Wednesday, September 5, 2012

Tiada Nasib

Hasrat Terengganu untuk meneruskan ke saingan suku akhir Piala Malaysia akhirnya terpadam apabila tewas 0- 2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Kumpulan B di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Skuad kendalian Peter Butler yang beraksi tanpa tiga tonggak utama, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Ismail Faruqi dan Muslim Ahmad, gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila menyaksikan dua jaringan penyerang import ATM, Marlon Alex James (minit ke-73) dan Sebastian (minit 87) menjadi pemisah kedudukan.

Babak pertama perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah bermula garang mengasak kubu pertahanan lawan dan nyaris mendahului kedudukan seawal minit pertama, namun sepakan pemain tengah Terengganu, Abdul Shukur Jusoh berjaya ditampan keluar penjaga gawang pelawat, Mohd Farizal.


Begitupun, skuad kendalian B Sathianathan tidak kurang aksinya apabila melancarkan serangan balas dan kedua-dua pasukan tampak agresif dalam memburu gol pembukaan.

Pada minit ke-7 perlawanan, skuad Penyu sekali lagi hampir mengejutkan pasukan pelawat apabila asakan bertali arus tuan rumah hampir menemui jaringan, namun cubaan yang dilakukan pemain tengah, Joseph Kalang Tie dan Mazlizam Mohamad dari luar kotak penalti berjaya tampan penjaga gawang ATM.

Selang tiga minit selepas itu, bekas kapten Piala Presiden, Mohd Fakhrurazi pula gagal memanfaatkan peluang yang terhidang ketika berdepan satu lawan satu di depan gawang ATM apabila tandukannya sekadar tersasar ditepi sebelah kanan gol.

Malah kegopohan penyerang tuan rumah, Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-18 turut mensia-siakan peluang untuk meletakkan pasukan tuan rumah di depan, apabila rembatan kencangnya dari luar kotak penalti mudah dihidu penjaga gol ATM.

Tertekan dengan asakan padu pasukan tuan rumah, jentera ATM cuba bangkit untuk memberi saingan , namun usaha Mohd Zaquan Adha untuk mendapatkan sepakan penalti dengan menjatuhkan diri di dalam kotak penalti pada minit ke-24 mengundang padah apabila dia dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Mohd Nazmi Nasaruddin.

Usaha kapten pasukan Tentera, Hairuddin Omar yang melakukan gerakan solo dengan membawa bola ke dalam kotak penalti dan melakukan hantaran silang kepada pemain import, Marlon Alex James berjaya dihidu penjaga gawang tuan rumah, Mohd Sharmiza pada minit ke-35.

Gandigan mantap pemain tengah kelahiran Bumi Kenyalang Joseph Kalang Tie, dan ‘silent killer’ yang cuba bangkit melancarkan serangan balas gagal menzahirkan dua peluang berbahaya apabila hantaran silang Joseph Kalang Tie disia-siakan Ashaari Shamsudin pada minit ke-37 dan ke-39.

Beraksi pada babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan lebih kemas dalam menamatkan kebuntuan jaringan, dan Terengganu yang tampil dengan gaya permainan bertenaga dan benteng pertahanan yang dibarisi kapten pasukan, Mohd Faisal, Erison De Silva, Mazlizam dan Mohd Zubir berjaya mengekang serangan pasukan pelawat.

Pasukan pelawat yang sesekali mengasak kubu pertahanan tuan rumah nyaris mengejutkan kem Terengganu menerusi cubaan yang dilakukan Mohd Fitri pada minit ke-48, namun berjaya didakap kemas Shamirza.

Sorakan lebih 10,000 penonton yang membanjiri stadium menyuntik semangat skuad Penyu untuk terus melancarkan serangan, namun tiga cubaan menarik yang dilakukan Joseph Kalang Tie pada minit ke-66, 67 dan 72 sekadar melepasi palang gol.

Keghairahan tuan rumah dalam memburu gol terhukum ekoran kealpaan benteng pertahanan yang memberi laluan kepada penyerang import ATM, Marlon Alex James melakukan rembatan kencang di dalam kotak penalti terus menerjah jaring pada minit ke-73 perlawanan.

Jaringan pembukaan itu nyata membangkitkan semangat pasukan lawan untuk menambah jaringan dan skuad Penyu terus dilanda derita apabila penyerang import, Sebastian berjaya meledakkan jaringan kedua ATM pada minit ke-87.

No comments:

Post a Comment