Saturday, September 29, 2012

Rayuan Ditolak

Usaha pengendali Terengganu, Peter Butler untuk membersihkan namanya menemui kegagalan selepas Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menolak rayuan kes penggantungannya, semalam.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Mat Yusoff Mohamed berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti rayuan bertulis serta nota yang dihantar oleh jurulatih kelahiran England itu.

"Selepas membaca dan meneliti kandungan rayuan tersebut, kita berpendapat rayuan yang dikemukakan Butler adalah tidak berasas dan tidak mempunyai merit.

"Sehubungan itu, pihak jawatankuasa memutuskan untuk mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib) PBSNT (berhubung penggantungan Butler) sebelum ini," katanya semalam.

Jelas Mat Yusoff, pihaknya juga menasihati jurulatih itu supaya membuat rayuan terus kepada FAM dalam tempoh tujuh hari jika masih belum berpuas hati dengan keputusan itu.

Jurulatih berusia 46 tahun itu sebelum ini telah mengemukakan surat rayuan selepas digantung selama enam bulan selain berdepan tindakan pemotongan gaji dan denda sebanyak RM4,000 oleh PBSNT.

Ia ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh jurulatih itu kepada media berhubung dua pemain Terengganu didakwa membawa perempuan pulang ke bilik penginapan dan melanggar disiplin ditetapkan pengurusan.

Dia juga terbabit dengan pertelagahan dengan penjaga gol, Sharbinee Alawee Ramli yang dianggapnya bermain dalam keadaan meragukan.

Dalam pada itu, Butler ketika ditemui nyata begitu kecewa dengan keputusan PBSNT.

"Ya. Saya sangat kecewa. Ini sangat keterlaluan. Sudah beribu kali saya memberi kenyataan kepada media sebelum ini tetapi tidak ada apa-apa tindakan.

"Saya bersikap telus dalam hal ini dan akan beritahu apa yang mereka (media) nak tahu tentang pasukan.

"Bagaimanapun saya akan berbincang dengan peguam saya terlebih dahulu sebelum membuat rayuan terus kepada FAM berhubung perkara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment