Sunday, October 7, 2012

Perlu Penolong Jurulatih Lesen A



Khalid Mat Dahan tidak dapat dilantik menjadi penolong jurulatih pasukan bola sepak Terengganu pada musim akan datang kerana tidak memenuhi syarat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh ketika mengesahkan perkara itu berkata, FAM menetapkan syarat, mana-mana jurulatih dan penolong jurulatih perlu mempunyai lesen A.

Dengan perkembangan terbaru itu kata Che Mat, PBSNT mengadakan mesyuarat darurat malam semalam dan mengambil keputusan menyerahkan kepada pengurusan baru pasukan mencari penolong jurulatih baru.

“Mana-mana individu yang tidak mempunyai lesen jurulatih A tidak boleh dilantik, itu syarat FAM. Tahun lepas kita dapat pengecualian tapi tidak kali ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa, sehingga kini terdapat tujuh nama yang dilihat berpotensi untuk menjadi jurulatih pasukan bola sepak Terengganu selepas Peter Butler digugurkan.

Menurutnya, ada beberapa individu yang berminat untuk melatih pasukan Terengganu dan pemilihan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Kalau boleh kita mahu dapatkan khidmat anak Terengganu kerana mudah mewujudkan persefahaman,” katanya.

No comments:

Post a Comment