Friday, October 14, 2011

Kelantan Tertekan




PANTAI Timur pasti bergelora malam ini. Dua gergasi, Kelantan dan Terengganu bertembung bagi mencari slot ke pusingan separuh akhir kempen Piala Malaysia 2011. Tanpa ada perasaan gentar, kesebelasan utama Terengganu kini sudah bersedia untuk memecahkan tembok kebal Kota Bharu dalam misi melenyapkan impian Kelantan untuk bergelar juara Piala Malaysia musim ini.

Atas kertas, anak-anak buah Irfan Bakti memiliki kelebihan hasil kemenangan 3-1 pada perlawanan suku akhir pertama di Kuala Terengganu, Isnin lalu.

Namun, beraksi di Stadium Sultan Muhammed IV bukan satu tugas mudah, apatah lagi perlu berdepan gelombang penyokong The Red Warriors.

Justeru, Irfan hanya mengharapkan doa daripada ribuan penyokong Terengganu sambil berpegang teguh kepada prinsip berjuang habis-habisan.

“Kami sangat menghormati Kelantan tetapi itu tidak bermakna kami takut. Malah, saya sendiri tidak gentar untuk berdepan mereka.

“Saya sangat percaya kepada kemampuan pemain-pemain Terengganu dan kami hanya perlu mengekalkan fokus sambil meningkat semangat apabila beraksi di Kota Bharu,” kata Irfan kepada Kosmo!.

Baik Terengganu mahupun Kelantan, Irfan mengakui kedua-dua pasukan sebenarnya berdepan dilema yang sama apabila kehilangan beberapa tonggak utama.

Namun katanya, Kelantan masih memiliki kelebihan apabila beraksi selaku tuan rumah pada ketika anak-anak buahnya perlu mempertahankan dua gol yang diperoleh di Kuala Terengganu.

“Kelebihan Kelantan mungkin kepada penyokongnya tetapi itu tidak bermakna kami akan akur dengan sorakan mereka.

“Pemain saya cukup kental dan memiliki semangat juang yang tinggi seperti mana yang mereka buktikan pada final Piala FA Jun lalu.

“Jadi, kami perlu fokus kepada permainan tanpa memikirkan langsung mengenai sorakan penyokong lawan,” jelasnya.

Mengenai percaturan malam ini, Irfan menjelaskan taktik menyerang akan dipraktikkan anak-anak buahnya dalam misi memberi tekanan kepada pasukan lawan.

“Saya mempunyai ramai pemain berbakat seperti Joseph Kalang Tie, Ashaari Shamsuddin, Abdul Hadi Yahya dan Marzuki Yusof.

“Jadi, saya tidak perlu risau mengenai perlawanan malam ini kerana hanya pasukan terbaik yang akan mara ke separuh akhir,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment