Monday, October 17, 2011

Ashaari Pemusnah Selangor




PEMENANG Kasut Emas musim lalu, Mohamad Ashari Samsudin mengakui kejayaan mencalar ego juara Liga Super musim ini, Kelantan, belum cukup puas buat dirinya andai gagal menyekat juara 32 kali, Selangor pada pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok.

Pemain sayap Terengganu yang meledak dua gol ketika pertemuan dengan Kelantan dalam saingan suku akhir kedua pada Jumaat lalu untuk menyingkirkan juara bertahan itu sudah bertekad beraksi dengan cemerlang dalam usaha membantu pasukannya mara ke final.

“Kejayaan menamatkan saingan Kelantan di suku akhir memang menggembirakan lebih-lebih lagi lawan adalah skuad yang liat untuk ditewaskan dan juga juara bertahan piala berprestij itu.

“Namun biarpun sudah melangkah ke separuh akhir, saya belum cukup puas sekiranya tidak menyekat Selangor. Saya bertekad untuk memperagakan aksi terbaik buat pasukan apabila beraksi di Shah Alam nanti,” katanya yang meledak 10 gol dalam saingan liga dan lima gol dalam kempen Piala Malaysia setakat ini.

Selain itu, pemain berusia 26 tahun itu turut mengharapkan rakan sepasukan mempamerkan aksi terbaik untuk membawa bekalan selesa ke Kuala Terengganu pada pertemuan kedua, Sabtu ini.

“Berdasarkan prestasi dan corak permainan yang dipamerkan ketika ini, tidak ada sebab Terengganu gagal beraksi dengan baik dan seterusnya membawa bekalan berguna ke Kuala Terengganu,” katanya.

1 comment: