Sunday, February 27, 2011

Akhirnya TTeam Menang

PENANTIAN pasukan berstatus kelab, T-Team untuk mencatat kemenangan pertama pada kempen Liga Super musim ini akhirnya tercapai.

Semalam, pasukan kendalian Yunus Alif itu bijak menampilkan permainan kelas tersendiri untuk membelasah Perlis 3-0.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, Khairul Izwan Khalid meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit ketiga.

Khairul yang tidak dikawal bijak menolak bola masuk ke gawang Perlis selepas berlaku perebutan dalam kawasan kotak penalti.

Tujuh minit kemudian, gawang pelawat yang dikemudi Hairol Fazreen bolos lagi, kali ini menerusi rembatan Badrul Hisani Abd Rahman.

Pada minit ke-13, Perlis dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan T-Team, Azizi Matt Rose, namun sepakan yang diambil Faiz Subri sekadar terkena tiang gol.

Bersambung babak kedua, T-Team kembali melancarkan serangan bertali arus dan hasilnya, Khairul Izwan berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-59.

Gol peribadi kedua Khairul itu hadir menerusi tandukan cantik hasil sepakan percuma Rosdi Talib.

T-Team berpeluang menambah gol keempat pada minit ke-89, namun percubaan Norfarhan Mohammad dari luar kotak penalti sekadar terkena tiang gol.

Bagaimanapun, kemenangan sulung yang dicatat pada aksi semalam membolehkan T-Team mengumpul empat mata daripada lima perlawanan.

Saturday, February 19, 2011

Fazly Alias Menyebabkan TTeam Tewas


Juara Piala Malaysia, Kelantan terselamat dengan penentuan penalti untuk terus memburu gelaran kedua Liga Malaysia musim ini dengan menewaskan T-Team 6-5 sekali gus mara ke pusingan kedua bola sepak Piala FA, semalam.

Jejak kemaraan Wira Merah itu disusuli skuad bawah 22 tahun negara, Harimau Muda A yang menumpaskan Sinar Dimaja Maisarah Navy 4-0 dalam satu lagi perlawanan pusingan pertama di Stadium Shah Alam.

Kelantan beroleh jaringan pembukaan menerusi Rizal Fahmi Rosid pada minit ke-51 sebelum disamakan oleh Indra Putra Mahayuddin dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu.

Kedua-dua pasukan bermain sehingga ke masa tambahan setengah jam setelah terikat 1-1 sepanjang 90 minit permainan sebenar biarpun kelab dari Terengganu itu menguasai sebahagian besar dengan mencipta sekurang-kurangnya enam peluang terbaik.

Gol Rizal Fahmi dicipta setelah dia menyempurnakan sepakan sudut dari sebelah kanan dengan tandukan yang menumpaskan bekas penjaga gol negara, Pahang dan Terengganu, Syamsuri Mustafa.

Namun Indra Putra yang mendapat umpanan silang daripada Harris Safwan Kamal, menangguhkan kegembiraan pelawat dengan rembatan voli sekali gus melegakan seketika T-Team yang dibimbing Yunus Aliff.

Penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha pula mensia-siakan peluang terbaik menyegerakan kelayakan Kelantan ke pusingan kedua setelah sepakan penaltinya pada masa kecederaan babak kedua tersasar tinggi.

Penentuan penalti kemudian dimenangi anak buah Datuk M. Karathu dengan keenam-enamnya disempurnakan oleh Norshahrul Idlan, Rizal Fahmi, Nurul Azwan Roya, Shakir Shaari, Daudsu Jamaludin dan Danial Fadly Abdullah.

Hanya Nor Fazly Alias yang gagal menyudahkan sepakan penalti keenam perlawanan untuk T-Team berbanding Indra Putra, Harris Safwan, Khairul Izwan Khalid, Badrul Hissani Rahman dan Shamsul Kamal Mohamad.

Akibat Keganasan Penyokong Kelantan


Perlawanan antara T Team vs Kelantan telah dicemari oleh lemparan batu oleh penyokong Kelantan kearah penonton tuan rumah.

