Saturday, March 3, 2012

Faiz Penyelamat TTeam



T-TEAM terpaksa menanti jaringan Mohd Faiz Subri pada babak kedua untuk meraih kemenangan tipis, 1-0 walaupun dihidangkan sekurang-kurangnya lima peluang untuk menggegar gawang Sarawak dalam babak pertama saingan Liga Super yang kembali bersambung selepas berehat dua minggu.


Skuad kendalian Yunus Alif itu beraksi dengan baik dalam aksi kesembilan liga apabila menguasai sebahagian besar perlawanan pada babak pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hanya kecekapan penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani menafikan peluang T-Team untuk meledak gol dalam tempoh 45 minit pertama termasuk dua percubaan Mohd Faiz Subri.

Sejurus babak kedua, pasukan pelawat yang dikendali Roberts Alberts cuba mengimbangi corak permainan lawan dengan mengatur beberapa serangan namun masih belum mampu menggegar gawang T-Team yang dikawal Syamsuri Mustafa. T-Team sebaliknya meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-67 apabila Faiz melepaskan rembatan kencang di luar kotak penalti untuk menerjah jaring sebelum sekali lagi mendapat peluang tiga minit kemudian, namun ditepis keluar Sani Anuar.

Bagaimanapun Sarawak berpeluang membawa pulang satu mata namun rembatan kencang pemain gantian, Zamri Morshidi pada minit ke-89 dihalang Syamsuri bagi memastikan tiga mata kekal menjadi milik tuan rumah.

“Saya gembira kami berjaya memungut tiga mata walaupun banyak mensia-siakan peluang. Saya akui Faiz memang memainkan peranan penting apabila diletakkan kembali ke posisi asal iaitu bahagian sayap kiri selepas pada awalnya dikekang lawan apabila diletakkan sebagai penyerang utama,” kata Yunus.

Keputusan ini membolehkan T-Team mencatatkan kemenangan kelima untuk melonjak ke tangga kedua di belakang Kelantan dengan mengumpul 16 mata manakala Sarawak kekal di tangga kelapan liga berbekalkan 11 mata.

No comments:

Post a Comment