Wednesday, August 22, 2012

Mampu Menewaskan Pahang

PADA perlawanan pembuka tirai Piala Malaysia bagi Kumpulan D, pasukan berstatus kelab T-Team bersedia menggempur skuad kendalian Dollah Salleh di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

Bagaimanapun, pengendalinya, Yunus Alif mengharapkan skuad bimbingannya tidak memberi ruang kepada Pahang untuk menguasai perlawanan, sebaliknya mencari gol awal dan mengutip tiga mata berharga pada perlawanan itu nanti.

Menurutnya, pasukan Pahang ketika ini masih dalam keghairahan mencari kemenangan selepas mereka menewaskan Kedah dalam saingan ‘play off’ menentukan kedudukan dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“Sudah pastinya bermain di tempat lawan (Kuantan) memberi kelebihan kepada mereka dan pastinya perlawanan esok (malam ini) akan mempamerkan aksi sengit apabila masing-masing ingin berada dalam kedudukan selesa sebagai bekalan perlawanan seterusnya.

“Justeru, saya menuntut barisan yang akan diturunkan nanti bersiap sedia dengan misi berharga dan memahami tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Apa yang pasti, khidmat peledak utama yang juga Kapten T-Team, Zairo Anuar Zailani kembali ditagih oleh Penyu Muda itu dalam misi merealisasikan hasrat untuk mencatatkan kemenangan pada saingan pembukaan Piala Malaysia malam nanti.

Begitu pun, Yunus yang terkenal dengan sifat merendah diri berkata, dia yakin dengan semangat ditunjukkan anak buahnya dan berharap momentum yang ada ketika ini dapat dizahirkan pada malam perlawanan sebenar.

“Malah sepanjang tempoh dua minggu lalu saya lihat pemain begitu bersungguh-sungguh dalam latihan bagi mengisi tempat dan ruang dalam kesebelasan utama.

“Saya rasa kalau semangat yang ditunjukkan ini dapat diteruskan pada malam esok (hari ini), tidak mustahil kita mampu mengutip tiga mata penuh,” katanya.

Sementara itu, Yunus menuntut pemainnya supaya tidak memberi ruang kepada pasukan tuan rumah berlegar-legar dan mengawal pergerakan mereka untuk menjaringkan gol.

“Saya akui mereka juga mempunyai pemain yang bagus, maka kita perlu mengawal mereka pada setiap posisi terutamanya di bahagian serangan dan tidak memandang rendah kebolehan mereka,” katanya.

Sementara itu, Zairo Anuar optimis kesebelasan utama yang akan diturunkan nanti mampu mengalas tanggungjawab masing-masing dalam mempamerkan aksi cemerlang di Stadium Darul Makmur.

Menurutnya, dengan kehadiran tiga pemain pinjaman dari Sabah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkuatkan lagi benteng pertahanan serta bahagian serangan.

“Bagaimanapun saya mengharapkan pemain mengekalkan kecerdasan mereka dan melakukan yang terbaik sepanjang 90 minit perlawanan itu nanti seterusnya meraih kemenangan.

“Justeru, semua pemain perlu memberikan komitmen 100 peratus mereka dalam menjayakan misi ini kerana pastinya setiap pasukan yang bertanding dalam Piala Malaysia ini akan memberikan saingan sengit dalam mencari kedudukan selesa ke pusingan seterusnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment