Tuesday, March 20, 2012

Forky Doe Mampu Mencipta Kemenangan

KAPTEN Terengganu, Muslim Ahmad meminta rakan sepasukan fokus dan berwaspada apabila melayan wakil Hong Kong, Kitchee FC menjelang perlawanan kedua Kumpulan F Piala Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) 2012 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang ini. Walaupun tidak tahu kemampuan pasukan itu, tidak mustahil skuad Penyu melakar kemenangan kedua selepas memulakan langkah kanan pada perlawanan pembukaan mengatasi kelab Vietnam, Song Lam Nghe An, 6 Mac lalu.

“Melihat prestasi semasa pasukan, saya yakin semua pemain sudah bersedia menghadapi perlawanan ini, apa yang diharapkan adalah kami tidak hilang fokus ketika permainan nanti,” katanya pada sidang media sempena Piala AFC di Kuala Terengganu, semalam.

Bekas pertahanan Harimau Muda A itu berkata, walaupun menghadapi jadual padat dalam saingan Liga Super dan Piala FA, ia bukan penghalang untuk Terengganu memperagakan aksi menarik seterusnya meraih mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan itu. “Kejayaan layak ke suku akhir Piala FA dan berpesta gol ketika bertemu Sabah, Sabtu lalu menjadi pembakar semangat kami dan saya juga sokongan padu penyokong berterusan untuk terus menaikkan moral pemain,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris mengingatkan anak buahnya bahawa pertandingan Liga Super dengan Piala AFC adalah pentas saingan berbeza dan membayangkan tentangan sengit dari pasukan pelawat itu. “Dari segi corak permainan, saya akan lakukan sedikit perubahan berbanding ketika bertemu Sabah, Sabtu lalu kerana pemain Kitchee FC turut menyaksikan perlawanan itu dan sudah pasti mereka dapat gambaran corak permainan kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment