Sunday, April 29, 2012

Terengganu Yakin Ke Final

Ketua jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris yakin Terengganu layak ke pusingan akhir Piala FA untuk mempertahankan kejuaraan bagi dua tahun berturut-turut.

Sehubungan itu beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik apabila bertemu Sime Darby dalam separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya 1 Mei nanti. Dalam perlawanan separuh akhir pertama, Terenggganu kalah 1-2 kepada Sime Darby.

"Saya menaruh harapan dengan kemampuan pemain saya kerana saya melihat mereka kembali mendapat sentuhan dan prestasi yang memberangsangkan ketika menewaskan kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An 6-2 dalam cabaran Piala AFC di sini malam tadi.

"Semua pemain diharap waspada dan saya akan kerah mereka bagi menebus maruah Terengganu yang telah tercalar (setelah kalah kepada Sime Darby). Kita mahu mempertahankan kejuaraan Piala FA," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas mengenai kejayaan Terengganu malam tadi, Mat Zan berkata, beberapa pengubahsuaian pemain telah dirombak bagi mengatasi persembahan hambar dalam beberapa perlawanan Piala AFC sebelum ini.

Penolong pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, kebangkitan Terengganu ada kaitan dengan nasihat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

"Kita tidak mahu menghampakan Menteri Besar kerana beliau merupakan peminat bola sepak nombor satu di mana beliau telah memberikan suntikan semangat kepada pemain-pemain supaya bangkit daripada persembahan hambar," katanya.

Friday, April 27, 2012

MB gembira Kebangkitan Terengganu

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berharap agar pasukan Terengganu mengekalkan momentum selepas menang bergaya 6-2 ke atas kelab Vietnam, Song Lam Nghe An apabila menentang Sime Darby dalam saingan separuh akhir kedua Piala FA, Selasa depan.


Katanya, momentum itu amat diperlukan bagi memastikan skuad Penyu melangkah ke perlawanan akhir sekali gus mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka musim lalu.

"Alhamdulillah, kita menang malam tadi (kelmarin) dan ada peningkatan yang ditunjukkan selepas saya mengadakan perjumpaan dengan pengurusan dan jurulatih untuk membuat perubahan dalam pasukan.

"Ternyata formula kita menjadi kali ini," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad turut menyifatkan tindakan segelintir penyokong yang memprotes pasukan berikutan aksi hambar sejak kebelakangan ini sebagai tidak rasional.

"Terpulanglah kepada mana-mana penyokong yang ingin bertindak memprotes pasukan kita (Terengganu) dan situasi itu jelas menunjukkan mereka adalah peminat yang tidak rasional.

"Dalam setiap perlawanan bola sepak, siapa yang tidak ingin melihat pasukan pilihan menang. Tapi adatlah dalam sukan bola sepak ini. Ada menang dan ada yang kalah, tetapi selaku peminat sejati kita kena terus beri sokongan," katanya.

Hadiah untuk penyokong PETEH

DOE (kiri) meledak hatrik pada aksi menentang kelab Vietnam dalam saingan Piala AFC di Kuala Terengganu semalam.

TERENGGANU tampil menyahut cabaran untuk membuktikan bahawa mereka memiliki kekuatan yang harus dihormati lawan.

Kelmarin, skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris itu berpesta gol ketika menewaskan kelab Vietnam, Song Lam Nghe An 6-2 pada saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Lebih membanggakan, kemenangan besar itu turut menutup mulut pengkritik, termasuk segelintir penyokong yang sebelum ini lantang mempersoal- kan kredibiliti Sang Penyu.

Justeru, kejayaan meraih tiga mata penuh disusuli kemaraan ke pusingan kedua Piala AFC daripada Kumpulan F, dianggap sebagai hadiah terbaik buat para penyokong setia Terengganu yang sentiasa berdiri teguh di bela- kang pasukan itu.

Bagi Mat Zan, beliau mengakui sedi- kit tertekan dengan gelombang kema- rahan yang dicetuskan segelintir penyokong, namun tetap dengan pendi- rian untuk membawa pasukan itu ke puncak kegemilangan.

“Apa yang saya difahamkan, ada kumpulan penyokong yang memboikot perlawanan malam ini (kelmarin) dengan berkumpul di luar stadium.

“Tindakan mereka ini mungkin sebagai tanda protes terhadap prestasi pasukan tetapi para pemain telah membuktikan yang mereka mampu tampil hebat untuk mencatat kemena- ngan besar.

“Jadi, saya perlu memberi kredit ke- pada para pemain yang telah menebus kekecewaan kami dengan kejayaan mara ke pusingan kedua,” jelas Mat Zan kepada Kosmo! semalam.

Mengulas mengenai perlawanan kelmarin, Mat Zan turut memuji taktikal pasukannya yang banyak mencipta ruang sehingga memudahkan pemain serangan menjaringkan gol.

“Kita boleh kawal bahagian tengah dan buat hantaran-hantaran pendek yang banyak menyumbang kepada jaringan,” jelasnya.

Pada perlawanan Kumpulan F itu, penyerang sensasi Terengganu, Francis Forkey Doe muncul wira pasukan apabila meledak hatrik, manakala tiga lagi gol masing-masing disumbangkan Ashaari Shamsudin, Abdul Hadi Yahya dan Joseph Kalang Tie.

Dengan kemenangan itu, Terengga- nu kini menduduki tangga kedua Kumpulan F dengan sembilan mata, ketinggalan satu mata di belakang Kit- chee ketika saingan masih berbaki satu perlawanan.

Song Lam pula kekal di tangga tercorot dengan empat mata, manakala Tampines Rovers di tangga ketiga dengan lima mata.

Dua pasukan teratas setiap kumpu- lan layak ke pusingan kedua.

Terengganu Memang Nelang

SELEPAS dikritik hebat berikutan prestasi hambar sejak akhir-akhir ini, Terengganu bagaikan melepas geram apabila menjadikan kelab Vietnam, Song Lam Nghe An sebagai mangsa amukan dengan membelasah lawan 6-2 dalam saingan Kumpulan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin.

Lebih manis, kejayaan besar itu turut membawa skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris melangkah ke pusingan kedua sekali gus menafikan hajat segelintir peminat berhimpun untuk mengadakan bantahan biarpun kain rentang sudah dibawa mereka.

“Perubahan formasi permainan selain kata-kata semangat yang dilontar Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebelum perlawanan nyata membakar semangat pemain untuk memperagakan aksi terbaik biarpun saya akui pemain dihimpit tekanan dengan amukan peminat,” kata Mat Zan yang kembali tersenyum selepas berjaya merakam kemenangan bergaya itu.
Menurutnya, anak buahnya mengikut arahan yang diberikan termasuk membantu barisan pertahanan setiap kali lawan melakukan serangan ke kubu pasukan Terengganu.

“Dalam perlawanan sebelum ini, hanya pemain pertahanan berusaha keras menangkis asakan lawan manakala jentera tengah kurang membantu tapi malam ini (kelmarin) semua pemain bekerja keras memastikan kami layak ke pusingan kedua biarpun berada di tangga kedua kumpulan di belakang Kitchee dari Hong Kong.

