Monday, August 27, 2012

Serangan Tidak Bisa

KETANDUSAN jaringan dan idea untuk menembusi pertahanan lawan dalam pertandingan bola sepak Piala Malaysia menjadi masalah besar kepada pasukan T-Team.

Ketua jurulatihnya, Yunus Alif berkata, masalah itu mungkin juga disebabkan penjaring utama seperti Fadzli Saari mengalami kecederaan dan tidak cergas sepenuhnya.

“Saya risau pemain ketandusan jaringan dan idea untuk menembusi pertahanan lawan,” katanya mengulas pertemuan T-Team dan Sarawak yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Katanya, penggantungan pemain import Marco Tulio dari Brazil juga memberi kesan kepada pasukan.

Bermain dalam Kumpulan D, T-Team cuma mengutip satu mata daripada dua perlawanan selepas tewas kepada Pahang 2-3.

Yunus berkata, walaupun peluang T-Team untuk merebut slot ke suku akhir masih terbuka, namun beliau bimbang peluang itu akan terlepas jika keadaan sebegini berterusan.

Mengenai kecederaan Fadzli, Yunus berkata, tahap kecederaan pemain itu masih belum diketahui.

Gara-gara Makan Undang

Tersalah makan punca penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee pengsan ketika perlawanan kedua Kumpulan B Piala Malaysia menentang Tentera di Stadium Selayang malam kelmarin. 

Pada perlawanan yang menyaksikan Tentera menang 2-1 hasil jaringan pemain import, Marlon Alex James itu, Sharbinee tiba-tiba meluru keluar dari kawasannya di pertengahan babak kedua dan rebah. Dia kemudian digantikan dengan Muhd Saifuddin pada minit ke-64. 

Pengurus Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh, berkata Sharbinee tiba-tiba pengsan dan terpaksa dikejarkan ke hospital kerana keracunan makanan. “Dia pengsan kerana mengalami keracunan makanan selepas makan udang berlebihan sebelum permainan,” katanya. 

“Ini disahkan sendiri oleh pegawai perubatan. Selepas diberi rawatan dia pulih sepenuhnya dan akan diturunkan dalam kesebelasan utama apabila bertandang ke Kedah Selasa ini (esok).” 

Che Mat menafikan sekeras-kerasnya insiden yang menimpa Sharbinee berpunca daripada perbuatan khianat. Pada perlawanan berkenaan, Sharbinee bekerja keras menafikan beberapa percubaan Tentera tetapi gagal menangkis percubaan Marlon pada minit ke-31. 

Selepas dikeluarkan, Marlon menambah jaringan pada minit ke-74 sebelum pemain gantian, Joseph Kalang Tie merapatkan jurang dua minit kemudian untuk Terengganu.

Friday, August 24, 2012

Leka

Pintu gol T-Team bolos dua kali sebelum berjaya mendapat gol pertama mereka, namun kehilangan pemain import, Marco Bojan yang dibuang padang memberi ruang kepada Pahang untuk mencuri kemenangan 3-2 dalam pertembungan Kumpulan D.

"Kami membenarkan Pahang mendapat jaringan mudah. Walaub agaimanapun, pada separuh masa kedua T-Team bangkit untuk merapatkan jurang.

"Tetapi setelah kesilapan yang dilakukan Marco Bojan yang mendapat kad merah, pasukan kami kembali goyah dan tertekan," kata Yunus.

Tambah beliau, beliau akan mula memberi fokus untuk bangkit semula pada pertemuan seterusnya menentang Sarawak dan Selangor.

"Kesebelasan pemain akan dibuat berdasarkan kecergasan pemain dalam masa 24 jam yang seterusnya memandangkan ramai yang tercedera.

"Kelemahan kami juga perlu dipertingkatkan lagi, terutamanya dari segi hantaran yang mudah dibaca dan permainan yang agak perlahan. Saya juga berharap pemain saya seperti Zairo (Anuar Zailani), Fadzli Saari, dan Faiz Subri dapat memberikan persembahan yang lebih baik menjelang perlawanan akan datang," kata Yunus.

