Monday, September 3, 2012

Shabinee Keterlaluan

Selepas Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha‘ri, penjaga gol Ahmad Sharbinee Allawee Ramli kini dikatakan bakal menjadi pemain terbaru yang bakal disingkirkan daripada senarai skuad kendalian Peter Butler.

Sharbinee dikatakan menjadi sasaran kemarahan Butler selepas penjaga gol itu melepaskan gol mudah ketika Terengganu terikat 1-1 dengan Kedah di laman sendiri kelmarin.

Menambahkan lagi kemarahan jurulatih dari England itu ialah sikap bekas penjaga gol kebangsaan itu yang melontar bekas minuman ke arahnya sebaik dikeluarkan untuk digantikan dengan Md. Sharmiza Yusof.

“Ya. Saya memang sangat kecewa dengan tindakannya (Sharbinee). Saya juga kecewa bagi pihak seluruh rakyat Terengganu serta Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) di atas tindakannya itu.

“Apa yang dia buat itu memang salah. Ini bukan kali pertama dia melakukannya dan dia memang keterlaluan," kata Butler sejurus tamat perlawanan kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Terengganu mendahului seawal minit ke-20 hasil tendangan percuma luar kotak penalti oleh penyerang import mereka, Francis Forkey Doe.

Bagaimanapun, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-62 hasil tendangan penjuru yang gagal ditangkap penjaga gol tuan rumah, Sharbinee Allawee.

Butler kemudian bertindak mengeluarkan penjaga gol tersebut sehingga berlaku sedikit pertengkaran sebelum Sharbinee dilihat melemparkan botol minuman ke arah jurulatih itu.

Aksi panas di tengah padang itu tidak terhenti begitu sahaja apabila Doe pula dilayangkan kad merah selepas dikatakan menyiku pertahanan pelawat, Mohd. Sabre Abu pada minit ke-75.

Penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias yang dikatakan turut masuk campur dalam pergaduhan itu juga menerima layangan kad merah dua minit kemudian manakala seorang lagi pemain Kedah iaitu Wan Mohd. Syukri turut menerima nasib yang sama pada masa-masa kecederaan.

Mengulas lanjut mengenai ‘masa depan’ Sharbinee bersama Terengganu, Butler berkata, skuad Penyu tidak akan maju sekiranya pemain seperti itu tidak disingkirkan daripada pasukan.

“Saya tidak perlukan pemain yang tidak jujur (dalam pasukan), saya mahu yang sopan (berdisiplin).

“Keputusan malam ini (kelmarin) sangat tidak relevan. Tidak kira menang atau kalah. Mungkin selamat jika saya katakan dia (Sharbinee) tidak akan ada lagi bersama pasukan selepas ini," katanya.

No comments:

Post a Comment