Monday, August 20, 2012

Tidak Gentar

Meskipun terpaksa berdepan dengan kumpulan ‘maut’ dalam saingan Piala Malaysia musim ini, namun pengendali Pasukan Terengganu, Peter Butler sedikitpun tidak gentar sebaliknya yakin bahawa pasukan bimbingannya itu turut berpeluang dalam merebut gelaran juara piala berprestij itu.

Lebih membanggakan lagi, Terengganu boleh dikatakan menjadi satu-satunya pasukan yang bersaing dalam Piala Malaysia musim ini tanpa kelibat pemain pinjaman mahupun mengadakan perlawanan persahabatan sebelum perlawanan pembuka tirai pada 22 Ogos ini.

Finalis Piala Malaysia musim lalu itu diletakkan dalam kumpulan ‘maut’ selepas diundi bersama juara Liga Super, Kelantan, juara Liga Premier, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kedah.

Begitu pun, Peter Butler berkata, apa-apa sahaja boleh berlaku dalam saingan Piala Malaysia dan yakin pasukannya mampu mengharungi kejohanan itu biarpun mereka terpaksa beraksi dengan pemain sedia ada sebagaimana Piala FA dan Liga Super musim ini.

Menurutnya, pemain pinjaman dan perlawanan persahabatan bukanlah ukuran kepada kejayaan sesebuah pasukan itu asalkan pasukan mempunyai latihan yang konsisten dan kecerdasan dalam kalangan pemain.

“Apa yang kita kurang dalam perlawanan persahabatan kita seimbangkan dalam sesi latihan yang diadakan setiap petang menjelang perlawanan pembukaan itu nanti dan ia bukan menjadi halangan buat kami.

“Bagi saya kecergasan dalam kalangan pemain bukan satu isu tetapi latihan perlawanan merupakan inti pati penting dalam memantapkan pasukan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan ringan pasukan di Pantai Batu Burok di sini, semalam.

Dalam pada itu, Butler mengakui beliau lebih percaya dengan acuan pemain tempatan berbanding mengambil pemain daripada kelab-kelab lain dan merasakan pemain muda daripada pasukan Piala Presiden Terengganu sewajarnya diberi peluang untuk menerima pendedahan yang lebih besar.

“Apa yang penting bagi saya adalah ingin memberi peluang kepada pemain-pemain muda Terengganu berbanding mengambil pemain luar kerana mereka ini (pemain pinjaman) hanya akan mewarnai pasukan selama beberapa bulan sahaja.

“Justeru, pemain muda inilah merupakan pelapis sebenar pasukan pada masa akan datang dan mereka amat penting kepada pasukan apatah lagi apabila kita terpaksa mengharungi perlawanan yang padat dengan hanya berselang setiap tiga hari,” katanya.

Pada aksi Piala Malaysia musim ini, enam pemain muda telah diserapkan bersama skuad Penyu iaitu Mohd Kahirul Rosmadi (pertahanan); Mohd Humaidi Adzmi (pertahanan); Mohd Takhiyuddin Roslan (tengah); Mohd Fahmi Izuddin Mohd Zaki (tengah); Wan Muhammad Fridaus Wan Demi (penyerang) dan Muhammad Fakhrurazi Musa (penyerang).

No comments:

Post a Comment