Thursday, August 23, 2012

Keputusan Piala Malaysia

TERENGGANU 2VS 0KELANTAN
PAHANG 3VS 2  T-TEAM

Kelantan Rebah Menunggeng

Finalis Piala Malaysia musim lalu, Terengganu memulakan cabaran dengan langkah kanan dalam perlawanan pertama dengan merakamkan kemenangan bermoral mengatasi pasukan tetangga, Kelantan 2-0 dalam saingan Kumpulan B di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi. 

Tuan rumah yang hadir tanpa tanpa pemain pinjaman bagaimana pun seperti tidak ada rasa gerun untuk bertemu Kelantan sebaliknya seawal minit ke-3 mereka berjaya mendahului lawan menerusi tandukan tonggak import, Francis Forkey Doe. 

The Red Warriors yang dikejutkan dengan gol pertama Penyu pantas memperbaiki corak permainan dan peluang terbaik pelawat hadir pada minit ke-31 namun percubaan Norshahrul Idlan Talaha bijak diselamatkan oleh penjaga gol, Mohd Sharbinee Alawi. 

Bersambung babak kedua, minit ke-54, Norshahrul sekali lagi mensia-siakan peluang keemasan untuk gol penyamaan selepas sepakannya melencong ke kanan pintu gol dan 10 kemudian kekentalan Sharbinee menjadi penghalang buat Kelantan apabila bijak menepis tandukan Obinna Nwaneri. 

Minit ke-76, Forkey Doe mendapat peluang untuk menambah jaringan kedua peribadinya tetapi rembatan kencang depan pintu gol terbuka melambung tinggi selepas berjaya menggelecek penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat. 

Seminit sebelum perlawanan tamat, kekecewaan Forkey Doe itu ditebus oleh Ismail Faruqi apabila tenang menolak masuk bola ke dalam gawang selepas mengambil kesempatan hasil satu kekalutan depan gawang untuk menjadikan kedudukan 2-0 memihak tuan rumah.

TTeam Tewas


Jurulatih T-Team, Yunus Alif menyalahkan pemain asing pasukan itu, Marco Tulio Lopes Silva, kerana tidak profesional ketika bermain bersama pasukannya melawan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Yunus berkata pemain import dari Brazil itu diarah keluar padang oleh pengadil dan pasukan T-Team bukan sahaja terpaksa bermain dalam masa 25 minit terakhir dengan 10 pemain yang berkesudahan tewas 2-3 kepada pasukan lawan.

"Dia tidak menunjukkan sikap profesional yang diharapkan. Tindakannya menerjah kasar ke atas penjaga gol Pahang memang tidak seharusnya terjadi.

Malu melihat pemain berkenaan diperintah keluar padang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

T-Team akan berdepan Sarawak Sabtu ini sebelum bertemu Selangor.

Bagaimanapun, Yunus gembira dengan prestasi tiga pemain pasukannya bagi Piala Malaysia, iaitu Sumerdi Hajalan dan Sharul Azhar Ture dari Sabah dan pemain polis, Fauzi Majid.

Kelantan Tewas

Terengganu berada di depan menerusi tandukan Francis Forkey Doe seawal minit ketiga, namun terpaksa menunggu lama untuk mengesahkan kemenangan mereka apabila Ismail Faruqi menjaringkan gol pada minit ke-89 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. 

Terengganu menguasai bahagian tengah tatkala Kelantan masih mencari rentak permainan mereka. Ternyata situasi itu memakan diri dengan dikejutkan gol awal tuan rumah. 

Francis Forkey Doe melonjak tinggi untuk menanduk masuk sepakan percuma ke penjuru gol pada minit ke tiga untuk melepasi halangan Khairul Fahmi Che Mat untuk menceriakan peminat.

Bojan Hodak mengarahkan pemainnya bertindak agresif sehingga mengubah Kelantan penguasaan permainan. Pertahanan kedua pasukan kemudian mengekang pergerakan lawan dengan baik. 

Kelantan memiliki peluang yang baik di depan gol, tetapi pemburuan gol persamaan yang ditunggu masih belum tiba. 

Red Warriors begitu hampir untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-53, tetapi Norshahrul Idlan Talaha gagal memanfaatkan peluang terbuka. 

Pelawat terus memberi tekanan memburu gol dan melancarkan asakan ke kubu Terengganu. Sharbinee Alawee Ramli ternyata kental untuk menahan asakan dengan menidakkan beberapa peluang pemain lawan. 