Thursday, April 26, 2012

Kedudukan Kumpulan F

Terengganu Mengamuk

Terengganu mencuri tumpuan untuk mengesahkan tempat bagi melayakkan ke pusingan kedua Piala Konfederasi Asia (AFC) setelah membenam cabaran pasukan kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An, 6-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi.

Biarpun berhadapan dengan tekanan psikologi penyokong akibat beberapa siri kekalahan pasukan Pantai Timur itu sejak akhir-akhir ini, nyata ia tidak melunturkan semangat anak didik Mat Zan Mat Aris untuk memburu kemenangan ketiga dalam saingan Kumpulan F.

Aksi yang bertenaga dipamerkan di hadapan sekitar 3,000 penyokong pada awal babak permainan membuahkan hasil apabila Mohamad Ashari Samsudin terlebih dahulu meledak gol pembukaan seawal minit keempat.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan Terengganu menghuni tangga kedua dengan pungutan sembilan mata, kekurangan satu mata di belakang pasukan kelab Kitchee FC dari Hong Kong apabila pasukan tersebut sekadar seri tanpa jaringan dengan Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar, Singapura, hari ini.
 
Terengganu akan mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan dengan menentang Kitchee FC di Stadium Tseung Kwan, Hong Kong, pada 9 Mei ini

Wednesday, April 25, 2012

Moral Maseh Kukuh

TEKANAN hebat yang kini membelenggu kem pasukan Terengganu sedikit pun tidak menjejaskan moral para pemainnya yang dalam misi memburu slot ke pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Malam ini, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu yang berdepan cemuhan penyokong tempatan ekoran prestasi hambar dalam kempen liga domestik akan turun menentang kelab Vietnam, Song Lam Nghe An pada di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Seandai nya kemenangan diraih, skuad Penyu bakal mencatat sejarah baharu dengan melangkah ke pusingan kedua pada penampilan sulung di pentas kejohanan berprestij itu.

Bagi Mat Zan, beliau mengakui yang para pemainnya kini berdepan tekanan hebat daripada para penyokong menjelang aksi Kumpulan F malam ini.

Justeru katanya, hanya kemenangan ke atas kelab dari Vietnam itu sahaja yang mampu mengembalikan maruahnya dan para pemain selepas dikritik hebat sebelum ini.

"Semua tahu apa yang berlaku ke atas pasukan ini sejak beberapa hari lalu dan ia sesuatu yang perlu kami terima

"Esok (malam ini), kami akan turun pada perlawanan yang sangat penting bagi memastikan peluang kami ke pusingan kedua menjadi kenyataan," kata Mat Zan pada sidang media di Kuala Terengganu semalam.

Untuk rekod, Terengganu yang juga juara Piala FA kini menduduki tangga kedua Kumpulan F dengan enam mata, iaitu tiga mata di belakang kelab Hong Kong, Kitchee.

Jika menang ke atas Song Lam dan pada masa yang sama Kitchee berjaya menewaskan Tampines Rovers di Singapura, Terengganu akan mengesahkan satu slot ke pusingan kedua Piala AFC.

"Kami menang ketika menentang Song Lam di Vietnam pada perlawanan pertama dan saya hanya berharap para pemain dapat mengulangi kejayaan itu di hadapan penyokong sendiri," ujarnya.

Bagaimanapun, Mat Zan mengakui yang Terengganu bakal kehilangan beberapa tonggak utama pada perlawanan malam ini ekoran kecederaan yang dialami Abdul Manaf Mamat, Syukur Jusoh dan kapten pasukan, Sharbinee Allawee.

"Pemain begitu keletihan ekoran jadual perlawanan yang sangat padat tetapi itu bukan alasan untuk saya tidak menurunkan barisan terbaik pada perlawanan menentang Song Lam nanti.

"Saya sangat percayakan pemain saya dan mereka juga bertekad memberikan aksi terbaik sebagai menebus kekecewaan selepas tewas kepada Sime Darby pada aksi separuh akhir pertama Piala FA, Sabtu lalu," katanya.

Dalam pada itu, penolong jurulatih Song Lam, Le Ky Bhuong mengakui yang para pemainnya turut berdepan masalah keletihan ekoran jadual perlawanan padat di Vietnam.

"Kami tahu Terengganu telah mengalami beberapa siri kekalahan mengejut, namun kami tidak sesekali memandang rendah kemampuan pasukan itu kerana mereka telah menewaskan kami di Vietnam sebelum ini.

"Apa pun, saya menjangkakan perla- wanan malam esok (malam ini) pasti sengit kerana kedua-dua pasukan begitu memerlukan tiga mata bagi mencerahkan peluang ke pusingan kedua," jelas Bhuong yang turut kehilangan gandingan penyerang iaitu Bebe dan Nguyen Ngoc Anh akibat kecederaan.

Malam Ini Formula Rahsia Diguna

Menteri Besar berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan pengurusan, jurulatih dan pasukan negeri setakat ini dan tidak timbul soal Che Mat dan Mat Zan perlu letak jawatan.

Tambah Ahmad lagi, perbincangan kira-kira satu jam semalam lebih menjurus kepada bagaimana mahu meningkatkan prestasi pemain dalam misi memburu kejayaan pada Piala FA nanti.

Jelasnya, Terengganu merupakan pasukan hebat, namun senarai pemain yang terhad ekoran diburu kecederaan lama menyebabkan peneraju pasukan terpaksa menurunkan pemain yang kurang menyerlah kerana tiada pilihan buat masa ini.

"Untuk itu, saya mahu penyokong lupakan rasa tidak puas hati mereka itu kerana tindakan menyerang rumah presiden bukan cara yang sesuai, malah hasrat mereka untuk memboikot perlawanan juga tidak kena pada tempatnya.

"Bagi meningkatkan prestasi pemain, untuk permulaan kita akan cuba buat perubahan pada formasi permainan dengan formula 'rahsia' yang saya cadangkan dan kita akan cuba pada perlawanan menentang Song Lam Nghe An malam esok (malam ini), jika berjaya kita akan lakukan perkara sama pada Piala FA nanti," katanya.

Saya Nok Fokus Perlawanan Malam ni

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh menegaskan, tiada sebab untuknya mengundurkan diri dan melepaskan jawatannya di dalam persatuan berkenaan seperti yang didesak oleh segelintir penyokong bola sepak negeri itu.

Malah, pengakuan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang menyatakan bahawa PBSNT dan jurulatih pasukan Terengganu telah memberikan sepenuh komitmen terhadap kejayaan skuad penyu selama ini membuktikan beliau telah mengemudi persatuan itu dengan baik.

"Kenapa saya perlu letak jawatan sedangkan Menteri Besar sendiri telah akui dalam mesyuarat petang ini (kelmarin) bahawa beliau berpuas hati dengan kita dan jika pasukan ini merosot sekali pun memang tidak wajar saya tinggalkan pasukan ini dalam begini dan seharusnya kita perlu bagi sokongan kepada mereka.

"Jadi pada saat ini saya tidak mahu membuang masa memikirkan tentang permintaan penyokong itu dan apa yang lebih penting saya tumpukan sepenuh perhatian kepada pemain dan kita mahu menang pada perlawanan esok (hari ini)," tegasnya.

Che Mat menegaskan demikian kepada pemberita selepas menemui Menteri Besar di sini, semalam bagi membincangkan tentang prestasi pemain dan kedudukannya dalam persatuan tersebut.

