Tuesday, September 11, 2012

Gugur Pemain Terengganu & Bubar TTeam

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata beberapa pemain dari skuad Terengganu mungkin akan digugurkan manakala pasukan berstatus kelab, T-Team akan dibubarkan. 

Keputusan pengguguran pemain itu akan ditentukan selepas perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) manakala T-Team pula diputuskan selepas perlawanan terakhir Kumpulan D menentang Pahang di Kuala Terengganu, Jumaat ini. 

Akan campur tangan

"Saya tidak terbabit dalam soal pengurusan, tetapi saya akan campur tangan dalam penilaian pemain dengan memberi pandangan dan pendapat. Kita akan tentukan pemain yang berkebolehan dan berkualiti. 

"Saya dah diberitahu, mungkin ramai (pemain) yang tidak menunjukkan komitmen akan dibuang kali ini. Sebab kita (kerajaan negeri) melabur dalam jumlah besar. Kita belanja RM6 juta setahun dan kita mahukan hasilnya. 

"Sebab itu, kita awal-awal sudah beritahu, kalau pemain tidak berdisiplin, kita buang. Begitu juga dengan pemain yang sengajakan dirinya dikenakan kad merah. Apabila pemain sengaja buat kesalahan begitu, kita perlu denda dia. 

"Jika tidak, kita yang rugi..kita bayar gaji dia untuk bermain, bukan untuk berehat..jadi kita kena ambil tindakan. Sebab itu, kita akan buat rombakan besar-besaran pemain. 
“Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan bincang dengan pihak pengurusan," katanya selepas majlis Aidilfitri Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam. 

Mengenai T-Team beliau berkata: "T-Team sekarang 100 peratus bergantung pada dana kerajaan negeri. Nasib T-Team akan ditentukan selepas perlawanan akhir nanti dan saya sedang tunggu laporan. 

"Kita sedar, kadang kala T-Team menunjukkan permainan yang baik, tetapi kita lihat setiap kali perlawanan, sokongan peminat berkurangan. Penonton antara 300 hingga 500 saja," katanya.

No comments:

Post a Comment