Memang kita mengetahui bahawa penyokong Kelantan suka bertindak ganas dan suka membuat provakasi. Tanyalah penonton-penonton di stadium diseluruh Malaysia mengenai perangai dan sikap penyokong Kelantan yang suka bergaduh dari berbaik-baik



(Gambar : Penyokong Terengganu yang terkena batu yang dilempar oleh penyokong Kelantan)

Malah di stadiumnya sendiri mereka merusuh dan membakar kenderaan polis. Ada yang menjadi buta dan ada yang mati. KAFA telah berkali-kali dikena denda oleh FAM atas sikap kurang ajar penyokongnya.

Untuk penyokong Kelantan insaflah dan simpati terhadap mangsa yang terkena objek batu yang dilempar oleh penyokong Kelantan. Adakah anda tidak mempunyai perasaan? Adakah anda tidak menyesal kerana sikap ganas menyebabkan orang yang tidak bersalah cacat seumur hidup? Adakah anda tidak merasa sedih bila melihat ibu bapa meratap diatas kematian anaknya di stadium? Pada yang melempar batu anda tidak teringin meminta maaf kepada mangsa keganasan anda?

Bertaubatlah wahai penyokong Kelantan.

Wednesday, February 16, 2011

Akhirnya Terengganu Tewas


KETIADAAN Safee Sali belum menjejaskan jentera serangan Selangor yang mencipta nota ceria menewaskan Terengganu 3-2, malam tadi buat menyalakan harapan memburu kejuaraan Liga Super, musim ini.
Amri Yahyah yang bergandingan dengan Fadzli Saari di bahagian serangan membuktikan mereka mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Safee yang berpindah ke Indonesia apabila masing-masing tampil gah menyumbang satu gol di Stadium Shah Alam buat membutirkan kemenangan pertama Merah Kuning selepas empat perlawanan.
Selangor pimpinan K Devan menceriakan penyokong mereka apabila membuka tirai jaringan minit ke-17 hasil voli kencang Fadzli dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Hardi Jaafar.

Terengganu cuba bangkit dan hampir berjaya menyamakan kedudukan, namun tandukan Abdul Manaf Mamat hasil hantaran lintang Reshafiq Alwi pada minit-32 berjaya ditangkap kemas penjaga gol Selangor, Mohd Iqbal Suhaimi.

Seminit perlawanan disambung pada babak kedua, gawang Terengganu sekali lagi dibolosi hasil satu serangan pantas, kali ini menerusi tandukan mengelirukan Amri Yahyah yang menerima hantaran lintang Fadzli sebelum Azidan Sarudin menjadikan kedudukan 3-0 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti gagal ditampan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee.

Usaha pelawat mencari gol akhirnya berhasil apabila dihadiahkan sepakan penalti minit ke-68 yang disempurnakan pemain kebangsaan, Mohd Ashaari Shamsudin, sebelum Abdul Hadi menambah satu lagi gol minit ke-87. Namun ia sudah terlambat untuk menyekat kemenangan Selangor.

Tuesday, February 15, 2011

Memburu Kemenangan Kedua


Irfan Bakti percaya anak buahnya mampu menewaskan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini dan kemenangan itu boleh menjadi petanda arah tuju yang menyakinkan.

Skuad Penyu itu yang mencatat tiga mata pertama selepas tiga perlawanan dengan menundukkan Perlis 3-1 di Kangar Jumaat lalu telah mengatur persiapan rapi untuk memastikan Selangor menjadi mangsa kedua.

Menurut Irfan, ketiadaan Safee Sali dalam skuad Selangor juga bakal memberi sedikit kelebihan kepada pasukannya untuk meneruskan rekod tanpa kalah dalam kempen liga musim ini dan melangkah naik dari tangga kelima.

Selangor pula yang kian terdesak ekoran penghijrahan Safee ke Pelita Jaya sekadar berada di kedudukan ketujuh dengan empat mata selepas hanya mampu seri 1-1 menentang Kuala Lumpur.

"Beraksi di Stadium Shah Alam selalunya sukar, tetapi kami mempunyai rekod baik ketika menentang Selangor.