Sabtu lalu, beberapa penyokong Terengganu berarak dan menimbulkan kekecohan di kediaman Presiden PBSNT itu ekoran kekalahan skuad penyu kepada Sime Darby 1-2 dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA sambil mendesak Che Mat dan jurulatih Mat Zan Mat Aris meletak jawatan.

Bagaimanapun, Mat Zan bercakap kepada Utusan Malaysia, kelmarin bertegas tidak akan melepaskan jawatannya hanya semata-mata kerana desakan penyokong.

Dalam pada itu, Che Mat yang juga berpendirian sama mengakui, ada kalanya pasukan berada di bawah dan ada kalanya di atas, justeru itu, seharusnya sebagai penyokong mereka perlu memberi sokongan kepada pemain dan bukannya tekanan dengan mengugut tidak mahu turun menyaksikan perlawanan.

"Ia bukan satu tindakan yang rasional dan saya mahu beritahu bahawa Terengganu merupakan antara pasukan terbaik di negara dan kita harus berbangga dengan mereka," jelasnya.

Tuesday, April 24, 2012

MB minta penyokong bertenang

Peminat dan penyokong bola sepak Terengganu diminta bersabar dan tidak bertindak melulu ketika usaha sedang dijalankan bagi mengembalikan prestasi pasukan negeri itu yang dilihat kurang memberangsangkan kebelakangan ini.


Rayuan dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mengharapkan sokongan dan kerjasama peminat dan penyokong Terengganu supaya keadaan tidak menjadi bertambah rumit.

"Saya minta peminat bola sepak Terengganu bersabar sementara waktu. Saya hanya boleh menasihatkan pihak berkenaan agar memperbaiki mutu pasukan," katanya di sini hari ini.

Satu perjumpaan antara beliau dan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) serta jurulatih akan diadakan bagi membincangkan perkara tersebut.

Sekumpulan peminat dan penyokong bola sepak Terengganu dikatakan menyerang kediaman pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh selepas Terengganu tewas kepada kelab Sime Darby 2-1 dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA Sabtu lalu.

Ahmad berkata, tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut tidak akan menyelesaikan keadaan malah memalukan arena bola sepak negeri itu. Kemerosotan turut dilihat berlaku pada sebuah lagi pasukan dari Terengganu ialah kelab T-Team.

Monday, April 23, 2012

Rumah Dato Che Mat Dipelekong & Ditagor

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh, berdepan saat mencemaskan apabila penyokong yang kecewa dengan kekalahan pasukan negeri itu kepada Sime Darby mengekorinya pulang dan melontar pelbagai objek ke rumahnya di Kampung Nibong Atas, Panji Alam, di sini, malam kelmarin.

Penyokong tidak berpuas hati apabila Terengganu tewas 1-2 kepada Sime Darby pada separuh akhir pertama Piala FA mengadakan bantahan selepas perlawanan berakhir di depan pintu masuk utama Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini.

Mereka juga mendesak Che Mat yang juga pengurus pasukan serta jurulatih, Mat Zan Mat Aris berundur. Berikutan itu, kedua-duanya terpaksa diiringi polis untuk keluar dari stadium dan pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, sekumpulan penyokong dipercayai mengekori Che Mat hingga ke kediamannya. Lebih memburukkan keadaan, penyokong terbabit membuat kecoh dan melaungkan kata-kata kesat sebelum melontar pelbagai objek, termasuk batu ke rumahnya.

“Berikutan tindakan melampau itu, saya terpaksa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk mengelak kejadian lebih buruk berlaku,” kata Che Mat yang berasakan kejadian itu bukan hanya membabitkan isu bola sepak tetapi ada agenda lain, termasuk politik.

Beliau yang juga Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Batu Burok, di sini, berkata bantahan yang memintanya dan Mat Zan meletakkan jawatan agak menghairankan kerana Terengganu bukan berada di tangga tercorot liga, malah beraksi di pentas Piala FA dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Saya hairan kenapa situasi ini berlaku dan apa matlamat utama kumpulan yang membuat bantahan itu. Saya sendiri pun tidak faham. Jika dilihat soal gaji, semua pemain mendapat bayaran mengikut masanya.

“Pada pandangan saya jika peminat itu betul-betul sayangkan pasukan, cara bantahan sebegini bukanlah jalan terbaik sebaliknya boleh menjejaskan pasukan Terengganu dan tidak adil kepada pemain dan pengurusan,” katanya.

Berdasarkan rekod, ini kali ketiga peminat mendesak Che Mat yang memegang jawatan Presiden PBSNT selama 14 tahun meletakkan jawatan dan terbaru pada 10 April lalu ketika Terengganu tewas 0-2 kepada Tampines Rovers dari Singapura dalam saingan Piala AFC. Mengulas lanjut desakan penyokong terbabit, Che Mat berkata, tiada sebab beliau meletak jawatan kerana dipilih melalui saluran yang betul melalui mesyuarat Exco PBSNT yang diadakan empat tahun sekali.

“Jika ada yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran saya, saya harap mereka datang dan memberi pandangan yang baik kerana kami sedia mendengarnya malah akan melakukan perubahan sekiranya idea itu bernas tetapi bukannya melalui bantahan di jalanan.

“Bagaimanapun saya ingin melontarkan persoalan kepada peminat kenapa saya perlu berundur sedangkan skuad Terengganu tidak merudum.

“Letak jawatan itu perkara tidak betul dan saya meminta peminat menerima sesuatu kekalahan biarpun saya tahu sukar menelannya,” katanya. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.45 malam ketika Che Mat pulang ke rumahnya sejurus perlawanan itu berakhir.

Menurutnya, sebaik kenderaan Che Mat memasuki kawasan rumahnya, kumpulan berkenaan membuat bising dengan mengeluarkan kata-kata kesat selain ada yang melontarkan batu ke bumbung rumah mangsa.
“Bagaimanapun, pengadu tidak cedera dan satu laporan dibuat di IPD Kuala Terengganu jam 12.20 tengah malam (kelmarin),” katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan memiliki bahan berbahaya untuk tujuan serangan.

Segenlintir Penyokong Mengamuk

Tidak cukup dengan melaungkan perkataan yang mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh meletak jawatan di luar stadium berikutan kekalahan skuad Penyu 1-2 di tangan KL Sime Darby malam kelmarin, lebih 100 penyokong fanatik bertindak ‘menyerang’ kediamannya di Panji Alam.

Penyokong fanatik itu didakwa bertindak liar dengan membaling batu dan merosakkan pintu pagar kediaman Presiden PBNST itu dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.30 malam kelmarin.

Bagaimanapun, insiden itu berjaya dikawal daripada berlarutan apabila polis, penduduk kampung dan jiran tetangga di kawasan itu bertindak mengejar kumpulan terbabit.

Serangan itu adalah kemuncak bantahan yang dilakukan di luar Stadium Sultan Ismail, di mana lebih 500 peminat fanatik berkumpul dengan kain rentang dan poster yang mendesak peletakan jawatan Che Mat dan jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris.

Dalam pada itu, Che Mat melabelkan mereka yang bertindak di luar kawalan itu sebagai ‘pengkhianat’ dan bukannya penyokong sebenar kepada pasukan Terengganu.

