Tuesday, October 18, 2011

Pemain Terengganu Akan Mengganas Di Shah Alam



STADIUM Shah Alam bakal bergelora malam ini apabila dua pasukan berstatus ‘gergasi’ membuat perhitungan pada separuh akhir pertama dalam kempen Piala Malaysia 2011.

Mereka mempunyai satu misi yang sama iaitu memburu tempat ke final piala paling berprestij itu.

Terengganu tampil dengan label sebagai pasukan Gergasi Pantai Timur selepas kejayaan menumbangkan musuh tradisinya, Kelantan, Jumaat lalu. Terengganu akan turun selaku pasukan pelawat menentang Selangor yang sinonim dengan gelaran Gergasi Merah Kuning.

Ibarat buku bertemu ruas, pertembungan separuh akhir pertama malam ini turut menjadi gelanggang percaturan buat Irfan Bakti dan P. Maniam dalam merencana skuad terbaik yang terdiri daripada barisan pemain kebangsaan.

Bagi Irfan, dia begitu menghormati reputasi Selangor selaku juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali, namun tanpa ada rasa gentar, mereka bersedia melenyapkan impian pasukan lawan yang memburu ‘Misi 33’.

Katanya, kejayaan menyingkirkan Kelantan tempoh hari adalah amaran awal buat mana-mana pasukan di Malaysia agar lebih menghormati kemampuan Terengganu.

“Sejak dari awal saingan lagi saya sudah katakan yang kami tidak takut untuk bertemu mana-mana pasukan termasuklah Selangor.

“Saya memiliki barisan pemain berbakat dengan corak permainan menyerang yang begitu sistematik. Paling penting, pemain Terengganu tidak sedikit pun gentar dengan sorakan padu penyokong lawan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Enggan mendedahkan strategi yang bakal dipraktikkan, Irfan sebaliknya memberi kepercayaan kepada kesebelasan utama yang bakal diturunkan malam ini untuk bermain secara berpasukan.

Jelasnya, kekuatan sebenar Terengganu adalah kepada corak permainan berpasukan sepertimana yang dipamerkan ketika aksi suku akhir lalu.

“Kami mempunyai pakej sebagai sebuah pasukan. Semangat dan keyakinan pemain adalah senjata kami lebih-lebih lagi selepas kemenangan ke atas Kelantan.

“Namun, saya tetap mengharapkan sentuhan beberapa pemain terutamanya di bahagian tengah yang dikemudi Joseph Kalang Tie dan Ashaari Shamsuddin. Selain itu, kehadiran semula Ismail Faruqi dan pertahanan muda, Zubir Azmi memberi lebih banyak pilihan kepada saya," katanya lagi.

Apa yang pasti, bahagian tengah pasukan Terengganu malam ini bakal menjadi faktor penentu kepada kemaraan pasukan itu Joseph Kalang dan Ashaari dengan menjadi taruhan.

Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahya pula akan mengetuai barisan serangan Terengganu sementara Mazuki Yusof kebal sebagai kapten di jentera pertahanan.

“Kami tidak boleh tenggelam dengan serangan pasukan Selangor serta sokongan padu penyokong mereka kerana ia hanya akan memberi tekanan kepada kami.

“Kami perlu bermain tenang dan fokus sambil menggunakan setiap peluang yang ada untuk dibawa ke perlawanan kedua nanti,” jelas Irfan.

No comments:

Post a Comment