Pertahanan Terengganu, Mohd Muslim Mohamad kemudian dilayangkan kad kuning, tetapi Red Warriors mendapat hukuman lebih berat dengan kehilangan Mohd Daudsu Jamaluddin yang mengutip kad kuning kedua akibat mengasari Joseph Kalang Tie. 

Francis hampir menggandakan jaringannya dengan kelincahannya, tetapi kali ini penyudahnya kurang tajam meskipun pintu gol sudah terbuka luas. 

S. Subramaniam menjadi pemain seterusnya mengutip kad kuning pada minit ke-79 dengan Kelantan mula mengendurkan asakan. 

Tempo permainan menjadi rancak semula pada lima minit terakhir dengan Kelantan masih belum berputus asa untuk mencuri satu mata tatkala Terengganu terus garang sehingga mendapat gol kedua melalui sepakan Ismail Faruqi. 

Pemain Terengganu tenang untuk menunggu wisel penamat walaupun Kelantan tetap berusaha di saat-saat akhir.

Wednesday, August 22, 2012

Mampu Menewaskan Pahang

PADA perlawanan pembuka tirai Piala Malaysia bagi Kumpulan D, pasukan berstatus kelab T-Team bersedia menggempur skuad kendalian Dollah Salleh di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

Bagaimanapun, pengendalinya, Yunus Alif mengharapkan skuad bimbingannya tidak memberi ruang kepada Pahang untuk menguasai perlawanan, sebaliknya mencari gol awal dan mengutip tiga mata berharga pada perlawanan itu nanti.

Menurutnya, pasukan Pahang ketika ini masih dalam keghairahan mencari kemenangan selepas mereka menewaskan Kedah dalam saingan ‘play off’ menentukan kedudukan dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“Sudah pastinya bermain di tempat lawan (Kuantan) memberi kelebihan kepada mereka dan pastinya perlawanan esok (malam ini) akan mempamerkan aksi sengit apabila masing-masing ingin berada dalam kedudukan selesa sebagai bekalan perlawanan seterusnya.

“Justeru, saya menuntut barisan yang akan diturunkan nanti bersiap sedia dengan misi berharga dan memahami tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Apa yang pasti, khidmat peledak utama yang juga Kapten T-Team, Zairo Anuar Zailani kembali ditagih oleh Penyu Muda itu dalam misi merealisasikan hasrat untuk mencatatkan kemenangan pada saingan pembukaan Piala Malaysia malam nanti.

Begitu pun, Yunus yang terkenal dengan sifat merendah diri berkata, dia yakin dengan semangat ditunjukkan anak buahnya dan berharap momentum yang ada ketika ini dapat dizahirkan pada malam perlawanan sebenar.

“Malah sepanjang tempoh dua minggu lalu saya lihat pemain begitu bersungguh-sungguh dalam latihan bagi mengisi tempat dan ruang dalam kesebelasan utama.

“Saya rasa kalau semangat yang ditunjukkan ini dapat diteruskan pada malam esok (hari ini), tidak mustahil kita mampu mengutip tiga mata penuh,” katanya.

Sementara itu, Yunus menuntut pemainnya supaya tidak memberi ruang kepada pasukan tuan rumah berlegar-legar dan mengawal pergerakan mereka untuk menjaringkan gol.

“Saya akui mereka juga mempunyai pemain yang bagus, maka kita perlu mengawal mereka pada setiap posisi terutamanya di bahagian serangan dan tidak memandang rendah kebolehan mereka,” katanya.

Sementara itu, Zairo Anuar optimis kesebelasan utama yang akan diturunkan nanti mampu mengalas tanggungjawab masing-masing dalam mempamerkan aksi cemerlang di Stadium Darul Makmur.

Menurutnya, dengan kehadiran tiga pemain pinjaman dari Sabah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkuatkan lagi benteng pertahanan serta bahagian serangan.

“Bagaimanapun saya mengharapkan pemain mengekalkan kecerdasan mereka dan melakukan yang terbaik sepanjang 90 minit perlawanan itu nanti seterusnya meraih kemenangan.

