Wednesday, August 22, 2012

Perlu Menang

NAIB juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu menjanjikan aksi menarik pada pertembungan musuh tradisi Kelantan dalam saingan pembukaan piala berprestij itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Pengendalinya, Peter James Butler berkata, pasukan bimbingannya bersedia berdepan pasukan The Red Warrior itu dan menjangkakan perlawanan antara dua jaguh Pantai Timur itu akan mempamerkan persaingan sengit.

Menurutnya, beliau menghormati pasukan Kelantan tetapi tidak gentar apabila berdepan dengan dua juara kempen Piala Malaysia - Piala FA dan Liga Super musim ini dan berjanji memberikan saingan kompetitif apabila masing-masing ingin meraih kemenangan dalam perlawanan pembuka tirai Piala Malaysia.

“Kelantan merupakan sebuah pasukan yang kuat ketika ini, apatah lagi pemain mereka sudah lama bersama dan saling mempunyai kesefahaman tinggi antara satu sama lain.

“Saya merasakan apa yang penting pada perlawanan itu nanti adalah kemenangan dan kita akan memberikan saingan dalam setiap sudut terhadap mereka,” katanya ketika ditemui ketika sesi latihan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang kelmarin.

Butler berkata, beliau akan memastikan skuad Penyu akan bermain bersungguh-sungguh dalam meraih kemenangan dalam perlawanan menentang juara Liga Super itu.

Katanya, dia amat berpuas hati terhadap komitmen yang ditunjukkan anak buahnya sepanjang latihan pada bulan puasa, malah kecerdasan mereka bertambah baik menjelang perlawanan sulung mereka menentang Kelantan malam nanti.

“Biarpun kami berdepan sedikit kesukaran terutamanya pada bulan puasa dan kemudahan latihan yang terbatas, namun persiapan dapat dilaksanakan dengan sempurna ditambah pula dengan kesungguhan yang ditunjukkan barisan pemain yang begitu baik sekali.

“Saya kini mempersiapkan formasi terakhir dan akan memilih kesebelasan utama yang bakal diturunkan pada perlawanan itu nanti kerana kami mahu turunkan pasukan yang terbaik esok (malam ini),” katanya.

Menurutnya, beliau tidak akan mengumumkan siapa yang akan diturunkan nanti sebaliknya mengakui mereka yang dipertanggungjawabkan dalam kesebelasan utama skuad Penyu adalah pemain yang betul–betul layak berdasarkan prestasi yang ditunjukkan sepanjang latihan.

Menyentuh mengenai enam pemain muda skuad Presiden yang diserapkan dalam pasukan senior, Butler memberitahu, dia sudah melihat ada beberapa pemain yang mempunyai potensi untuk menyinar dalam kancah Piala Malaysia dan berkemungkinan akan digandingkan dalam kesebelasan utama.

“Terengganu mempunyai ramai bakat muda yang boleh diketengahkan dalam peringkat lebih tinggi malah jurulatih memainkan peranan dalam memberi pendedahan kepada mereka.

“Kelibat pemain muda ini sudah tentu akan digunakan dalam kancah Piala Malaysia ini dalam memberi pendedahan kepada mereka,” katanya.

Butler berkata, dia akan cuba sedaya upaya membentuk pasukan yang mampu memberi saingan dan memenangi semua perlawanan dalam saingan Piala Malaysia.

Bagaimanapun, dia menyedari ia satu tugas berat apabila diletakkan dalam kumpulan yang sukar dan dianggap maut bersama-sama Kelantan, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, pemain berpengalaman dari Bumi Kenyalang, Joseph Kalang Tie menyifatkan penguasaan di bahagian tengah bakal menjadi penentu kemenangan dalam perlawanan pembuka tirai Piala Malaysia ketika turun melayan kunjungan Kelantan malam nanti.

Joseph Kalang berkata, secara fizikal dan mental, Terengganu kini dilihat sudah bersedia untuk berdepan TRW dalam perlawanan di laman sendiri.

“Bagaimanapun, saya merasakan apa yang penting dalam perlawanan itu nanti adalah pemain perlu meletakkan mentaliti untuk meraih kemenangan.

“Kita juga perlu memastikan bahagian tengah dapat dikuasai sepenuhnya untuk mematahkan perancangan yang dirangka Kelantan pada perlawanan itu nanti,” katanya ketika ditemui sejurus tamat sesi latihan kelmarin.

Dalam pada itu, Joseph memberitahu, penguasaan di bahagian tengah memainkan peranan penting kerana ia akan menentukan keupayaan pasukan masing-masing dalam merealisasikan strategi dirangka jurulatih.

Justeru, dia mengharapkan skuad Penyu dapat mengurangkan kesilapan di bahagian tengah dalam memberi persaingan sengit kepada seteru tradisi itu.

“Siapa yang membuat banyak kesilapan di bahagian tengah pada perlawanan itu akan mengundang padah.

“Sebaliknya mereka yang dapat mengurangkan kesilapan, saya menjangkakan pasukan tersebut akan meraih kemenangan dalam perlawanan sengit lagi penuh kompetitif itu kelak,” katanya.

Sementara itu, dia turut mengakui, keseluruhannya pemain juga sudah bersedia dan akan mengikut segala perancangan jurulatih dalam mengekang jentera tengah Kelantan.

No comments:

Post a Comment