"Saya rasa ia bukan satu yang mustahil untuk kami menewaskan pasukan ini, lebih-lebih lagi dengan tahap keyakinan tinggi yang dimiliki pemain-pemain saya," jelas Irfan.

Malah, Irfan yang pernah bersama kelab Indonesia, Persipura Jayapura pada 2007 berkata ketiadaan Safee patut digunakan sepenuhnya oleh pasukannya untuk mengutip tiga mata penuh.

Bagaimanapun, Irfan enggan terlalu memandang rendah kemampuan pemain Selangor yang lain berdasarkan reputasi mereka selaku juara bertahan.

"Saya sendiri telah melihat perlawanan Selangor ketika mereka seri dengan Kuala Lumpur Sabtu lalu dan daripada perlawanan itu, saya tahu apa yang perlu dilakukan oleh pemain-pemain saya.

"Lagipun, pemain-pemain saya sudah begitu serasi beraksi di gelanggang lawan dan saya rasa sokongan padu daripada penyokong Red Giants di Shah Alam malam esok (malam ini) tidak akan menjejaskan fokus kami," tambahnya.

Mengulas mengenai keberkesanan skuad utamanya, Irfan secara terbuka memuji kekentalan pada bahagian benteng pertahanan Terengganu yang diketuai oleh kapten Marzuki Yusof.

"Kami mempunyai dua pemain pertahanan dari Pahang, Hasmizan Kamaruddin dan Nik Zul Aziz Nawawi yang cukup bagus sementara Helmi Remeli pula telah kembali kepada prestasi terbaiknya," ujar Irfan.

Saturday, February 12, 2011

Singa Tersungkur digelanggang sendiri.


Hasrat Perlis untuk memungut mata pertama musim ini tidak berjaya apabila tewas 1-3 kepada Terengganu dalam perlawanan ketiga Liga Super 2011 di Stadium Utama, Kangar semalam.

Perlis tersentak dengan jaringan pertama Terengganu melalui jaringan Abdul Hadi Yahya pada minit ke-23 selepas dia tidak dikawal dalam petak penalti dengan mudah menolak masuk hantaran leret Joseph Kalang Tie.

Tiga minit selepas itu kealpaan skuad Singa Utara dihukum lagi, kali ini giliran pemain kebangsaan, Mohd. Ashaari Shamsuddin mencatat nama sebagai penjaring bagi membolehkan Terengganu mendahului 2-0 pada separuh masa kedua.

Peluang Perlis untuk bangkit pada separuh masa kedua seakan tertutup apabila pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim memperoleh gol ketiga pada minit ke-59 melalui jaringan penalti Abdul Manaf Mamat.

Bagaimanapun, Perlis berjaya memperoleh gol saguhati 10 minit kemudian apabila Mohd. Hafiszuan Salehuddin berjaya melakukan rembatan jarak jauh deras dari luar petak penalti menewaskan Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.

Ketika Perlis cuba bangkit pada baki perlawanan mereka tersentak dengan pemberian kad merah oleh pengadil perlawanan kepada Hafiszuan yang menerima kad kuning kedua pada minit ke-75 kerana membantah keputusan pengadil.

Friday, February 11, 2011

Lulus

STADIUM Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu akhirnya mendapat lampu hijau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menjadi gelanggang perlawanan di sebelah malam selepas masalah cahaya lampu limpah berakhir.

Pemeriksaan dijalankan kelmarin mendapati cahaya 120 lampu baru yang dipasang di stadium itu menepati syarat ditetapkan FAM.


Keputusan itu dibuat Ketua Unit Pertandingan Tempatan FAM, Ahmad Fuad Daud yang menjalankan pemeriksaan terhadap lampu di stadium itu bersama ahli jawatankuasa, Azlan Johar, dan mendapati cahayanya menepati syarat iaitu 800 lux.

Ahmad Fuad berkata, 120 lampu baru berharga RM600,000 yang dipasang di stadium itu sudah dapat menerangi sembilan tempat dalam kawasan padang dengan lebih baik berbanding sebelum ini.


“Kami menggunakan alat digital lux meter untuk mengukur kadar cahaya itu dan mendapati ia mencapai keterangan cahaya 1,000 lux melebihi 200 lux seperti yang ditetapkan FAM jika perlawanan diadakan pada waktu malam,” katanya.


