Tuesday, October 18, 2011

Sharbinee Akan Mempertahan Pintu Gol Tidak Bocor



“LUKA lama ditunjuk jalan keluar di separuh akhir Piala Malaysia oleh Selangor pada 2005 masih lagi segar dalam ingatan dan kini peluang kedua hadir dalam peringkat yang sama akan kami tebus untuk mara ke final,” kata penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Menurut pemain kebangsaan itu, biarpun hanya memanaskan bangku simpanan dan menyaksikan pasukannya tumbang di tangan juara 32 kali itu enam tahun lalu, nalurinya tetap terdetik untuk membalas dendam kekalahan itu pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di laman lawan, malam ini.

“Kami bertekad untuk melangsaikan hutang itu dan seterusnya mara ke final.

“Biarpun terpaksa berdepan lautan merah kuning di Stadium Shah Alam, skuad kami sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk mengharungi 90 minit tempoh perlawanan dan seterusnya membawa bekalan ke Kuala Terengganu,” katanya.

Pada aksi separuh akhir itu, Terengganu yang dibimbing Yunus Alif ketika itu rebah di Stadium Shah Alam 1-3 dan seri 1-1 di Kuala Terengganu sekali gus gagal melayakkan diri ke final.

Menurut Sharbinee yang memulakan karier bersama Terengganu sejak 2005, kekalahan itu cerita lama serta sudah menjadi sejarah dan kini adalah masa terbaik untuk Terengganu menebus kembali episod duka itu.

“Saya belum pernah mengecapi piala berprestij itu biarpun baru mendakap Piala FA Jun lalu, jadi saya akan pastikan gawang tidak bocor biarpun lawan bukan pasukan yang mudah untuk ditundukkan berdasarkan barisan pemain yang ada,” katanya.

Berdasarkan rekod, kali terakhir dan pertama Terengganu menjulang trofi berprestij itu adalah pada 2001 ketika di bawah kendalian Mat Zan Mat Aris dengan menewaskan Perak 2-1.

Sementara itu, jurulatih Irfan Bakti Abu Salim, mengharapkan anak buahnya mampu menyerap tekanan di gelanggang lawan sebagaimana ditunjukkan ketika pertemuan menentang Kelantan, Jumaat lalu.

Selain itu, dia turut mengharapkan peminat Terengganu membanjiri Stadium Shah Alam bagi meniupkan semangat pemain.

“Dengan adanya sokongan padu penyokong selain pemain mampu menyerap tekanan, saya percaya Terengganu bakal pulang dengan ceria sebelum perlawanan kedua, Sabtu ini,” katanya.

1 comment:

  1. Selangor vs Terengganu -8.45 mlm- Di Stadium Shah Alam ade live di rtm

    ReplyDelete