Thursday, September 13, 2012

Rayu Jangan Bubar TTeam

Jangan biarkan T-Team berkubur! Itulah harapan Kelab Penyokong T-Team selepas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memberi bayangan pasukan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri itu akan dibubarkan akhir musim ini.

Naib Presiden kelab, Amir Amri Mohamad, berkata tindakan menguburkan T-Team hanya disebabkan persembahan kurang cemerlang musim ini dianggap tidak wajar. 

"Kami semua masih ingat lagi bagaimana T-Team bermula lebih lima tahun dulu, mencari bakat baru di seluruh negeri. 

'Kemudian T-Team beraksi buat pertama kali dalam Liga FAM dan menunjukkan prestasi baik untuk berada di tangga ke-lima pada akhir musim," katanya. 

Tahun berikutnya, T-Team di bawah kelolaan jurulatih, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor, muncul juara Liga FAM dan layak bermain di Liga Perdana. 

Amir berkata T-Team ternyata hebat kerana layak ke Liga Super selepas hanya semusim beraksi di Liga Perdana dan pasukan itu masih kekal di liga tertinggi negara selama tiga musim sehingga kini. 

Tahun lalu, berbekalkan beberapa pemain ternama seperti Indera Putra Mahayuddin, Norfarhan Mohammad dan Azizi Mat Ros, T-Team mara ke separuh akhir Piala Malaysia tetapi tewas kepada Negeri Sembilan dan pernah layak ke suku akhir Piala FA 2010. Kecundang di peringkat suku akhir

Musim ini, T-Team kecundang di peringkat suku akhir Piala FA dan gagal di pusingan awal Piala Malaysia, tetapi masih kekal di Liga Super. 

"Masih belum terlewat untuk T-Team dipulihkan semula dan kami merayu kepada Menteri Besar supaya jangan bubarkan T-Team," katanya. 

Sebaliknya, Amir mencadangkan supaya pasukan itu dirombak bagi mendapat nafas baru untuk menebus maruah mereka pada musim depan termasuk membawa masuk jurulatih dan pemain baru 

Lebih parah, jika dibubarkan sekarang, wang deposit yang dibayar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan hangus kerana kontrak mereka tamat pada 2014 serta boleh digantung tiga tahun. 

Nasib T-Team akan ditentukan selepas perlawanan terakhir menentang Pahang dalam Kumpulan D Piala Malaysia, esok.

No comments:

Post a Comment