Sunday, February 27, 2011

Akhirnya TTeam Menang

PENANTIAN pasukan berstatus kelab, T-Team untuk mencatat kemenangan pertama pada kempen Liga Super musim ini akhirnya tercapai.

Semalam, pasukan kendalian Yunus Alif itu bijak menampilkan permainan kelas tersendiri untuk membelasah Perlis 3-0.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, Khairul Izwan Khalid meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit ketiga.

Khairul yang tidak dikawal bijak menolak bola masuk ke gawang Perlis selepas berlaku perebutan dalam kawasan kotak penalti.

Tujuh minit kemudian, gawang pelawat yang dikemudi Hairol Fazreen bolos lagi, kali ini menerusi rembatan Badrul Hisani Abd Rahman.

Pada minit ke-13, Perlis dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan T-Team, Azizi Matt Rose, namun sepakan yang diambil Faiz Subri sekadar terkena tiang gol.

Bersambung babak kedua, T-Team kembali melancarkan serangan bertali arus dan hasilnya, Khairul Izwan berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-59.

Gol peribadi kedua Khairul itu hadir menerusi tandukan cantik hasil sepakan percuma Rosdi Talib.

T-Team berpeluang menambah gol keempat pada minit ke-89, namun percubaan Norfarhan Mohammad dari luar kotak penalti sekadar terkena tiang gol.

Bagaimanapun, kemenangan sulung yang dicatat pada aksi semalam membolehkan T-Team mengumpul empat mata daripada lima perlawanan.

No comments:

Post a Comment