Fuad bagaimanapun meminta kontraktor terbabit supaya dapat memperbaiki sedikit cahaya di tepi padang berhadapan tempat duduk penonton.


foto dr tfc.

Tuesday, February 8, 2011

Kelantan Hanya Seri Dengan Terengganu

T Team Akan Bangkit


SKUAD T-Team akan berusaha memastikan pertemuan dengan Harimau Muda A Sabtu ini menjadi medan menebus kekalahan kepada Negeri Sembilan 1-3 dalam perlawanan lalu.

Matlamat T-Team, yang kini menduduki tangga kedua tercorot selepas hanya mengutip satu mata dalam perlawanan pertama, dapat memulakan titik kebangkitan dalam saingan Liga Super.

Jurulatihnya, Yunus Alif optimis kesebelasan utama yang akan diturunkan nanti dapat melakukan kejutan kepada pasukan kendalian Ong Kim Swee yang sedang dibuai semangat selepas kemenangan 3-1 ke atas Pahang dalam perlawanan keduanya.

Sambil menyifatkan kekalahan T-Team kepada Negeri Sembilan minggu lalu berpunca daripada kegugupan penjaga gol kedua Ismail Abdul Rahman melihat nama besar penyerang lawan termasuk Hairuddin Omar, Ismail Abdul Rahman sudah dapat mengatasi rasa gemuruh itu apabila diturunkan sekali lagi berikutan kecederaan lutut penjaga gol utama, Syamsuri Mustaffa.

“Saya yakin Ismail Abdul Rahman dapat mengatasi masalah itu dan tidak lagi mudah diperdaya menjelang pertemuan dengan Harimau Muda A,” katanya, semalam.

Barisan tengah yang dijana dua pemain pengalaman, Zairo Anuar Zailani bersama Tengku Hasbullah Hassan juga diarah bijak menguasai bahagian penting itu dan mengumpan tepat kepada rakan penyerang di depan.

Monday, February 7, 2011

Manaf Kembali

TERENGGANU yang berkunjung ke Perlis Jumaat ini dengan hanya satu matlamat iaitu mencari kemenangan dan pulang membawa tiga mata apabila aksi Liga Super bersambung.

Bagi memastikan matlamat itu mencapai sasaran, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim tiada pilihan kecuali menurunkan kesebelasan utama dengan harapan anak buahnya mampu memikul tugas memburu kemenangan sulung.

Jika dalam dua perlawanan lalu, Terengganu hanya seri dengan Sabah dan Kelantan, peluang melakar kemenangan ke atas Perlis dilihatnya lebih cerah.

Berita gembira buat bekas jurulatih Singa Utara itu ialah penyerang Manaf Mamat sudah pulih daripada kecederaan dan disahkan boleh digandingkan bersama Abdul Hadi Yahya dan Ashaari Shamsuddin dalam perlawanan di Stadium Utama Negeri di Kangar itu.


“Kehadiran semula Manaf yang cedera ketika bertemu Polis sebelum liga bermula, memantapkan jentera serangan dan ini mencerahkan peluang untuk memungut tiga mata, selepas seri dalam dua perlawanan lalu,” katanya, semalam.

Irfan berkata, dalam dua perlawanan lalu, barisan serangannya kurang bertenaga dan banyak mensia-sia peluang jaringan tetapi kepulangan Manaf yang cukup serasi dengan Abdul Hadi dan Ashaari menambah sengat pasukan, seperti yang dipamerkan dalam beberapa pemanas badan sebelum ini.

Kapten Marzuki Yusof dan Roni Harun juga diarah memperketatkan benteng pertahanan supaya barisan depan Perlis, yang tewas dalam dua perlawanan awal, tidak mampu mencari ruang melakukan cubaan ke arah gawang Terengganu.

Sunday, February 6, 2011

Pemain Serba Boleh

Pemain Terengganu (Berdiri: kedua dari kanan) dianggap pemain yang berbisa baik diluar padang dan di padang. Di padang, pemain ini mampu berlari selama 90 minit, mampu menjadi penyerang dan boleh bermain di bahagian sayap.

