Monday, August 20, 2012

Tiada Pemain Pinjaman

Terengganu tetap optimis mampu bersaing dalam kempen Piala Malaysia musim ini walaupun tanpa meminjam pemain dari pasukan lain.

Ketua jurulatihnya, Peter James Butler berkata beliau yakin Terengganu mampu mengharungi kejohanan dengan pemain sedia ada yang bermain dalam kejohanan Piala FA dan Liga Super. 

Sebaliknya beliau merasakan pemain muda daripada pasukan Piala Presiden Terengganu wajar diberi peluang. 

"Pemain muda inilah merupakan pelapis sebenar pasukan pada masa akan datang dan mereka amat penting kepada pasukan apatah lagi apabila kita terpaksa mengharungi perlawanan yang padat dengan hanya berselang setiap tiga hari," katanya.
   
Untuk musim ini, enam pemain muda telah diserapkan bersama skuad Terengganu iaitu Mohd Kahirul Rosmadi (pertahanan), Mohd Humaidi Adzmi (pertahanan), Mohd Takhiyuddin Roslan (tengah), Mohd Fahmi Izuddin Mohd Zaki (tengah), Wan Muhammad Fridaus Wan Demi (penyerang) dan Muhammad Fakhrurazi Musa (penyerang). 

Sementara itu, Butler mengesahkan Marzuki Yusof tidak dapat diturunkan pada aksi pembukaan 22 Ogos ini kerana kapten pasukan itu masih belum pulih ekoran pembedahan lutut sejak Mac lalu. 

“Biarpun keadaannya sudah menunjukkan perkembangan positif, namun saya mahu dia betul-betul sembuh dan sekiranya dia diturunkan, mungkin tidak adil baginya sekiranya prestasinya kurang baik. 

“Bagaimanapun untuk mengisi kesebelahan utama bagi perlawanan pembukaan dengan jiran terdekat Kelantan, saya masih menunggu sehingga minggu depan untuk dimuktamadkan,” katanya. 

Terengganu yang juga finalis Piala Malaysia musim lalu diletakkan dalam kumpulan 'maut' selepas diundi bersama juara Liga Super Kelantan, juara Liga Perdana Angkatan Tentera Malaysia dan Kedah.

No comments:

Post a Comment