Wednesday, September 5, 2012

SPRM siasat pemain Terengganu

Kemelut yang melanda skuad bola sepak Terengganu dengan prestasi dan aksi meragukan memasuki episod baru semalam apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula menjalankan siasatan.

Pengarah SPRM Terengganu, Md. Yusoff Md. Zain mengesahkan pihaknya telah memanggil pihak pengurusan dan sebilangan pemain semalam bagi mendapatkan keterangan.

Ia bagi membantu proses siasatan yang dikaitkan dengan isu menjual permainan yang makin hangat diperkatakan ketika nasib skuad negeri terumbang-ambing dalam saingan Piala Malaysia.

Antara yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan penjaga gol utama Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.

Difahamkan, Peter Butler turut dipanggil dan ketua jurulatih skuad penyu itu dikatakan hadir di ibu pejabat SPRM negeri dalam sesi berasingan dengan Che Mat.

"Kita mula menjalankan siasatan itu hari ini tetapi ia masih dalam peringkat siasatan awal dan kesemua yang dipanggil memberi kerjasama yang baik," katanya di sini, semalam.

Namun beliau tidak mengulas lanjut kerana siasatan itu masih pada peringkat awal.

Bagaimanapun ketiga-tiga individu itu gagal dihubungi petang ini untuk mendapatkan reaksi mereka.

Che Mat sebelum ini dilaporkan meminta semua pihak tidak lagi mengeluarkan kenyataan kepada media ketika pihaknya sedang berusaha mencari jalan penyelesaian termasuk berkait isu disiplin dua lagi pemain.

SPRM mula masuk dalam kancah bola sepak negeri berasaskan kenyataan-kenyataan pihak pengurusan dan pemain berkait dengan pengaturan perlawanan.

Siasatan difahamkan terarah kepada dakwaan 'menjual permainan' ketika Terengganu bertemu Kedah dalam saingan Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Ia mula tercetus apabila Butler yang hilang sabar meragui aksi Sharbinee yang dianggap keterlaluan ketika terlepas bola dengan begitu mudah semasa menentang Kedah Sabtu lalu dan Terengganu yang mengharapkan kemenangan, hanya seri 1-1.

Sharbinee dilaporkan mengakui melakukan kesilapan dalam insiden itu namun bertegas sanggup disiasat SPRM bagi menepis dakwaan kononnya ia berkait dengan isu 'menjual perlawanan.'

No comments:

Post a Comment