Thursday, August 23, 2012

Kelantan Tewas

Terengganu berada di depan menerusi tandukan Francis Forkey Doe seawal minit ketiga, namun terpaksa menunggu lama untuk mengesahkan kemenangan mereka apabila Ismail Faruqi menjaringkan gol pada minit ke-89 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. 

Terengganu menguasai bahagian tengah tatkala Kelantan masih mencari rentak permainan mereka. Ternyata situasi itu memakan diri dengan dikejutkan gol awal tuan rumah. 

Francis Forkey Doe melonjak tinggi untuk menanduk masuk sepakan percuma ke penjuru gol pada minit ke tiga untuk melepasi halangan Khairul Fahmi Che Mat untuk menceriakan peminat.

Bojan Hodak mengarahkan pemainnya bertindak agresif sehingga mengubah Kelantan penguasaan permainan. Pertahanan kedua pasukan kemudian mengekang pergerakan lawan dengan baik. 

Kelantan memiliki peluang yang baik di depan gol, tetapi pemburuan gol persamaan yang ditunggu masih belum tiba. 

Red Warriors begitu hampir untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-53, tetapi Norshahrul Idlan Talaha gagal memanfaatkan peluang terbuka. 

Pelawat terus memberi tekanan memburu gol dan melancarkan asakan ke kubu Terengganu. Sharbinee Alawee Ramli ternyata kental untuk menahan asakan dengan menidakkan beberapa peluang pemain lawan. 

Pertahanan Terengganu, Mohd Muslim Mohamad kemudian dilayangkan kad kuning, tetapi Red Warriors mendapat hukuman lebih berat dengan kehilangan Mohd Daudsu Jamaluddin yang mengutip kad kuning kedua akibat mengasari Joseph Kalang Tie. 

Francis hampir menggandakan jaringannya dengan kelincahannya, tetapi kali ini penyudahnya kurang tajam meskipun pintu gol sudah terbuka luas. 

S. Subramaniam menjadi pemain seterusnya mengutip kad kuning pada minit ke-79 dengan Kelantan mula mengendurkan asakan. 

Tempo permainan menjadi rancak semula pada lima minit terakhir dengan Kelantan masih belum berputus asa untuk mencuri satu mata tatkala Terengganu terus garang sehingga mendapat gol kedua melalui sepakan Ismail Faruqi. 

Pemain Terengganu tenang untuk menunggu wisel penamat walaupun Kelantan tetap berusaha di saat-saat akhir.

No comments:

Post a Comment