Wednesday, October 19, 2011

Tewas Kerana kelemahan Penjaga Gol

Kelemahan Ketara TTeam ialah penjaga gol , tempo permainan agak perlahan serta tiada kesungguhan yang dipamerkan untuk melancarkan serangan.



BEKAL selesa dikutip Negeri Sembilan ketika bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi apabila menundukkan T-Team, 4-2 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia.

Pasukan kendalian Azraai Khor Abdullah mendahului tiga kali pada babak pertama tetapi anak buah Yunus Alif bingkas menyamakan kedudukan sebelum Negeri Sembilan yang turun dengan status naib juara, melebarkan jurang pada awal babak kedua.



Pelawat membuka jaringan seawal minit keenam menerusi rembatan Shahurain Abu Samah yang menerima hantaran cantik S Kunanlan sebelum menewaskan penjaga gol tuan rumah, Zairi Hafiezi Idris tetapi selang lima minit, Indra Putra Mahayuddin menyamakan kedudukan selepas menanduk masuk umpanan Fitiri Omar.



T-Team berpeluang menambah jaringan tetapi rembatan Norfarhan Mohamad pada minit ke-22 ditepis penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Marlias dan penyerang veteran, Hairuddin Omar memastikan pelawat kembali di depan apabila menyempurnakan hantaran Shukor Adan dengan tandukan berbisanya.

Tuan rumah sekali lagi menyamakan kedudukan, kali ini menerusi Norfarhan yang rembatannya terkena tiang sebelum menerjah gawang tetapi sekali lagi Hairuddin tampil menambah jaringan dengan menanduk masuk hantaran lintang Kunanlan untuk kedudukan 3-2 sebelum rehat.

Sebaik babak kedua bersambung, Negeri Sembilan meneruskan asakan dan selepas enam minit, kelalaian benteng pertahanan T-Team mengeluarkan bola membolehkan Kunanlan mara ke dalam kotak penalti sebelum melepaskan sepakan lencong untuk gol keempat Negeri Sembilan.

Dibolosi empat gol, Yunus mengambil keputusan menggantikan penjaga gol dengan memasukkan Jibrail Kamaron Baharin bagi menggantikan Zairi dan ternyata percaturan itu memberi kesan dengan pelawat gagal menambah jaringan untuk kedudukan 4-2 kekal hingga tamat.



T-Team perlu bekerja keras di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada perlawanan timbal balik Sabtu ini untuk mencari sekurang-kurangnya kemenangan 3-0 andai mahu mara ke final buat pertama kali.


No comments:

Post a Comment