Menurutnya, sekiranya mereka ini benar-benar peminat setia bola sepak Terengganu, insiden tidak bertamadun sebegini tidak akan berlaku, malah menerima kekalahan sebagaimana lumrah dalam satu-satu perlawanan.

“Peminat sebenar tidak akan bertindak tidak seumpama ini dan tidak melakukan bantahan sebegini rupa, apatah lagi menyerang rumah saya.

“Memang saya terkejut dengan tindakan mereka tetapi saya tidak akan berganjak dengan desakan mereka itu dan saya tidak akan meletak jawatan,” katanya ketika ditemui di kediaman di sini, semalam.

Che Mat berkata, tindakan yang dilakukan segelintir peminat ini secara tidak langsung hanya akan meninggalkan kesan negatif ke atas pemain.

“Pemain telah mencuba yang terbaik dan peminat sepatutnya menyokong pasukan walaupun tewas dalam perlawanan malam tadi (kelmarin).

“Meskipun kami tewas kepada Sime Darby tetapi kita masih ada lagi peluang pada pusingan kedua nanti dan jika kita menang, insya-Allah kita akan ke final nanti,” katanya.

Sementara itu, Che Mat berkata, beliau bingung dengan kemarahan yang ditunjukkan peminat sedangkan skuad Penyu masih berada di landsan terbaik dalam Liga Super, termasuk berjaya ke saingan Piala AFC.

“Jangan hanya kerana Sime Darby merupakan pasukan berstatus kelab, peminat kecewa dengan keputusan perlawanan malam tadi kerana mereka juga adalah sebuah pasukan yang kuat.

“Sebaliknya mereka (peminat) perlu melihat bahawa Sime Darby juga mempunyai pemain yang hebat dan jangan fikir Terengganu perlu menang setiap kali menentang pasukan yang dianggap kerdil itu. Dalam bola sepak banyak perkara boleh berlaku,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan penyokong pasukan Terengganu supaya jangan cepat panik dan yakin bahawa pasukan kendalian Mat Zan Mat Aris itu akan bangkit semula ketika menentang Sime Darby pada perlawanan pusingan kedua separuh akhir Piala FA pada 1 Mei depan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, K Manoharan berkata, kejadian serangan ke kediaman orang kuat bola sepak Terengganu itu dipercayai berlaku kira-kira jam 11.45 malam, ketika Che Mat pulang ke rumahnya di Kampung Nibong, di sini, sejurus perlawanan menentang Sime Darby berakhir, apabila sekumpulan peminat bola sedang berkumpul di depan pagar rumahnya dengan membawa kain rentang.

Menurutnya, sebaik kenderaan Che Mat memasuki pintu pagar rumahnya, kumpulan terbabit mula membuat bising dengan mengeluarkan kata-kata kesat, selain ada yang melontarkan batu ke atas bumbung rumahnya.

“Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan satu laporan di buat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 12.20 tengah malam semalam.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan memiliki bahan berbahaya untuk tujuan serangan. Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

MB Tidak Minat

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tidak berminat mencampuri urusan pentadbiran Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), walaupun kesal dan mengakui berlaku kemerosotan skuad Penyu dikendalikan Mat Zan Mat Aris.


Sambil menafikan akan mengambil alih pengurusan pasukan, Ahmad yang tampak kecewa dengan kekalahan 2-1 skuad Penyu ketika melayan pasukan Sime Darby FC pada pertembungan separuh akhir pertama Piala FA, mengarahkan seorang benteng pertahanan tidak diturunkan pada aksi akan datang kerana dua gol mudah dijaringkan pemain lawan berpunca daripada kesilapannya.

"Dua gol dijaringkan penyerang import pasukan lawan, Patrick Ronaldinho pada minit ke-52 dan gol kemenangan pada masa tambahan oleh pemain gantian, Syukur Saidin, berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan tuan rumah.

"Saya secara peribadi minta jurulatih, Mat Zan tidak menurunkan pemain itu semasa berjumpa pemain di bilik persalinan pada rehat separuh masa pertama.

"Walaupun tidak mempunyai kuasa mutlak, tetapi saya perlu bertanggungjawab atas kemerosotan mendadak pasukan dan akan panggil pengurusan serta jurulatih skuad Penyu, Selasa ini untuk berbincang bagi menyelesaikan kekalutan sehingga membangkitkan kemarahan kira-kira 1,000 penyokong berikutan tiga kekalahan skuad itu," katanya.

Mengulas kira-kira 1,000 penyokong tegar mengadakan demonstrasi mendesak Che Mat serta Mat Zan mengundur diri, Ahmad berkata, penyokong perlu rasional kerana tiada pasukan yang inginkan kekalahan pada setiap perlawanan.

Sunday, April 22, 2012

M. Karathu Calon Pilihan Terengganu?


Datuk M. Karathu


Personal information

Full name Karathu @ Rajendran a/l Maruthaiah

Date of birth 7 July 1943 (age 68)

Place of birth Perak, Malaysia

Senior career*

Years Team Apps† (Gls)†

1960-1970 Perak FA

National team

1963-1970 Malaysia

Teams managed

1989–1990 Perak FA

1991–1992 Malaysia under-21

1993 Kelantan FA

1998 Negeri Sembilan FA

1999–2000 Sri Lanka

2001 Perak FA

2002–2003 Woodlands Wellington FC

2009 Perak FA

2011 Kelantan FA

K Devan Pilihan Terengganu?




K. Devan


Personal information

Full name Devan a/l E. Kuppusamy

Date of birth April 12, 1961 (age 51)

Place of birth Malaysia

Teams managed

Years Team

2004-2006 Negeri Sembilan FA

2007 Malacca FA

2008 Kuala Muda Naza FC

2009–2011 Selangor FA

2012 Johor FC

Maseh Ada Peluang

Pasukan berstatus kelab, Sime Darby melakukan kejutan pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA, semalam dengan mengalahkan Terengganu 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah manakala Kelantan gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri apabila diikat Kedah 1-1.

Sime Darby yang turun sebagai pasukan bukan pilihan berada di depan pada minit ke-52 hasil jaringan pemain import dari Liberia, Patrick Ronaldinho yang melakukan rembatan menewaskan penjaga gol, Mohd. Sharbinee Alwi.

Keputusan berubah pada minit ke-65 apabila penyerang import Terengganu, Francis Forkey Doe berjaya menyamakan kedudukan hasil hantaran Joseph Kalang Tie dengan melakukan rembatan deras di hadapan pintu gol lawan.
 
Pada masa kecederaan pasukan pelawat sekali lagi berada di depan dan berjaya membawa pulang bekalan gol menjelang perlawanan separuh akhir kedua 1 Mei ini selepas memperoleh jaringan kedua melalui Syukor Saidin.

Terengganu Tewas Pada Pasukan Yang Lebih Baik

REPUTASI 'Pembunuh Gergasi' terus dibuktikan pasukan Liga Perdana, Sime Darby FC yang kali ini menjadikan Terengganu sebagai mangsa apabila menumbangkan penyandang juara itu 2-1 pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.


Jurulatih skuad penyu, Mat Zan Mat Aris beranggapan ketiadaan Ismail Faruqi menjadi punca barisan tengah skuadnya kurang berfungsi sekali gus memberi ruang kepada pelawat untuk melakukan serangan.

“Kami tiada perancang yang boleh membuat hantaran, tetapi peluang ke final masih terbuka. Ada 90 minit lagi aksi dan kami akan bermati-matian berjuang untuk layak,” katanya selepas tamat perlawanan.