Di luar padang, pemain ini mampu mengarah supaya lampu stadium ditukar dengan yang baru mengikut standard FAM. Selain daripada itu pemain memberi bantuan untuk Pasukan Terengganu & TTeam sebanyak RM5 juta untuk persiapan menghadapi Liga Super 2011.

Pemain ini ialah YAB Dato Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu. Sekarang ini bermain dengan Pasukan Menteri Besar.

Saturday, February 5, 2011

Perlis Bimbang


SELEPAS dua kekalahan berturut-turut, Singa Utara bertekad tidak mahu memanjangkan kempunan kemenangan apabila beraksi di laman sendiri dalam saingan Liga Super berdepan Terengganu, Jumaat ini.

Justeru, ketua jurulatih Mosthakeen Omar menggunakan tempoh seminggu rehat untuk menangani segala kelemahan dan kekurangan yang dikenal pasti dalam permainan Perlis.

Antaranya ialah meningkat dan memantapkan tahap keupayaan semua posisi terutama di bahagian jentera serangan yang dilihat kurang tajam dalam melakukan penyudah.
“Selepas dua perlawanan, barisan depan masih kurang tajam, hanya meledakkan satu jaringan (ketika tewas 1-3 kepada Pahang) biarpun disajikan begitu banyak peluang dalam perlawanan itu dan ketika tewas 0-2 kepada Selangor,” katanya, semalam.

Pengendali berpengalaman yang pernah beraksi di posisi tengah skuad kebangsaan dan Kedah itu berkata, benteng pertahanan juga perlu diperkemaskan supaya tidak memudahkan lawan mencuri peluang seperti ketika bolos dua gol kepada Selangor, Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Mosthakeen mengakui cabaran Terengganu yang kini dibimbing bekas pengendali Perlis, Irfan Bakti Abu Salim tidak boleh dipandang remeh selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dalam dua perlawanan setakat ini.

Sehubungan itu, dia berharap kapten Azmizi Azmi perlu berada pada tahap fizikal dan mental terbaik untuk menyaingi barisan seimbang Terengganu, sekali gus mengembalikan keyakinan peminat setia di Stadium Utama Negeri di Kangar.

Thursday, February 3, 2011

Seri Kerana Pemain Terengganu Tinggi Lampai

GARA-GARA terlalu ghairah memburu kemenangan, hasilnya Kelantan hanya sekadar berkongsi mata apabila diikat seri 1-1 oleh jiran tetangga, Terengganu dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed Ke IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M.Karathu memberitahu, keghairahan untuk membantu jentera serangan mencari gol menyebabkan pemain-pemain pertahanannya terperangkap sehingga Terengganu berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-69 menerusi Marzuki Yusof biarpun Kelantan terlebih dahulu membuka tirai jaringan melalui Badri Radzi pada minit ke-35.

Menurutnya, Terengganu yang kerap melakukan serangan pantas, telah beberapa kali berjaya memecah benteng Kelantan ekoran pemain pertahanan yang sering meninggalkan posisi namun, kecekapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat menafikan hajat Terengganu.

“Semalam (kelmarin) kita berdepan satu perlawanan yang cukup pantas, lebih pantas daripada aksi menentang Selangor pada Piala Sumbangsih lalu. Terengganu sebuah pasukan yang cukup bagus dan ia telah menghadirkan kesukaran kepada kami. Sepatutnya kita menang di tempat sendiri, tetapi inilah bola sepak.

“Kita mengesan beberapa kelemahan termasuk kegagalan mengawal pemain lawan menyebabkan beberapa gerakan yang dihasilkan Terengganu kerap mencemaskan benteng kita. Saya fikir pertahanan perlu lebih bekerja keras untuk mantapkan permainan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, Terengganu berjaya memanfaatkan kelebihan memiliki pemain yang tinggi lampai dengan bermain bola lampung serta hantaran-hantaran lintang yang cukup bahaya sehingga memaksa pertahanan Kelantan bekerja keras.

