingung dengan kemarahan yang ditunjukkan peminat sedangkan skuad Penyu masih berada di landsan terbaik dalam Liga Super, termasuk berjaya ke saingan Piala AFC.

“Jangan hanya kerana Sime Darby merupakan pasukan berstatus kelab, peminat kecewa dengan keputusan perlawanan malam tadi kerana mereka juga adalah sebuah pasukan yang kuat.

“Sebaliknya mereka (peminat) perlu melihat bahawa Sime Darby juga mempunyai pemain yang hebat dan jangan fikir Terengganu perlu menang setiap kali menentang pasukan yang dianggap kerdil itu. Dalam bola sepak banyak perkara boleh berlaku,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan penyokong pasukan Terengganu supaya jangan cepat panik dan yakin bahawa pasukan kendalian Mat Zan Mat Aris itu akan bangkit semula ketika menentang Sime Darby pada perlawanan pusingan kedua separuh akhir Piala FA pada 1 Mei depan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, K Manoharan berkata, kejadian serangan ke kediaman orang kuat bola sepak Terengganu itu dipercayai berlaku kira-kira jam 11.45 malam, ketika Che Mat pulang ke rumahnya di Kampung Nibong, di sini, sejurus perlawanan menentang Sime Darby berakhir, apabila sekumpulan peminat bola sedang berkumpul di depan pagar rumahnya dengan membawa kain rentang.

Menurutnya, sebaik kenderaan Che Mat memasuki pintu pagar rumahnya, kumpulan terbabit mula membuat bising dengan mengeluarkan kata-kata kesat, selain ada yang melontarkan batu ke atas bumbung rumahnya.

“Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan satu laporan di buat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 12.20 tengah malam semalam.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan memiliki bahan berbahaya untuk tujuan serangan. Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

No comments:

Post a Comment