Ketiadaan Ismail Faruqi mengemudikan barisan tengah dan pertahanan kiri Zubir Azmi yang digantung perlawanan menyaksikan pasukan pelawat, Sime Darby lebih banyak menguasai permainan pada babak masa pertama.

Selepas buntu pada babak pertama, tuan rumah meningkatkan asakan namun pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Patrick Ronaldinho pada minit ke-52 hasil gerakan serang balas sebelum Terengganu mencetus sorakan penyokong mereka dengan gol penyamaan minit ke-65 menerusi Francis Forkey Doe.
Ketika permainan tampak berkesudahan dengan keputusan seri, pemain gantian, Syukur Saidin meledak gol kemenangan pelawat pada masa kecederaan untuk memberi bekalan selesa kepada Sime Darby menjelang perlawanan kedua di Stadium Selayang 1 Mei ini.

Saturday, April 21, 2012

Mangat Terengganu




MAT ZAN (kiri) mengingatkan pemain-pemainnya agar tidak memandang mudah kemampuan Sime Darby pada perlawanan malam ini.



PERJUANGAN Terengganu untuk memburu tiket ke perlawanan akhir Piala FA buat tahun kedua berturut-turut bermula malam ini apabila juara bertahan itu diundi menentang pasukan kerdil, Sime Darby pada aksi separuh akhir pertama.
Ibarat langit dan bumi, pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu ini pasti memberi kelebihan buat skuad bertaraf bintang kendalian Mat Zan Mat Aris itu.
Namun, Mat Zan awal-awal lagi memberi amaran kepada anak-anak buahnya agar tidak memandang mudah pertemuan menentang kelab dari Liga Perdana itu yang diperkuatkan dengan kehadiran penyerang import dari Liberia, Patrick Ronaldinho.
“Ini adalah saingan Piala FA dan mana-mana pasukan yang berada dalam kelompok empat pasukan terakhir, maka mereka adalah pasukan terbaik.
“Jadi, tidak timbul persoalan mengenai reputasi pasukan Sime Darby sebagai pasukan kerdil kerana mereka telah membuktikan kemampuan mereka dengan layak ke separuh akhir.
“Harus diingat, Sime Darby juga memiliki ramai pemain terbaik yang mampu memberi ancaman kepada kami,” kata Mat Zan kepada Kosmo! semalam.
Untuk rekod, Terengganu yang menewaskan Kelantan pada final Piala FA musim lalu kini menduduki tangga ketiga dalam kempen Liga Super.
Sime Darby pula yang mencipta kejutan dengan mara ke separuh akhir Piala FA juga berada di kedudukan ketiga dalam saingan Liga Premier, ketinggalan di belakang dua pasukan gergasi, ATM dan Pahang.
“Kami sudah sampai ke tahap ini (separuh akhir) dan kami hanya selangkah untuk ke final dan seterusnya cuba mempertahankan piala yang dimenangi tahun lalu.
“Saya hanya berharap agar mana-mana pemain yang diturunkan dapat memberikan aksi terbaik mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mat Zan juga berharap anak-anak buahnya tidak sesekali memberi peluang kepada pasukan lawan untuk membolosi gawang Terengganu.
“Ini adalah perlawanan separuh akhir dan jika lawan berjaya menjaringkan gol di sini, sudah pasti kelebihan memihak kepada mereka berdasarkan jaringan tempat lawan.
“Pemain seperti Ronaldinho yang telah menjaringkan sembilan gol dalam Liga Perdana perlu sentiasa diawasi kerana dia merupakan penjaring utama pasukan Sime Darby,” ujarnya lagi.
Menurut Mat Zan, perlawanan malam ini bakal menyaksikan pasukannya kehilangan khidmat dua tonggak utama, Zubir Azmi dan Ismail Faruqi yang masing-masing digantung satu perlawanan.
Keadaan Muslim Ahmad juga masih dalam keraguan selepas dihimpit kecederaan baru-baru ini.
“Ada sedikit rombakan dalam pasukan tetapi saya percaya semua yang disenaraikan adalah yang terbaik buat pasukan,” katanya.

Friday, April 20, 2012

Kelantan Menang Tanpa Semangat Fair Play

TIDAK ada apa yang perlu dibanggakan Kelantan walaupun menewaskan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, Selasa lalu.

Menurut penolong pengurus T-Team, Rashid Jusoh, kemenangan 2-1 itu diperoleh secara tidak jujur kerana pasukan pelawat mengabaikan amalan ‘fair play’ (permainan adil).

Kata Rashid, konsep permainan adil diperkenalkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) untuk memastikan semua pasukan tidak menyalahguna peluang yang ada semata-mata mahu meraih kemenangan.

“Itu yang tidak dipraktikkan Kelantan selepas mereka dikejutkan dengan jaringan penyerang kami, Khairul Izwan Khalid di awal babak kedua.
“Cuma kerana inginkan kemenangan, mereka sanggup meneruskan permainan dan tidak menendang bola keluar supaya permainan diberhentikan apabila pemain kami terbaring kesakitan di tengah padang,” katanya.

Menurutnya, pasukannya mungkin dapat memaafkan Kelantan sekiranya cuma sekali saja pasukan lawan tidak menghiraukan amalan permainan adil.

“Namun mereka melakukannya beberapa kali dan tentu mereka bangga dengan taktik kotor kerana gol penyamaan di minit ke-67 berpunca daripada tindakan bermain secara tidak adil.
“Pemain kami, Marco Tulio tercedera dan tidak dapat bangun namun Shakir Shaari enggan memberhentikan permainan dengan menendang bola keluar malah pasukan lawan tetap meneruskan serangan tanpa mempedulikan permintaan pemain kami supaya bola ditolak keluar,” katanya.

Penyerang Kelantan, S Chanturu kemudian melakukan tendangan jarak jauh dan bola terkena kaki pemain pertahanan, Shahril Faizal yang menerjah ke gol sendiri.

“Saingan pusingan pertama Liga Super sudah berakhir dengan kami bermain 11 perlawanan, namun inilah kali pertama kami melihat pasukan yang sanggup mengabaikan amalan permainan adil demi mencari mata penuh.
“Sebelum ini kami bertandang ke Kota Bahru untuk melawan Kelantan namun dalam perlawanan itu mereka tidak bermain begini dan kami hairan kenapa mereka sanggup melakukan perkara yang tidak baik dalam perlawanan di Kuala Terengganu,” katanya.

Rashid dan pegawai T-Team juga menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pegawai pasukan Kelantan termasuk jurulatih, Bojan Hodak.

“Namun apa yang dikatakan Hodak ialah beliau bukan pemain yang berada di atas padang dan tidak ada apa dapat dilakukannya.

“Kami kesal kerana sepatutnya pemain Kelantan diberitahu supaya menghormati konsep permainan adil dan bermain secara beretika setiap masa,” katanya.
Sementara itu, pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, pasukannya peka dan tahu mengenai amalan permainan adil.
“Semua pemain patut tahu yang permainan adil bermula dengan wisel pengadil dan pemain tidak perlu mengeluarkan bola setiap kali pemain lawan jatuh terbaring.

“Ini kerana ramai pemain yang sanggup menipu di padang dan mereka tidak segan untuk berlakon sakit semata-mata untuk mengelak serangan pasukan lawan,” katanya.