Jelasnya, sikap membiarkan Terengganu memiliki sepakan sudut dan sepakan percuma berhampiran kotak penalti adalah situasi yang tidak begitu bagus dan buktinya Marzuki Yusof menggunakan ketinggiannya merobek gawang Kelantan menerusi tandukan selepas menerima hantaran Joseph Kalang Tie melalui sepakan percuma.

“Kita juga memiliki beberapa peluang tapi kurang bernasib baik kerana gagal menyudahkannya.

Dalam bola sepak peluang harus diterjemahkan dengan gol dan saya melihat kita masih lemah dari segi hantaran dan ia perlu diatasi segera.

“Beraksi dua perlawanan dalam tempoh tiga hari juga agak memenatkan. Kita sudah all out menentang Selangor, perjalanan pulang yang jauh dan selepas itu terus turun berlatih. Ini juga antara faktornya mengapa pemain sedikit lesu malam semalam (kelmarin),” jelasnya.

Dalam pada itu, Karathu memberitahu, tempoh 12 hari rehat ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperbaiki segala kelemahan dan memastikan pemain yang tersenarai untuk perlawanan seterusnya adalah yang terbaik.

Tewas Kerana Ketiadaan Syamsuri


Sebaliknya, pasukan penuh kontroversi yang diperkuatkan dengan penampilan Indra Putra Mahyuddin, Nor Farhan Muhammad dan Azizi Matt Rose itu masih gagal merekodkan sebarang kemenangan selepas melalui dua perlawanan awal.

Bermula garang dengan mengikat bekas juara Piala Malaysia, Kedah dengan seri tanpa jaringan di Alor Setar minggu lalu, anak buah Yunus Alif itu kembali longlai apabila mudah diratah Negeri Sembilan dengan kekalahan 1-3 di Paroi kelmarin.

Kekalahan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap kemampuan sebenar pasukan T-Team yang sebelum ini dicanang sebagai antara pasukan yang perlu diberi perhatian untuk kempen Liga Super.

Namun, Yunus yang tampil selaku pengendali baru T-Team musim ini tetap tenang dengan situasi yang menimpa pasukannya sambil menyifatkan semua itu sebagai perkara biasa dalam bola sepak.

"Mungkin ada pihak yang mula mempersoalkan kemampuan kami, tetapi saya tidak perlu panik. Saya tahu kemampuan pasukan ini dan hanya perlu menunggu masa untuk melihat hasilnya.

"Lagipun, pasukan ini dibentuk daripada kombinasi beberapa pemain terbaik dan sudah pasti kami memerlukan masa untuk menjadi sebuah pasukan terbaik pada perlawanan bertaraf tinggi seperti Liga Super," katanya kepada Kosmo! semalam.

Yunus juga menjelaskan dua perlawanan awal yang dilalui sebelum ini tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk menilai keberkesanan sebenar pasukannya sepanjang musim ini.

Malah katanya, kehadiran beberapa pemain hebat seperti Indra dan Nor Farhan juga bukanlah tiket untuk mereka meraih kemenangan mudah ketika berdepan pasukan gergasi seperti Kedah dan Negeri Sembilan.

"Bola sepak adalah sukan berpasukan dan saya tidak mahu kekuatan pasukan ini dilihat hanya kepada kelebihan beberapa pemain sahaja," ujarnya lagi.

Mengulas mengenai impak yang telah diberikan bekas trio Kelantan itu, Yunus menganggap persoalan itu masih terlalu awal untuk disimpulkan.

Namun katanya, Indra, Nor Farhan dan Azizi tetap memiliki kelebihan tersendiri dan telah memberi sumbangan besar kepada pasukan dalam dua perlawanan awal sebelum ini.

"Apa yang ingin saya katakan ialah kami perlukan sekurang-kurangnya empat atau lima perlawanan lagi sebelum meletup sebagai sebuah pasukan dengan kekuatan sebenar," katanya.

Dalam pada itu, Yunus mengakui ketiadaan penjaga gol utama, Syamsuri Mustafa dalam dua perlawanan awal musim ini telah memberi kesan ketara kepada pasukannya.