“Justeru, semua pemain perlu memberikan komitmen 100 peratus mereka dalam menjayakan misi ini kerana pastinya setiap pasukan yang bertanding dalam Piala Malaysia ini akan memberikan saingan sengit dalam mencari kedudukan selesa ke pusingan seterusnya,” katanya.

Perlu Menang

NAIB juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu menjanjikan aksi menarik pada pertembungan musuh tradisi Kelantan dalam saingan pembukaan piala berprestij itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Pengendalinya, Peter James Butler berkata, pasukan bimbingannya bersedia berdepan pasukan The Red Warrior itu dan menjangkakan perlawanan antara dua jaguh Pantai Timur itu akan mempamerkan persaingan sengit.

Menurutnya, beliau menghormati pasukan Kelantan tetapi tidak gentar apabila berdepan dengan dua juara kempen Piala Malaysia - Piala FA dan Liga Super musim ini dan berjanji memberikan saingan kompetitif apabila masing-masing ingin meraih kemenangan dalam perlawanan pembuka tirai Piala Malaysia.

“Kelantan merupakan sebuah pasukan yang kuat ketika ini, apatah lagi pemain mereka sudah lama bersama dan saling mempunyai kesefahaman tinggi antara satu sama lain.

“Saya merasakan apa yang penting pada perlawanan itu nanti adalah kemenangan dan kita akan memberikan saingan dalam setiap sudut terhadap mereka,” katanya ketika ditemui ketika sesi latihan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang kelmarin.

Butler berkata, beliau akan memastikan skuad Penyu akan bermain bersungguh-sungguh dalam meraih kemenangan dalam perlawanan menentang juara Liga Super itu.

Katanya, dia amat berpuas hati terhadap komitmen yang ditunjukkan anak buahnya sepanjang latihan pada bulan puasa, malah kecerdasan mereka bertambah baik menjelang perlawanan sulung mereka menentang Kelantan malam nanti.

“Biarpun kami berdepan sedikit kesukaran terutamanya pada bulan puasa dan kemudahan latihan yang terbatas, namun persiapan dapat dilaksanakan dengan sempurna ditambah pula dengan kesungguhan yang ditunjukkan barisan pemain yang begitu baik sekali.

“Saya kini mempersiapkan formasi terakhir dan akan memilih kesebelasan utama yang bakal diturunkan pada perlawanan itu nanti kerana kami mahu turunkan pasukan yang terbaik esok (malam ini),” katanya.

Menurutnya, beliau tidak akan mengumumkan siapa yang akan diturunkan nanti sebaliknya mengakui mereka yang dipertanggungjawabkan dalam kesebelasan utama skuad Penyu adalah pemain yang betul–betul layak berdasarkan prestasi yang ditunjukkan sepanjang latihan.

Menyentuh mengenai enam pemain muda skuad Presiden yang diserapkan dalam pasukan senior, Butler memberitahu, dia sudah melihat ada beberapa pemain yang mempunyai potensi untuk menyinar dalam kancah Piala Malaysia dan berkemungkinan akan digandingkan dalam kesebelasan utama.

“Terengganu mempunyai ramai bakat muda yang boleh diketengahkan dalam peringkat lebih tinggi malah jurulatih memainkan peranan dalam memberi pendedahan kepada mereka.

“Kelibat pemain muda ini sudah tentu akan digunakan dalam kancah Piala Malaysia ini dalam memberi pendedahan kepada mereka,” katanya.

Butler berkata, dia akan cuba sedaya upaya membentuk pasukan yang mampu memberi saingan dan memenangi semua perlawanan dalam saingan Piala Malaysia.

Bagaimanapun, dia menyedari ia satu tugas berat apabila diletakkan dalam kumpulan yang sukar dan dianggap maut bersama-sama Kelantan, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, pemain berpengalaman dari Bumi Kenyalang, Joseph Kalang Tie menyifatkan penguasaan di bahagian tengah bakal menjadi penentu kemenangan dalam perlawanan pembuka tirai Piala Malaysia ketika turun melayan kunjungan Kelantan malam nanti.

Joseph Kalang berkata, secara fizikal dan mental, Terengganu kini dilihat sudah bersedia untuk berdepan TRW dalam perlawanan di laman sendiri.

“Bagaimanapun, saya merasakan apa yang penting dalam perlawanan itu nanti adalah pemain perlu meletakkan mentaliti untuk meraih kemenangan.