Thursday, April 19, 2012

Mat Zan Perlu Ubah Formasi & Taktikal

NADA penuh yakin dilontarkan pengendali Terengganu, Mat Zan Mat Aris mengenai peluang pasukan dari Pantai Timur itu dalam misi mendakap trofi Liga Super musim ini.

Menurut Mat Zan, dengan saingan liga masih berbaki 12 perlawanan, pintu luas sebenarnya masih terbuka buat anak-anak buahnya untuk merealisasikan impian seluruh rakyat Terengganu bagi menjulang trofi berprestij itu buat pertama kali dalam sejarah.
Kelmarin, skuad Penyu sekadar memperoleh satu mata hasil kunjungan ke Paroi selepas diikat 1-1 oleh Negeri Sembilan.Keputusan itu sekali gus menyaksikan Terengganu masih kekal di tangga ketiga liga, namun dipisah dengan jurang mata yang agak besar berbanding dua pasukan teratas - Lions XII dan Kelantan.

Terengganu dan Kelantan yang beraksi 14 perlawanan kini masing-masing mengumpul 25 dan 31 mata, sementara Lions XII mengumpul 36 mata daripada 17 perlawanan."Saya rasa kami tidak perlu risau dengan kedudukan semasa ini kerana saingan liga masih berbaki 12 perlawanan dengan jumlah maksimum mata yang ada adalah 36.

"Apa yang perlu kami lakukan sekarang adalah memberi fokus kepada setiap perlawanan dengan matlamat untuk meraih sebanyak mungkin mata sehingga ke akhir musim," kata Mat Zan kepada Kosmo! semalam.

Justeru, Mat Zan tidak mahu terlalu panik dengan kedudukan ketiga yang dihuni pasukannya, sebaliknya berasakan ia adalah satu pencapaian yang perlu dibanggakan anak-anak buahnya."Bagi kami sendiri, ini adalah masa terbaik untuk memperbaiki segala kekurangan pasukan yang kembali bangkit untuk mengejar kedudukan Kelantan dan Lions XII," ujarnya.

Mengulas mengenai perlawanan di Paroi kelmarin, Mat Zan mengakui, pasukannya sedikit bernasib baik apabila mampu membawa pulang satu mata dari gelanggang lawan.

"Kalau diikutkan kepada permainan, Negeri Sembilan sepatutnya memenangi perlawanan itu, namun sepakan percuma pemain importnya pada penghujung perlawanan tidak mendatangkan hasil.
"Jadi, saya perlu memberi kredit kepada semua pemain yang telah bekerja keras dan memperoleh jaringan awal bagi memastikan kami tidak pulang kosong," katanya.

Jelas Mat Zan lagi, sasaran Terengganu kini adalah untuk memberi fokus kepada kempen separuh akhir Piala FA menentang Sime Darby pada 21 April ini."Buat masa ini ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan kecil termasuklah Ashaari Shamsuddin dan Manaf Mamat. Saya harap mereka dapat cepat sembuh menjelang aksi Piala FA nanti," tambahnya.

TTeam Melepas Tuah

KELANTAN menyingkap tirai pusingan kedua Liga Super dengan penuh bergaya apabila membenam T-Team 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Kemenangan di gelanggang lawan itu membolehkan Kelantan yang masih kekal berada di tangga kedua liga terus memberi tekanan kepada pendahulu, Lions XII.Kelantan yang telah beraksi 14 perlawanan mengumpul 31 mata, manakala Lions XII merekodkan 36 mata daripada 17 perlawanan.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan aksi para pemain malam tadi (kelmarin)."Ia kemenangan yang menggembirakan tetapi saya yakin pemain saya mampu memberi lebih daripada apa yang dipamerkan," jelas jurulatih Kelantan, Bojan Hodak semalam.

Kelantan terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-52 apabila Khairul Izwan Khalid menanduk masuk bola hantaran Marco Louis.Bagaimanapun, ledakan S. Chanturu dari luar kotak penalti pada minit ke-67 dan sepakan penalti Muhammad Ghaddar empat minit sebelum perlawanan tamat sudah cukup memastikan Kelantan pulang dengan noktah kenangan.

"Pada separuh masa kedua, T-Team mula bermain secara agresif dengan tempo yang lebih pantas sehingga mereka berjaya menghasilkan gol pembukaan."Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma dan barisan pertahanan kita agak leka dan gagal mengawal pergerakan pemain lawan sehingga mereka berjaya mencuri peluang tersebut," kata Bojan.

Mengulas mengenai kemunculan semula Ghaddar yang kembali mengetuai jentera serangan Kelantan, Bojan berkata: "Ini merupakan aksi pertama dia selepas direhatkan lebih dua bulan."Biarpun ia gol menerusi sepakan penalti tetapi sekurang-kurangnya ia memberi semangat serta lebih keyakinan untuk terus meledak gol pada perlawanan akan datang," jelasnya.
Bojan turut mengesahkan bahawa penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat akan kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas hampir dua bulan diketepikan ekoran kecederaan bahu.

Wednesday, April 18, 2012

Tuesday, April 17, 2012

Terengganu Perlu Menang



Mat Zan enggan tekan butang panik
MENAFIKAN kemenangan berharga Terengganu menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan terakhir sai­ngan pertama Liga Super Sabtu lalu hadir secara percuma, pengendalinya, Mat Zan Mat Aris sebaliknya berkeras ia hasil usaha pemain yang berjaya mengucar kacirkan pertahanan pihak lawan.
Mengakui kesilapan pemain lawan, S Kunanlan yang menjaringkan gol sendiri pada minit ke-66 memberi tiga mata penuh buat pasukannya, Mat Zan bagaimanapun tetap berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan oleh skuad Penyu.
“Apapun yang berlaku, tiga mata sudah sah menjadi milik kita. Malah berdasarkan keseluruhan perlawanan, pemain ternyata menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan baik terutama di posisi serangan dan barisan­ pertahanan apabila berjaya mengekang kemaraan pihak lawan,” katanya.
Enggan terburu-buru menekan butang panik meskipun dilihat berada dalam situasi tertekan berikutan jadual perlawanan padat, Mat Zan tetap bersikap realistik dan yakin pasukannya masih lagi berada di landasan betul.
Optimis untuk menampilkan karektor dan strategi permainan berbeza dalam saingan kedua liga menentang lawan sama di Stadium Paroi hari ini, Mat Zan berharap anak buahnya mampu membawa pulang mata dalam usaha mempertahankan kedudukan dan juga maruah pasukan.
“Perubahan taktikal mahupun strategi hanyalah di atas kertas. Oleh itu pemain perlu merencanakannya mengikut kesesuaian berdasarkan pe­ra­­nan­­ masing-masing. Tidak guna formasi mahupun strategi yang mantap jika pemain gagal merealisasikannya,” katanya yang menafikan kegagalan Terengganu sebelum ini disebabkan kelemahan taktikal.
Mengikut rekod, Negeri Sembilan berjaya memenangi dua perlawanan dalam lima pertemuan sebelum ini. Manakala Terengganu hanya memenangi satu perlawan dan selebihnya kedua-dua pasukan hanya mampu mencatat keputusan seri.

