Wednesday, September 19, 2012

Masih Menuggu Surat Rasmi

Jurulatih Terengganu, Peter Butler yang digantung enam bulan dan didenda RM4,000 oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kelmarin, tidak akan tunduk dengan desakan sesiapa yang mahukannya meninggalkan pasukan itu.

"Saya tidak akan ke mana-mana," kata Butler yang dijatuhi hukuman kerana memberi kenyataan kepada media tanpa kebenaran pihak pengurusan. "Mungkin ada pihak yang mahukan saya marah dan meninggalkan Terengganu namun mereka silap jika mereka berfikir begitu. 


"Saya seorang yang mempunyai prinsip dan setiap kali saya menerima tugas, saya akan melakukan yang terbaik, kata jurulatih berusia 46 tahun itu yang masih mempunyai kontrak sehingga November tahun depan. 

Selain gantung dan denda, gaji Butler bulan depan turut dipotong 15 peratus kerana kesalahan memarahi dan menolak penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, di khalayak ramai ketika perlawanan menentang Kedah di Kuala Terengganu, awal bulan ini.

Bincang dengan peguam

Jurulatih berbangsa Inggeris itu berkata, dia masih belum menerima surat rasmi daripada PBSNT mengenai penggantungan dan denda yang dikenakan ke atasnya. "Sehingga saya melihat dengan mata saya sendiri surat itu, saya tidak boleh berbuat apa-apa ataupun mengambil sebarang tindakan.

"Namun apa yang pasti, selain daripada berbincang dengan peguam, saya tidak akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya saya lakukan," katanya. 
Butler mengakui terkejut mendengar hukuman berat yang diterimanya namun dia tetap menghormati keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa tatatertib dan mesyuarat Majlis PBSNT.

Jurulatih itu berkata, dia datang ke Terengganu bertujuan membentuk pasukan yang baik.

"Tugas saya belum selesai dan sehingga ia tamat, saya akan terus berada di sini untuk menjalankan kewajipan saya. Namun, mungkin ada pihak atasan yang mempunyai idea lain dan sekiranya begitu saya juga akan menghormati keputusan mereka itu," katanya.

No comments:

Post a Comment