“Kita juga perlu memastikan bahagian tengah dapat dikuasai sepenuhnya untuk mematahkan perancangan yang dirangka Kelantan pada perlawanan itu nanti,” katanya ketika ditemui sejurus tamat sesi latihan kelmarin.

Dalam pada itu, Joseph memberitahu, penguasaan di bahagian tengah memainkan peranan penting kerana ia akan menentukan keupayaan pasukan masing-masing dalam merealisasikan strategi dirangka jurulatih.

Justeru, dia mengharapkan skuad Penyu dapat mengurangkan kesilapan di bahagian tengah dalam memberi persaingan sengit kepada seteru tradisi itu.

“Siapa yang membuat banyak kesilapan di bahagian tengah pada perlawanan itu akan mengundang padah.

“Sebaliknya mereka yang dapat mengurangkan kesilapan, saya menjangkakan pasukan tersebut akan meraih kemenangan dalam perlawanan sengit lagi penuh kompetitif itu kelak,” katanya.

Sementara itu, dia turut mengakui, keseluruhannya pemain juga sudah bersedia dan akan mengikut segala perancangan jurulatih dalam mengekang jentera tengah Kelantan.

Monday, August 20, 2012

Kumpulan Kritikal - 50-50

Walaupun Terengganu mungkin dianggap antara pasukan pilihan menjuarai Piala Malaysia, skuad penyu sebenarnya berdepan laluan lebih sukar walaupun untuk mengulangi pencapaian tahun lalu - layak ke final. 

Pada edisi 2011, Terengganu gah muncul naib juara tetapi berdasarkan undian peringkat kumpulan, skuad Peteh berdepan ujian getir selepas diundi bersama juara Liga Super, Kelantan, juara Liga Perdana, Tentera dan Kedah dalam Kumpulan B.Penolong Pengurus Terengganu, Sheikh Ahmad Tajudin mengakui hakikat undian itu tidak memihak kepada mereka yang tiada pilihan selain memberi tentangan sengit lawan. 

Memang kita tahu Kelantan sebuah pasukan yang mantap dan sebagai juara Liga Super, mereka mungkin ada kelebihan untuk diangkat sebagai pasukan pilihan. 

Kita tak boleh jangka kekuatan sebenar Tentera dan Kedah pula jika mengikut rekod pertemuan cukup liat untuk dikalahkan, katanya. 

Beliau berpegang kepada prinsip - untuk menjadi yang terbaik, mereka mesti kalahkan yang terbaik. Jika dinilai, Kelantan dan Tentera adalah pasukan terbaik Liga Super dan Liga Perdana. 

Satu cabaran besar buat kami kerana beraksi tanpa pemain pinjaman. Tetapi pemain terutama penyerang sedia ada seperti Manaf Mamat, (Francis) Forkey Doe, Abdul Hadi (Yahya) cukup ghairah mahu mendakap Piala Malaysia. Itu yang membuatkan kami lebih bersemangat kerana kami hanya ada satu peluang saja lagi, katanya.

Marzuki belum Pulih

Butler mengesahkan, Marzuki Yusof tidak dapat diturunkan pada aksi pembukaan, 22 Ogos depan memandangkan kapten pasukan Terengganu itu masih belum pulih sepenuhnya ekoran pembedahan lutut sejak Mac lalu.

“Biarpun keadaannya sudah menunjukkan perkembangan positif namun saya mahu dia (Marzuki) betul-betul sembuh dan sekiranya beliau diturunkan mungkin tidak adil baginya sekiranya prestasinya kurang baik.

“Bagaimanapun untuk mengisi kesebelasan utama pasukan bagi perlawanan pembukaan dengan jiran terdekat Kelantan , saya masih menunggu sehingga minggu depan untuk dimuktamadkan,” katanya.

Walaupun kecewa dengan kekurangan kemudahan untuk sesi latihan di Stadium Sultan Ismail yang masih sedang dibaik pulih, Butler berkata, skuad bimbingannya telah menyesuaikan diri dengan syarat-syarat yang ‘mencabar’ dikenakan kepada mereka bagi mengisi kedudukan sebelasan utama pasukan.

