Saturday, February 5, 2011

Perlis Bimbang


SELEPAS dua kekalahan berturut-turut, Singa Utara bertekad tidak mahu memanjangkan kempunan kemenangan apabila beraksi di laman sendiri dalam saingan Liga Super berdepan Terengganu, Jumaat ini.

Justeru, ketua jurulatih Mosthakeen Omar menggunakan tempoh seminggu rehat untuk menangani segala kelemahan dan kekurangan yang dikenal pasti dalam permainan Perlis.

Antaranya ialah meningkat dan memantapkan tahap keupayaan semua posisi terutama di bahagian jentera serangan yang dilihat kurang tajam dalam melakukan penyudah.
“Selepas dua perlawanan, barisan depan masih kurang tajam, hanya meledakkan satu jaringan (ketika tewas 1-3 kepada Pahang) biarpun disajikan begitu banyak peluang dalam perlawanan itu dan ketika tewas 0-2 kepada Selangor,” katanya, semalam.

Pengendali berpengalaman yang pernah beraksi di posisi tengah skuad kebangsaan dan Kedah itu berkata, benteng pertahanan juga perlu diperkemaskan supaya tidak memudahkan lawan mencuri peluang seperti ketika bolos dua gol kepada Selangor, Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Mosthakeen mengakui cabaran Terengganu yang kini dibimbing bekas pengendali Perlis, Irfan Bakti Abu Salim tidak boleh dipandang remeh selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dalam dua perlawanan setakat ini.

Sehubungan itu, dia berharap kapten Azmizi Azmi perlu berada pada tahap fizikal dan mental terbaik untuk menyaingi barisan seimbang Terengganu, sekali gus mengembalikan keyakinan peminat setia di Stadium Utama Negeri di Kangar.

No comments:

Post a Comment