Friday, March 2, 2012

TTeam Mahu Kemenangan



BIARPUN beraksi menentang Sarawak di laman sendiri, malam ini, jurulatih T-Team, Yunus Alif tetap cemas dan mengaku anak buahnya bakal berdepan laluan perit dalam misi memburu tiga mata berharga selepas dipaksa bekerja keras dalam kempen Piala FA bertemu Johor minggu lalu.


Menurut Yunus, lawan bukan mudah ditewaskan meskipun berstatus pendatang baru Liga Super. Malah pasukan itu sudah membuktikan kewibawaan ketika bertemu juara dan naib juara Piala FA musim lalu, Terengganu dan Kelantan sebelum ini walaupun tewas.


“Hasil analisis yang dilakukan selepas menyaksikan pertemuan pasukan dengan Johor FC dua minggu lalu, Sarawak tidak boleh diberi ruang terutama kelibat dua pemain importnya yang bijak menghidu peluang menjaringkan gol.


“Selain itu, pertahanan mereka juga kebal mengekang lawan dan ia bakal memberi impak kepada T-Team jika pemain saya gagal bermain dengan baik,” katanya.


Tambah merisaukan bekas pemenang Kasut Emas 1984 itu, ketumpulan jentera serangan yang diketuai bekas penyerang kebangsaan, Mohd Fadzly Saari dan pemain muda berbakat, Mohd Faiz Subri.


Yunus berkata, kelemahan barisan serangan menghidu peluang di depan gol selain tidak berupaya mencipta ruang kepada pemain lain agak mengecewakannya dan beliau berharap perubahan perlu segera dilakukan pemain apabila bertemu Sarawak.


“Sebagai penyerang, mereka perlu menjaringkan gol dan jika itu gagal dilaksanakan, sudah pasti keyakinan mereka beraksi lebih baik tergugat,” katanya sambil menyifatkan banyak peluang yang boleh menghasilkan gol, gagal dimanfaatkan pemain.


Namun, selain gandingan dua penyerang itu, beliau berkata, T-Team juga mempunyai beberapa pemain lain yang boleh diharapkan untuk merobek kubu lawan termasuk Badrul Hisani, Wan Mohd Alif Wan Jasmi dan Khairul Izwan Khalid.


No comments:

Post a Comment