“Kami menjalani latihan di mana-mana sahaja yang boleh, biarpun di pantai dan padang futsal. Saya tidak akan membiarkan kekurangan kemudahan memberikan kesan kepada persediaan kami,” katanya.

Tidak Gentar

Meskipun terpaksa berdepan dengan kumpulan ‘maut’ dalam saingan Piala Malaysia musim ini, namun pengendali Pasukan Terengganu, Peter Butler sedikitpun tidak gentar sebaliknya yakin bahawa pasukan bimbingannya itu turut berpeluang dalam merebut gelaran juara piala berprestij itu.

Lebih membanggakan lagi, Terengganu boleh dikatakan menjadi satu-satunya pasukan yang bersaing dalam Piala Malaysia musim ini tanpa kelibat pemain pinjaman mahupun mengadakan perlawanan persahabatan sebelum perlawanan pembuka tirai pada 22 Ogos ini.

Finalis Piala Malaysia musim lalu itu diletakkan dalam kumpulan ‘maut’ selepas diundi bersama juara Liga Super, Kelantan, juara Liga Premier, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kedah.

Begitu pun, Peter Butler berkata, apa-apa sahaja boleh berlaku dalam saingan Piala Malaysia dan yakin pasukannya mampu mengharungi kejohanan itu biarpun mereka terpaksa beraksi dengan pemain sedia ada sebagaimana Piala FA dan Liga Super musim ini.

Menurutnya, pemain pinjaman dan perlawanan persahabatan bukanlah ukuran kepada kejayaan sesebuah pasukan itu asalkan pasukan mempunyai latihan yang konsisten dan kecerdasan dalam kalangan pemain.

“Apa yang kita kurang dalam perlawanan persahabatan kita seimbangkan dalam sesi latihan yang diadakan setiap petang menjelang perlawanan pembukaan itu nanti dan ia bukan menjadi halangan buat kami.

“Bagi saya kecergasan dalam kalangan pemain bukan satu isu tetapi latihan perlawanan merupakan inti pati penting dalam memantapkan pasukan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan ringan pasukan di Pantai Batu Burok di sini, semalam.

Dalam pada itu, Butler mengakui beliau lebih percaya dengan acuan pemain tempatan berbanding mengambil pemain daripada kelab-kelab lain dan merasakan pemain muda daripada pasukan Piala Presiden Terengganu sewajarnya diberi peluang untuk menerima pendedahan yang lebih besar.

“Apa yang penting bagi saya adalah ingin memberi peluang kepada pemain-pemain muda Terengganu berbanding mengambil pemain luar kerana mereka ini (pemain pinjaman) hanya akan mewarnai pasukan selama beberapa bulan sahaja.

“Justeru, pemain muda inilah merupakan pelapis sebenar pasukan pada masa akan datang dan mereka amat penting kepada pasukan apatah lagi apabila kita terpaksa mengharungi perlawanan yang padat dengan hanya berselang setiap tiga hari,” katanya.

Pada aksi Piala Malaysia musim ini, enam pemain muda telah diserapkan bersama skuad Penyu iaitu Mohd Kahirul Rosmadi (pertahanan); Mohd Humaidi Adzmi (pertahanan); Mohd Takhiyuddin Roslan (tengah); Mohd Fahmi Izuddin Mohd Zaki (tengah); Wan Muhammad Fridaus Wan Demi (penyerang) dan Muhammad Fakhrurazi Musa (penyerang).

TTeam Guna Pemain Pinjaman

Sebuab lagi pasukan dari Terengganu iaitu T-Team telah melamar dua pemain Sabah dan seorang pemain Polis Diraja Malaysia bagi mengharungi Piala Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat berkata dengan kehadiran tiga pemain itu, mereka dapat menajamkan bahagian serangan serta memantapkan benteng pertahanan.

"Saya harap mereka mampu memberi sumbangan kepada pasukan T-Team dalam merebut piala yang berprestij itu," katanya.

Rozi berkata ketiga-tiga pemain itu telah mendapat kelulusan dari pihak pengurusan masing-masing dan mereka telah menjalani sesi latihan bersama T-Team.

Pasukan Penyu muda ini diundi dalam kumpulan bersama Sarawak, Selangor dan Pahang.

