Monday, October 31, 2011

Saya Terharu Penyokong PETEH Dibelakang Saya


Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim hari ini mengumumkan akan meninggalkan pasukan naib juara Piala Malaysia itu apabila kontraknya berakhir 31 November ini.

Jurulatih kelahiran Kelantan berusia 60 tahun itu memberitahu sidang media di sini bahawa beliau tidak akan menyambung kontraknya bersama Terengganu.
Katanya, pengunduran itu adalah keputusan terbaik untuk kedua-dua belah pihak.

"Saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk tidak menyambung kontrak bersama Terengganu. Tiada paksaan dan keputusan ini dibuat dengan persetujuan kedua-dua belah pihak," katanya selepas menghadiri mesyuarat dengan PBSNT di sini.

Beliau berkata, Terengganu adalah antara pasukan paling bagus pernah dibimbingnya dan dia tidak akan melupakan negeri Penyu itu.

"Memang sedih nak tinggalkan negeri ini dan pemain, namun di saat ini saya terpaksa buat keputusan ini demi masa depan pasukan dan diri sendiri," katanya tanpa mengulas lanjut punca sebenar beliau mengambil tindakan itu.

Di bawah kendaliannya selama dua musim, Terengganu berjaya menjuara Piala FA, menjadi naib juara Liga Super dan terbaru naib juara Piala Malaysia selepas kalah kepada Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir Sabtu lalu.
Pemergian Irfan Bakti bakal menyaksikan Terengganu musim depan akan dikemudi jurulatih baru.

Ia juga menimbulkan teka-teki ke mana Irfan Bakti selepas ini.

Bagaimanapun beliau tetap akan diingati sebagai jurulatih yang bertanggungjawab menjadikan Terengganu gergasi bola sepak Pantai Timur.

1 comment:

  1. irfan bakti bkl mjd jurulatih selangor musim dpn...salut hj irfan bakti,u r the best!

    ReplyDelete