Thursday, February 3, 2011

Seri Kerana Pemain Terengganu Tinggi Lampai

GARA-GARA terlalu ghairah memburu kemenangan, hasilnya Kelantan hanya sekadar berkongsi mata apabila diikat seri 1-1 oleh jiran tetangga, Terengganu dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed Ke IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M.Karathu memberitahu, keghairahan untuk membantu jentera serangan mencari gol menyebabkan pemain-pemain pertahanannya terperangkap sehingga Terengganu berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-69 menerusi Marzuki Yusof biarpun Kelantan terlebih dahulu membuka tirai jaringan melalui Badri Radzi pada minit ke-35.

Menurutnya, Terengganu yang kerap melakukan serangan pantas, telah beberapa kali berjaya memecah benteng Kelantan ekoran pemain pertahanan yang sering meninggalkan posisi namun, kecekapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat menafikan hajat Terengganu.

“Semalam (kelmarin) kita berdepan satu perlawanan yang cukup pantas, lebih pantas daripada aksi menentang Selangor pada Piala Sumbangsih lalu. Terengganu sebuah pasukan yang cukup bagus dan ia telah menghadirkan kesukaran kepada kami. Sepatutnya kita menang di tempat sendiri, tetapi inilah bola sepak.

“Kita mengesan beberapa kelemahan termasuk kegagalan mengawal pemain lawan menyebabkan beberapa gerakan yang dihasilkan Terengganu kerap mencemaskan benteng kita. Saya fikir pertahanan perlu lebih bekerja keras untuk mantapkan permainan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, Terengganu berjaya memanfaatkan kelebihan memiliki pemain yang tinggi lampai dengan bermain bola lampung serta hantaran-hantaran lintang yang cukup bahaya sehingga memaksa pertahanan Kelantan bekerja keras.

Jelasnya, sikap membiarkan Terengganu memiliki sepakan sudut dan sepakan percuma berhampiran kotak penalti adalah situasi yang tidak begitu bagus dan buktinya Marzuki Yusof menggunakan ketinggiannya merobek gawang Kelantan menerusi tandukan selepas menerima hantaran Joseph Kalang Tie melalui sepakan percuma.

“Kita juga memiliki beberapa peluang tapi kurang bernasib baik kerana gagal menyudahkannya.

Dalam bola sepak peluang harus diterjemahkan dengan gol dan saya melihat kita masih lemah dari segi hantaran dan ia perlu diatasi segera.

“Beraksi dua perlawanan dalam tempoh tiga hari juga agak memenatkan. Kita sudah all out menentang Selangor, perjalanan pulang yang jauh dan selepas itu terus turun berlatih. Ini juga antara faktornya mengapa pemain sedikit lesu malam semalam (kelmarin),” jelasnya.

Dalam pada itu, Karathu memberitahu, tempoh 12 hari rehat ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperbaiki segala kelemahan dan memastikan pemain yang tersenarai untuk perlawanan seterusnya adalah yang terbaik.

No comments:

Post a Comment