Tiada Pemain Pinjaman

Terengganu tetap optimis mampu bersaing dalam kempen Piala Malaysia musim ini walaupun tanpa meminjam pemain dari pasukan lain.

Ketua jurulatihnya, Peter James Butler berkata beliau yakin Terengganu mampu mengharungi kejohanan dengan pemain sedia ada yang bermain dalam kejohanan Piala FA dan Liga Super. 

Sebaliknya beliau merasakan pemain muda daripada pasukan Piala Presiden Terengganu wajar diberi peluang. 

"Pemain muda inilah merupakan pelapis sebenar pasukan pada masa akan datang dan mereka amat penting kepada pasukan apatah lagi apabila kita terpaksa mengharungi perlawanan yang padat dengan hanya berselang setiap tiga hari," katanya.
   
Untuk musim ini, enam pemain muda telah diserapkan bersama skuad Terengganu iaitu Mohd Kahirul Rosmadi (pertahanan), Mohd Humaidi Adzmi (pertahanan), Mohd Takhiyuddin Roslan (tengah), Mohd Fahmi Izuddin Mohd Zaki (tengah), Wan Muhammad Fridaus Wan Demi (penyerang) dan Muhammad Fakhrurazi Musa (penyerang). 

Sementara itu, Butler mengesahkan Marzuki Yusof tidak dapat diturunkan pada aksi pembukaan 22 Ogos ini kerana kapten pasukan itu masih belum pulih ekoran pembedahan lutut sejak Mac lalu. 

“Biarpun keadaannya sudah menunjukkan perkembangan positif, namun saya mahu dia betul-betul sembuh dan sekiranya dia diturunkan, mungkin tidak adil baginya sekiranya prestasinya kurang baik. 

“Bagaimanapun untuk mengisi kesebelahan utama bagi perlawanan pembukaan dengan jiran terdekat Kelantan, saya masih menunggu sehingga minggu depan untuk dimuktamadkan,” katanya. 

Terengganu yang juga finalis Piala Malaysia musim lalu diletakkan dalam kumpulan 'maut' selepas diundi bersama juara Liga Super Kelantan, juara Liga Perdana Angkatan Tentera Malaysia dan Kedah.

Tebus Kecewaan

Penyerang berbisa Terengganu, Abdul Manaf Mamat bertekad menebus kekecewaan dalam saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirai pada 22 Ogos ini.

Menurut anak jati Kuala Terengganu itu, semangatnya memburu Piala Malaysia semakin membuak-buak setelah pasukan Penyu gagal mempertahankan kejuaraan Piala FA dan menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan terbaik dalam Liga Super.

Beliau berkata kegagalan tersebut jelas memberi semangat dan nafas baru bukan sahaja kepada dirinya malah semua pemain untuk memburu piala berprestij itu.

"Secara jujurnya saya sememangnya mengharapkan dapat mendakap dan membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Terengganu setelah 11 tahun kemarau untuk menjulang piala itu.

"Tahun lalu saya pernah merasai nikmat menjulang Piala FA dan kini saya berharap dapat mengulanginya pada Piala Malaysia selepas pasukan kami gagal dalam saingan Liga Super dan Piala FA," katanya .

Pemain berusia 25 tahun itu, bagaimanapun berkata ia bukan satu tugas mudah kerana Terengganu diundi dalam kumpulan B bersama Kelantan, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Saya akui laluan kami dalam saingan Piala Malaysia sukar kerana akan berdepan juara Piala FA dan Liga Super (Kelantan) pada aksi pembuka tirai. Namun ia sedikit pun tidak melemahkan semangat pemain Terengganu," katanya.

Malah, Manaf serta rakan sepasukan yakin mampu membawa Terengganu ke pentas akhir Piala Malaysia dengan bimbingan ketua jurulatih Peter Butler.

Pemain kebangsaan itu juga optimis Terengganu mampu mengulangi kejayaan lalu walaupun tanpa khidmat pemain pinjaman sebaliknya mengekalkan pemain sedia ada serta pemain pelapis daripada skuad Piala Presiden.

"Saya yakin dengan kemampuan ketua jurulatih. Selain itu dengan kemunculan semula beberapa pemain daripada skuad kebangsaan seperti Ashaari Shamsuddin, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi dapat memantapkan lagi pasukan Penyu," katanya.