Saturday, October 15, 2011

Kijang Jadi Lauk Ganu


Juara bertahan, Kelantan menamatkan cabaran lebih awal dalam kempen Piala Malaysia musim ini setelah tewas menerusi agregat 5-3 kepada musuh tradisinya.

Pada aksi suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi, Kelantan gagal menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk mencipta kebangkitan setelah sekadar seri 2-2 dengan Terengganu.

Dua gol dalam babak pertama menerusi jaringan pemain kebangsaan, Mohamad Ashaari Shamsuddin pada m-18, 39 pada perlawanan yang meruntuhkan semangat juang barisan pemain Kelantan untuk mencipta kejutan luar biasa perlawanan malam tadi.

Seawal minit keempat, Kelantan yang turun dengan misi memburu dua gol memulakan ancaman apabila hantaran lintang Khairan Eruan Razali di tanduk Azamuddin Mohd Akil cantik namun sedikit tersasar di atas pintu gol Terengganu.

Enam minit kemudian, giliran Terengganu pula melakukan percubaan pertama ke pintu gol Kelantan menerusi rembatan kencang pemain tengahnya, Joseph Kalang Tie dari jarak 30 meter tinggi namun melewati pintu gol.
Selang seminit kemudian, Kelantan hampir memperolehi gol pembukaan yang dinanti-nantikan menerusi percubaan Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi namun rembatan kencangnya daripada luar kotak penalti terkena palang gol pasukan pelawat.

Begitupun, tujuh minit kemudian, Terengganu mengejutkan tuan rumah apabila apabila pemain sayapnya, Mohamad Ashaari Samsuddin menjaringkan gol pertama untuk pasukannya.

Berpunca hantaran jauh oleh Abdul Hadi Yahaya dari tengah padang, Mohamad Ashaari bijak melepasi perangkap ofsaid barisan pertahanan Kelantan sebelum merembat kencang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat untuk gol pertama pasukannya.

Ternyata gol tersebut memberikan tekanan kepada anak buah Datuk M Karathu untuk kembali memburu gol penyamaan. Pada m-20, Muhd Badhri yang tidak dikawal oleh pemain pasukan pelawat sekali lagi mempersiakan peluang terbaiknya apabila memilih untuk menyepak tinggi melepasi jangkauan pintu gol Terengganu.
Sebaliknya Terengganu kembali mengganas seminit kemudian, menerusi gerakan solo Abdul Manaf Mamat yang berjaya memperdayakan S Subramaniam namun rembatan derasnya pula diselamatkan Khairul Fahmi.

Peluang terbaik Kelantan untuk menyamakan kedudukan hadir sekali lagi pada m-25 kali ini menerusi rembatan kencang Norshahrul Idlan Talaha namun tindakan bijak penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli melayangkan badan menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.

Badi kesukaran untuk menjaringkan gol terus menghantui Kelantan pada m-37 apabila sepakan percuma Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid daripada luar kotak penalti hanya singgah di tiang gol Terengganu.

Namun dua minit kemudian, Mohamad Ashaari memastikan kedudukan agregat berubah menjadi 5-1 apabila meledakkan gol kedua untuk pasukannya. Abdul Hadi sekali lagi menjadi inspirasi kepada jaringan tersebut apabila hantarannya bijak dimanfaatkan oleh Mohamad Ashaari yang merembat kencang di dalam kotak penalti untuk gol kedua.

Bersambung babak kedua, Kelantan yang dilihat semakin tertekan terus melipat gandakan asakan dan kesilapan Mohd Sharbinee Allawee yang gagal menangkap kemas bola dihukum oleh Azamuddin menerusi tolakan mudahnya untuk gol pertama Kelantan pada m-54.

Ternyata gol tersebut membakar semangat juang barisan pemain Kelantan namun masih tidak cukup untuk diterjemahkan dalam bentuk jaringan apabila percubaan Muhd Badhri pada m-57 diselamatkan Mohd Sharbinee Allawee manakala tandukan S Subramaniam empat minit kemudian tersasar di sebelah kiri pintu gol Terengganu.

Pada m-70, pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan setelah bola terkena tangan Ketua Pasukan Terengganu, Mohd Mazuki Yusoff. Sepakan yang diambil Muhd Badhri menerjah penjuru kiri berjaya menghasilkan gol penyamaan untuk Kelantan.

Ternyata gol kedua tersebut kembali membakar semangat namun ketangkasan Mohd Sharbinee Allawee di gawangnya terus menafikan hajat Kelantan untuk menambahkan jaringan apabila percubaan Norshahrul Idlan Talaha pada m-72 dan sepakan percuma Mohd Rizal Fahmi lima minit kemudian terlalu mudah diselamatkan oleh beliau.

Sebaliknya pasukan Terengganu yang banyak bertahan dan hanya sekali-sekala melakukan serangan pada babak kedua turut berpeluang untuk menambahkan jaringan pada masa kecederaan namun percubaan pemain gantian, Mohamad Zharif Hasna diselamatkan Khairul Fahmi sebelum pengadil meniupkan wisel perlawanan yang mengesahkan juara Piala FA musim ini mara ke separuh akhir kempen Piala Malaysia musim ini.

No comments:

Post a Comment