Thursday, October 4, 2012

Sedia Berdailog

"SAYA tidak pernah tutup pintu untuk berbincang, malah mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu ambil alih pengurusan bola sepak sekiranya mereka benar-benar serius,” luah Presiden Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh.

Sehubungan itu, katanya, beliau sedia mengadakan pertemuan dan sesi dialog bersama wakil penyokong pasukan penyu yang baru-baru ini mengadakan demonstrasi mendesaknya meletakkan jawatan.

“Sekiranya mereka peminat bola sepak dan ada idea untuk memajukan lagi pasukan ini, saya sedia untuk bertemu, mendengar dan berbincang dengan mereka, tiada masalah pun bagi saya asalkan tidak campur adukkan bola sepak dengan unsur-unsur lain.

“Apa yang saya kesal ialah budaya mengadakan demonstrasi ini sedangkan kita orang timur, tidak kena dengan budaya ketimuran kita. Negara ada undang-undang, gunakanlah saluran profesional untuk kita berbincang mengenai sesuatu perkara,” katanya.

Sabtu lalu, kira-kira 500 penyokong pasukan bola sepak Terengganu mengadakan demonstrasi di kawasan parkir di hadapan Pusat Akuatik bermula jam 10.30 pagi bagi menyatakan pendirian mereka supaya satu perubahan besar dilakukan dalam pentadbiran PBSNT.

Dalam kempen Asal Bukan Che Mat (ABC) selama hampir dua jam itu, mereka turut menyatakan bahawa tidak akan berhenti berdemonstrasi selagi tiada perubahan dan tiada dialog terbuka bersama Presiden PBSNT itu.

Mengulas mengenai desakan itu, Che Mat berkata, beliau tidak mahu berkelahi dan menyalahkan sesiapa dalam hal ini, namun meminta agar diberikan peluang untuk membentuk sebuah pasukan lebih mantap, sekali gus mengembalikan semula kegemilangan skuad Terengganu.

Katanya lagi, beliau tetap akan meneruskan tanggungjawabnya sebagai Presiden PBSNT walaupun menerima banyak tekanan daripada pelbagai pihak khususnya penyokong setia Terengganu agar beliau meletakkan jawatan.


“Berilah kami peluang, kita ada peraturan yang perlu dipatuhi termasuk melibatkan tugas pengurusan. Kita ada tiga orang penting iaitu seorang pengurus dan dua penolong pengurus pasukan, jadi, kita yakin mereka dapat lakukan sebaik mungkin.

“Walau pelbagai cabaran dilalui, saya akan teruskan tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya seperti biasa. Apa yang berlaku sekarang adalah perubahan yang sedang kita lakukan secara berperingkat,” katanya.

Beliau menjelaskan, pengurusan baru pasukan Terengganu akan diberi kebebasan termasuk dalam menentukan pemain yang bakal membentuk keserasian, sekali gus mencipta kejayaan dalam Liga Malaysia musim depan.

“Insya-ALLAH kita akan beri kebebasan mereka untuk buat sesuatu yang boleh membantu menjulang semula pasukan Terengganu dalam sukan bola sepak tanah air. Siapa yang tak nak menang, jadi beri kami peluang untuk kenal pasti masalah,” katanya.

No comments:

Post a Comment