Thursday, September 20, 2012

Kecemerlangan janji Pengurus Baru



PENGURUS baru pasukan Terengganu Marzuki Sulong berjanji akan menggembleng tenaga bersama pasukan dalam usaha membawa sinar baru kepada anak buahnya dalam arena bola sepak tempatan musim depan.

Beliau berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan pemain berkualiti yang akan dibawa masuk ke dalam pasukan tersebut menjelang musim baru Liga Malaysia.

"Saya akan cuba dapatkan pemain baharu sama ada dari dalam atau luar Terengganu bagi merealisasikan impian tahun depan bagi mengukuhkan skuad ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini.Kontraktor dari Setiu itu menggantikan Datuk Che Mat Jusoh, yang kekal selaku Yang Dipertua PBSNT.



Marzuki juga berkata, beliau akan mencuba sedaya upaya membentuk pasukan yang mampu bersaing di peringkat global walaupun tugas itu dilihat agak berat untuk dilaksanakan, lebih-lebih lagi tanpa kehadiran jurulatih Peter Butler, yang digantung enam bulan mulai Isnin lepas oleh PBSNT kerana melanggar peraturan. 

Bagaimanapun, beliau akan cuba mendapatkan pandangan serta nasihat penggiat sukan bola sepak di negeri ini bagi merealisasikan impian itu.

"Insya-ALLAH, dengan kerjasama semua pihak termasuk pemain, saya yakin pasukan Terengganu akan tampil dengan wajah baru dalam bola sepak tanah air pada musim depan, dan saya masih belum fikirkan apa-apa strategi lanjutan buat masa ini," katanya.

Marzuki berkata, masalah jurulatih yang bakal membimbing Terengganu mengharungi musim depan akan ditentukan dalam masa terdekat bagi membolehkan pasukan itu membuat persediaan lebih awal.

No comments:

Post a Comment