Thursday, October 4, 2012

Rayuan Butler Diteliti

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mempertimbangkan rayuan jurulatih Terengganu, Peter Butler berhubung hukuman penggantungannya selama enam bulan.

Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah bertitah, pihaknya telah menerima rayuan daripada Butler dan akan membuat pertimbangan dengan teliti sebelum memutuskan sama ada jurulatih dari England itu bersalah atau sebaliknya.

"Saya telah dimaklumkan kes berkenaan telah diambil tindakan sewajarnya oleh Jawatankuasa Disiplin Terengganu dan beliau turut membuat rayuan kepada Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Saya akan meneliti rayuan itu kerana bukan perkara mudah untuk menghakimi seseorang kerana perlu memikirkan implikasi atau kesannya kelak," tegas Presiden FAM itu.

Sultan Ahmad Shah bertitah demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi meninjau perkembangan projek pembinaan Jambatan Kampung Kawah, Sungai Lembing di sini, semalam.

Menurut Sultan Ahmad Shah, segala keputusan yang akan dibuat ke atas jurulatih berusia 46 tahun itu memerlukan masa dan tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru.

"Beri saya peluang dan masa untuk menimbang serta mendengar rayuan tersebut kerana mungkin di Terengganu dia didapati bersalah, mungkin bila merayu ke FAM lain pula... Kita tengok.

"Ini kerana saya memerlukan masa sebab perkara ini sangat terperinci dan tidak boleh hari ini merayu dan esok keputusannya," jelas Sultan Ahmad Shah.

No comments:

Post a Comment