"Buat masa ini kami perlu menggunakan khidmat penjaga gol muda, Ismail Abdul Rahman untuk menjaga gawang T-Team ekoran kecederaan yang menimpa Syamsuri.

"Selain itu, faktor keletihan kerana perlu beraksi di gelanggang lawan ekoran masalah teknikal pada stadium di Kuala Terengganu turut memberi kesan kepada tahap kecergasan pemain," jelasnya

Wednesday, February 2, 2011

Khairul Fahmi Tertewas Dengan Tandukan Marzuki


KELANTAN gagal meneruskan retak cemerlang mereka dalam kempen awal Liga Super musim 2011 apabila hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan Terengganu pada pertemuan di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.

Selepas menjulang Piala Sumbangsih dengan mengutip tiga mata penuh ke atas Selangor, Sabtu lalu, skuad kendalian Datuk M. Karathu itu jelas tidak menghampakan lebih 25,000 penyokong The Red Warriors apabila mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan kapten Mohd. Badri Radzi pada minit ke-35.

Begitupun, hasrat untuk mencatat kemenangan kedua berturut- turut tidak kesampaian apabila Marzuki Yusof menanduk masuk gol penyamaan Terengganu hasil hantaran lintang Joseph Kalang Tie pada minit ke-69.

Tersentak dengan gol penyamaan tersebut, Kelantan cuba mengasak kubu Terengganu pada baki permainan, namun ketumpulan penyudah menghalang The Red Warriors menambah jaringan dan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Rekod Liga : Marzuki pemain pertama berjaya menembusi jarngan Kelantan yang dijaga oleh Khairul Fahmi (penjaga gol terbaik Malaysia). dan juga pemain Terengganu yang pertama menjaring gol.

Kredit photo: Tuan Mohammad Syafiq. KingVirus Penyu & Nobi Ta

Indra Belum Mampu Memberi Kemenangan

Negeri Sembilan menepati status sebagai pasukan pilihan apabila merakamkan kemenangan kedua di Stadium Paroi dengan menjinakkan T-Team 3-1, semalam.

Kemenangan itu meletakkan skuad Hoben Jang Hoben itu di tangga teratas selepas dua perlawanan mengutip enam mata.

Pemain veteran, Idris Karim meletakkan skuad pelawat di hadapan apabila menanduk masuk gol pertama berpunca sepakan sudut pada minit ke-27, namun T-Team berjaya menyamakan kedudukan menerusi Rosdi Talib.

Carta Liga


Keputusan Perlawanan pada 1.2.11

T-Team (1) vs (3) Negeri Sembilan
Rosdi Talib - min-42 min 30, 68 - Idris Karim & min 54 - Firdaus Azizul

Kelantan (1) vs (1) Terengganu
Badhri Radzi - min-36 min 68 - Marzuki Yusof

Tuesday, February 1, 2011

Penyokong Terengganu Sudah Berada Di Kota Baru

MAHU tiga mata penuh lagi. Itu keyakinan pengendali The Red Warriors, Datuk M Karathu menjelang pertemuan menentang Terengganu di Stadium Sultan Mohd IV, malam ini.

Meskipun menghormati kekuatan juara Piala Malaysia 2001 itu, Karathu mahu kecemerlangan anak buahnya ketika menumbangkan Selangor dalam saingan sumbangsih Sabtu lalu, diteruskan.

Karathu berkata, meskipun masih belum mengetahui kekuatan sebenar The Red Warriors sejak mengambil alih tanggungjawab daripada B Sathianathan minggu lalu, beliau menaruh harapan tinggi buat anak buahnya mengatasi Terengganu di gelanggang sendiri.
“Berdasarkan prestasi ditunjukkan Sabtu lalu, saya yakin pasukan ini mampu memungut tiga mata penuh tetapi saya tetap menghormati kekuatan Terengganu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Karathu berkata barisan pemain sama akan diturunkan tetapi percaturannya lebih tertumpu kepada posisi pertahanan dan jentera serangan.
Manakala Terengganu akan menurun kesebelasan pemain utama untuk menewaskan pasukan Kelantan. Dengan kehadiran penyokong Kelab Peteh dapat menyuntik semangat pemain Terengganu.