Jangan Lepas Peluang


TTeam Layan Kelantan


BERAKSI di laman sendiri bukan jaminan buat skuad berstatus kelab, T-Team untuk berlapang dada berdepan Kelantan hari ini, terutama bagi memburu kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super 2012.

Jurulatih, Yunus Alif berkata, keputu­san seri, 1-1 di gelanggang lawan Sabtu lalu membuktikan kesungguhan pemainnya yang berjuang habis-habisan sehingga wisel penamat.

“Apa yang telah diterapkan semasa latihan­ berjaya dilaksanakan, sekali gus memastikan kami tidak pulang tangan kosong,” katanya.

Bakal berdepan lawan sama di laman sendiri untuk pusingan kedua hari ini, beliau menegaskan pemain perlu berhati-hati kerana ia bukan tiket untuk berasa selesa kerana Kelantan pasti hadir strategi baru menundukkan mereka.

“Saya mahu setiap pemain fokus dan kerjasama sebagai sebuah pasukan bagi memastikan kita tidak terus tercicir mata sehingga menjejaskan kedudukan dalam liga.

“Semoga kesinambungan rentak cemerlang ditampilkan di Kota Bharu mampu memberi kejutan baru di laman sendiri nanti,” katanya.

Serangan Dipertajamkan


PENGENDALI Terengganu, Mat Zan Mat Aris menuntut jentera serangan pasukannya agar tampil lebih bertenaga untuk memburu jaringan seandainya berhajat mahu membawa skuad Penyu ke puncak liga musim ini.

Ingatan Mat Zan itu disuarakan ketika saingan Liga Super sudah memasuki pusingan kedua, sekali gus menyaksikan anak-anak buahnya akan berkunjung ke Paroi menentang Negeri Sembilan malam ini.

Sabtu lalu, skuad dari Pantai Timur itu berjaya menewaskan Negeri Sembilan di Kuala Terengganu menerusi jaringan sendiri pemain lawan dan Mat Zan mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki bagi menjamin kemenangan pasukan.

Justeru, bekas jurulatih Kuala Lumpur itu mengharapkan penyerang import Terengganu, Francis Forkey Doe dapat mengembalikan rentak cemerlangnya selepas selesa mengumpul sembilan gol peribadi setakat ini.

"Doe sangat berkesan pada awal musim tetapi sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini, dia kurang menjaringkan gol walaupun telah bekerja keras untuk melakukannya.

"Saya harap dia mampu menemui sentuhan jaringan pada perlawanan di Paroi esok (malam ini)," kata Mat Zan di Kuala Terengganu semalam.

Dalam pada itu, Mat Zan turut mengharapkan gandingan pemain tempatan, Ashaari Shamsuddin dan Abdul Manaf Mamat agar dapat menyumbang sesuatu kepada pasukan.

"Bahagian serangan kami pasti lebih menyengat jika ketiga-tiga pemain ini berada pada prestasi terbaik memandangkan mereka mampu menjaringkan gol dari pelbagai sudut.

"Saya rasa kami perlu mencari formula baharu bagi memastikan bahagian serangan pasukan Terengganu semakin mantap," ujarnya.

Untuk rekod, Terengganu yang kini menduduki tangga ketiga liga dengan 24 mata sekadar mengumpul 19 jaringan, jauh berbanding Kelantan dan Lions XII yang masing-masing merekodkan 25 dan 24 gol.

Di jentera pertahanan pula, skuad Penyu yang dibarisi ramai pemain kebangsaan termasuk bintang baharu, Muslim Ahmad dan Faizal Muhammad telah dibolosi 15 gol.

"Kami perlu berhati-hati dengan Negeri Sembilan kerana pasukan itu memiliki barisan pemain berpengalaman, terutamanya penyerang importnya, Effa Awona.

"Jadi, bahagian pertahanan kami perlu kental dan jangan sesekali melakukan kesilapan mudah yang mampu memberi ruang kepada pemain lawan menjaringkan gol," ujarnya.

Kelantan Nok Balas Dendam

KELANTAN bertekad untuk membuka tirai pusingan kedua Liga Super dengan langkah kanan apabila mereka dijadualkan bertemu T-Team di Kuala Terengganu.

Selepas gagal mengambil kesempatan mengutip mata penuh ketika aksi di gelanggang sendiri Sabtu lalu, malam ini merupakan peluang terbaik untuk Kelantan mengukuhkan kedudukan di puncak liga biarpun kekurangan dua perlawanan berbanding Lions XII.

Aksi yang kurang bertenaga selepas terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan T-Team pantas disedari oleh ketua jurulatihnya, Bojan Hodak yang dijangka bakal melakukan beberapa rombakan.

Menurutnya, beberapa pertukaran akan dilakukan selepas pemain tengah, Shakir Shaari kembali berada dalam kesebelasan utama.

Pada perlawanan sebelum ini, Shakir direhatkan atas alasan keletihan.

"Saya telah memberitahu semua pemain tentang kesilapan yang mereka lakukan dalam perlawanan sebelum ini dan saya harap mereka faham serta tidak mengulanginya lagi.

"Bukan senang untuk menang tetapi saya percaya kami mampu melakukannya.
"Shakir akan kembali dan saya mungkin akan merehatkan Rizal Fahmi kerana dia sudah bermain dalam banyak perlawanan. Ghaddar juga sudah pasti akan bersama kita untuk mengetuai jentera serangan," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.
Tambah Hodak, seorang lagi penyerang, Norfarhan Muhammad mengalami kecederaan dan beliau akan memantau keadaan pemain itu sebelum membuat keputusan sama ada diturunkan atau sebaliknya pada perlawanan malam ini.

Katanya, pasukan T-Team memiliki kekuatan tersendiri, terutamanya apabila mereka bermain menggunakan corak hantaran pendek selain pemain-pemain tengah mereka yang mempunyai kualiti untuk merencanakan gerakan.


"Mereka sentiasa bekerja keras dan saya fikir kita perlu bersedia untuk menyekat mereka. Corak permainan juga pantas dan mereka sentiasa mahu menewaskan kami.
"Mereka pasti memiliki kelebihan selain aksi di tempat sendiri. Mereka juga mempunyai rehat yang cukup kerana ini merupakan perlawanan kedua mereka dalam tempoh tujuh hari berbanding kita yang terpaksa berdepan dengan empat perlawanan," ujarnya.

Bagaimanapun, Hodak sentiasa optimis Kelantan sentiasa mampu mengatasi mana-mana pasukan termasuklah ketika beraksi di gelanggang lawan.

"Mata penuh di Kuala Terengganu malam esok (malam ini) akan memberikan kita lebih keyakinan untuk terus berdepan beberapa lagi siri perlawanan penting, terutamanya pada saingan separuh akhir Piala FA dan Piala AFC.

"Saya percaya kita mampu tetapi dengan syarat kita harus beraksi lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini.

"Kita juga berharap para penyokong akan hadir beramai- ramai untuk memberikan sokongan kepada pasukan," jelas Hodak.

Tak Ingin Kecewa Lagi

KAPTEN Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli ingin kemenangan kedua ke atas Negeri Sembilan malam ini bagi mengunci mulut peminat setia skuad itu yang sebelum ini lantang mengkritik prestasi tidak menentu skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu.

