Friday, October 19, 2012

Rayuan Butler Diterima Oleh FAM


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) yang mengenakan penggantungan selama enam bulan dan denda RM4,000 ke atas bekas jurulatih mereka, Peter James Butler pada 17 September lalu.

Ketika mengumumkan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufik Abdul Razak berkata keputusan PBSNT itu tidak sah dan terbatal kerana tidak mengikuti prosedur yang ditetapkan termasuk tidak menyediakan kertas pertuduhan ke atas Butler. 

"Mereka juga tidak mengguna pakai kod tatatertib yang digunakan oleh kita malahan menjatuhi hukuman secara rambang sahaja terhadap Butler," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut di Wisma FAM di sini, hari ini.


Butler, 46, dikenakan hukuman tersebut kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung dakwaan salah laku dua pemain Terengganu membawa wanita masuk ke bilik mereka tanpa terlebih dahulu melaporkannya kepada pihak pengurusan. 

PBSNT yang bersidang tiga hari kemudian bertindak membatalkan kontrak jurulatih berkenaan melalui sepucuk surat yang dihantar kepadanya. 

Keputusan pembatalan itu membolehkan jurulatih berbangsa Inggeris dari Halifax, Ireland itu memperoleh semula kontraknya yang masih berbaki sehingga Disember 2013. 

Mengulas lanjut, Taufik berkata pihaknya turut membatalkan keputusan oleh Jawatankuasa Disiplin PBSNT itu kerana kehadiran individu yang mempunyai kepentingan dalam skuad Penyu sewaktu perbicaraan ke atas Butler dijalankan pada September lalu. 

Taufik berkata PBSNT boleh mengemukakan rayuan berhubung keputusan badan induk bola sepak negara itu kepada Jawatankuasa Status Pemain yang dipengerusikan oleh Datuk Takiyuddin Hassan. 

"Bidang tugas kita hanyalah mendengar keputusan rayuan yang dibawa oleh jurulatih berkenaan saja (Peter James Butler)," katanya

No comments:

Post a Comment