Monday, March 5, 2012

Corak Permainan Tidak Bertenaga



WALAUPUN merakam kemenangan dan pulang dengan tiga mata, pengendali Terengganu, Mat Zan Mat Aris masih belum berpuas hati dengan mutu permainan anak buahnya ketika menang tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur, kelmarin.

Katanya, beberapa kesilapan mudah dalam aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka itu begitu merunsingkan tatkala pasukannya akan membuat perhitungan besar dalam perlawanan pembukaan Piala AFC menentang kelab Vietnam, Song Lam Nghe An.


“Corak pemain pada perlawanan itu (Kuala Lumpur) sedikit mengecewakan kerana semua posisi pertahanan, tengah dan penyudah gagal bermain baik dan kami bernasib baik dapat menjaringkan gol,” katanya. Mat Zan berkata, paling ketara adalah empat pemain negara - Ashaari Shamsuddin, Abdul Manaf Mamat, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi - yang mungkin keletihan hingga gagal menunjukkan keserasian dengan rakan sepasukan.


“Saya harap pemain dapat menguatkan mental dan fizikal kerana perlawanan seterusnya amat genting apabila mengharungi Piala AFC dan menanti kunjungan Perak untuk pusingan kedua Piala FA,” kata Mat Zan. Pada perlawanan kelmarin, Terengganu menang tipis selepas penyerang import berbisanya Francis Forkey Doe muncul penyelamat apabila melakukan rembatan pada minit ke-60, sekali gus melonjakkan pasukan ke tangga kedua di belakang Kelantan.


Mat Zan berkata, sebelum terbang ke Vietnam, beberapa kesilapan akan diatasi bagi memperkuatkan setiap posisi kerana kunjungan ke sana bukan saja membawa nama Terengganu malah Malaysia. “Kancah Piala AFC memang satu cabaran besar buat pemain dan apa yang penting, kami akan buat yang terbaik dan mempamerkan persembahan bermutu,” katanya.

No comments:

Post a Comment