Kapten berusia 26 tahun itu berkata, walaupun beraksi di laman lawan, ia tidak menghalang mereka menaruh harapan untuk pulang dengan tiga mata selepas menang 1-0, Sabtu lalu.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu yang melepaskan enam gol ketika tewas kepada Selangor minggu lalu turut mengharapkan rakan sepasukan memperagakan aksi terbaik untuk mencatat kemenangan, terutama perlawanan itu membabitkan aksi pertama pusingan kedua.

“Kejayaan menewaskan Negeri Sembilan itu memberi keyakinan tinggi kepada saya untuk beraksi lebih baik kali ini,” katanya yang mengaku masih dihantui kekecewaan ketika tewas kepada Selangor dengan jumlah jaringan besar.

“Bagi menjamin kemenangan, saya akan cuba tidak melakukan kesilapan selain mengharapkan rakan sepasukan juga tidak membuka ruang kepada lawan,” katanya.

Monday, April 16, 2012

Worden Ganti Mat Zan ?

WAJAH jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris yang sebelum ini berkerut dan tampak berkecamuk kini kembali ceria apabila anak buahnya berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan di laman sendiri malam kelmarin dalam perlawanan penutup tirai pusingan pertama.

Namun, kemenangan itu sedikit menyentak pengendali berusia 54 tahun itu apabila bekas pengendali Terengganu 2009, Ken Worden dilihat berada di stadium menyaksikan perlawanan itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada khidmat Mat Zan akan ditamatkan ataupun terus membimbing skuad Terengganu.

“Saya mengetahui kelibat bekas pengendali Terengganu itu berada di stadium menyaksikan perlawanan malam ini (kelmarin) tapi saya tidak tahu sama ada jurulatih itu bakal menggantikan saya kerana persatuan tidak memaklumkan apa-apa. Jika khidmat saya ditamatkan, saya sudah bersedia dan menerima dengan hati terbuka,” katanya.

Mat Zan yang sebelum ini mengalami sedikit tekanan berikutan bantahan penyokong yang memintanya meletak jawatan menyatakan beliau hanya merancang dan mengatur strategi ketika perlawanan namun pada masa sama tetap bersedia melepaskan tugasnya bila-bila masa biarpun kancah Liga M memasuki pertengahan musim.
“Jika saya diminta melepaskan jawatan ini dan digantikan dengan Worden, saya akan akur dan sedia undur diri untuk memberi laluan kepada pengendali itu tapi di kalbu saya berasa masih berminat melatih Terengganu walaupun penyokong mahu saya berundur,” katanya.
Selain itu, menurut Mat Zan, beliau sudah melakukan yang terbaik buat Terengganu untuk membawa pasukan itu memenangi setiap perlawanan namun masalah beberapa pemain tonggak yang cedera agak lama menyebabkan beliau terpaksa akur dengan situasi itu.

“Jika berdasarkan prestasi semasa dan kedudukan terkini diambil kira, Terengganu bukanlah sebuah pasukan yang teruk, kami layak ke separuh akhir Piala FA, selain itu kami juga masih berada di tangga ketiga liga dan kedua dalam Kumpulan F Piala AFC, jika rekod ini diperhatikan, Terengganu masih lagi antara pasukan yang terkuat,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh menafikan kehadiran Worden malam kelmarin sebagai proses awal pertukaran ketua jurulatih Terengganu.

Saturday, April 14, 2012

Mat Zan Ubahlah Strategi -Nok Menang



Mat Zan mengharapkan anak buahnya dapat mempamerkan aksi cemerlang
KUALA TERENGGANU – Prestasi kurang memberangsangkan pasu­kan Terengganu setelah kalah dalam dua perlawanan minggu lalu meletakkan bekas juara Piala FA musim lalu itu umpama ‘nyawa di hujung tanduk’ bagi meraih kembali kepercayaan penyokong Skuad Penyu itu.

Justeru, perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam nanti dilihat umpama titik penentu kepada gelora yang bakal berlaku dalam kancah bola sepak di Pantai Timur.

Kekalahan 1-6 di tangan Selangor dan diikuti tumbang 0-2 di tangan Tampines Rovers minggu lalu mendapat kritikan keras daripada peminat fanatik pasukan hitam putih itu, sehingga mereka mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh yang juga pengurus pasukan meletakkan jawatan.

Sekiranya pasukan tuan rumah berjaya bangkit menebus dua kekalahan lalu, individu paling ceria pastinya pengendalinya, Mat Zan Mat Aris, namun andai kekalahan yang ditempa, gelora yang dicipta penyokong tegar Hitam Putih pasti bergema dengan lebih hebat sekali lagi.


Tamparan hebat

Pun begitu, Mat Zan mengakui pasukannya seperti dihimpit tekanan untuk menampilkan aksi terbaik, tatkala ramai tonggak utamanya dibelenggu masalah kecederaan dan keletihan berikutan jadual perlawanan yang ketat.

“Selepas dua kali kalah ketika menentang Selangor dan Tampines Rovers, penyokong sudah pastinya tidak mahu melihat pasu­kan kesayangan mereka ini tewas buat kali ketiga berturut-turut.

“Maka ini adalah satu tamparan cukup kuat buat kami andai kata kami gagal mencatat kemenangan, walaupun secara keseluruhannya kami telah memberikan yang terbaik dan masih berada dalam senarai teratas liga,” katanya selepas ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Justeru, Mat Zan mengharapkan anak buahnya dapat memberikan komitmen terbaik dan meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada kesebelasan utama yang diturunkan pada perlawanan itu nanti bagi memastikan pasukannya dapat meraih tiga mata penuh dengan menundukkan Negeri Sembilan.

“Saya sendiri pun tidak faham mengapa penyokong seolah-olah sukar untuk menerima kekalahan sebelum ini, walhal kita masih berada di landasan terbaik dan apa yang saya harapkan mereka (pemain) dapat berjuang berhabis-habisan pada perlawanan itu nanti.

“Kalau dilihat dari segi strategi, saya rasa Terengganu mempunyai corak permainan yang cukup baik dan terbaru,” katanya.


Tonggak utama pulih

 Bagaimanapun, Mat Zan tetap berhati-hati dengan ancaman yang bakal diterima daripada bekas juara Piala Malaysia 2011, Negeri Sembilan setelah mereka berjaya menumbangkan Terengganu pada pentas akhir di Stadium Shah Alam tahun lalu.

Menurutnya, biarpun pasukan lawan berada di tangga keenam liga, namun kebangkitan yang dipamerkan Skuad Hoben Jang Hoben itu sejak belakangan ini perlu dipandang serius semua pemainnya.

“Apa pun saya bersyukur kerana beberapa tonggak utama kita yang mengalami kecederaan pada beberapa perlawanan lalu, kini pulih sepenuhnya, dan bersedia untuk beraksi pada perlawanan malam nanti, antaranya Abdul Manaf Mamat, Muslim Ahmad dan Mohd Zubir Azmi.

“Tetapi saya tidak mahu memberi jaminan kepada penyokong, sebaliknya berharap mereka ini (penyokong) dapat memberi sokongan padu kepada pasukan kami sepanjang perlawanan berlangsung malam nanti,” katanya.

Untuk rekod, Terengganu kini menduduki tangga ketiga liga dengan 21 mata selepas 12 perlawanan, manakala Negeri Sembilan di tangga keenam dengan 19 mata selepas 13 perlawanan.