Tuesday, February 15, 2011

Memburu Kemenangan Kedua


Irfan Bakti percaya anak buahnya mampu menewaskan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini dan kemenangan itu boleh menjadi petanda arah tuju yang menyakinkan.

Skuad Penyu itu yang mencatat tiga mata pertama selepas tiga perlawanan dengan menundukkan Perlis 3-1 di Kangar Jumaat lalu telah mengatur persiapan rapi untuk memastikan Selangor menjadi mangsa kedua.

Menurut Irfan, ketiadaan Safee Sali dalam skuad Selangor juga bakal memberi sedikit kelebihan kepada pasukannya untuk meneruskan rekod tanpa kalah dalam kempen liga musim ini dan melangkah naik dari tangga kelima.

Selangor pula yang kian terdesak ekoran penghijrahan Safee ke Pelita Jaya sekadar berada di kedudukan ketujuh dengan empat mata selepas hanya mampu seri 1-1 menentang Kuala Lumpur.

"Beraksi di Stadium Shah Alam selalunya sukar, tetapi kami mempunyai rekod baik ketika menentang Selangor.

"Saya rasa ia bukan satu yang mustahil untuk kami menewaskan pasukan ini, lebih-lebih lagi dengan tahap keyakinan tinggi yang dimiliki pemain-pemain saya," jelas Irfan.

Malah, Irfan yang pernah bersama kelab Indonesia, Persipura Jayapura pada 2007 berkata ketiadaan Safee patut digunakan sepenuhnya oleh pasukannya untuk mengutip tiga mata penuh.

Bagaimanapun, Irfan enggan terlalu memandang rendah kemampuan pemain Selangor yang lain berdasarkan reputasi mereka selaku juara bertahan.

"Saya sendiri telah melihat perlawanan Selangor ketika mereka seri dengan Kuala Lumpur Sabtu lalu dan daripada perlawanan itu, saya tahu apa yang perlu dilakukan oleh pemain-pemain saya.

"Lagipun, pemain-pemain saya sudah begitu serasi beraksi di gelanggang lawan dan saya rasa sokongan padu daripada penyokong Red Giants di Shah Alam malam esok (malam ini) tidak akan menjejaskan fokus kami," tambahnya.

Mengulas mengenai keberkesanan skuad utamanya, Irfan secara terbuka memuji kekentalan pada bahagian benteng pertahanan Terengganu yang diketuai oleh kapten Marzuki Yusof.

"Kami mempunyai dua pemain pertahanan dari Pahang, Hasmizan Kamaruddin dan Nik Zul Aziz Nawawi yang cukup bagus sementara Helmi Remeli pula telah kembali kepada prestasi terbaiknya," ujar Irfan.

No comments:

Post a Comment