Wednesday, September 12, 2012

Sharbinee disoal 2 kali

LAIN disasar, lain terkena apabila kesungguhan jurulatih Terengganu, Peter Butler yang beria-ia mahu menjalani ujian poligraf (pengesanan pembohongan) ke atas dua pemainnya, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha’ri bukan sekadar tidak kesampaian, sebaliknya penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli terlebih dulu menjalani ujian itu atas alasan mengatur perlawanan.

Sebelum ini, Butler bermati-matian mempertahankan keputusan menggantung dua pemain itu atas alasan pulang jam 3 pagi ke hotel penginapan dan didakwa bersama wanita sebelum masuk ke dalam bilik hinggakan jurulatih bangsa Inggeris itu sanggup membiayai segala perbelanjaan mengambil ujian itu di dalam atau luar negara.


Pantas membela diri, Ismail menyahut cabaran untuk menjalani ujian poligraf kerana katanya, ia sangat penting bagi membersihkan namanya dan Muslim yang tercemar akibat tuduhan Butler sebelum perlawanan Piala Malaysia Kumpulan B menentang Kedah, 28 Ogos lalu.



Namun di sebalik keriuhan itu, Sharbinee yang menimbulkan kontroversi apabila dia tertampan bola ke dalam gol sendiri ketika menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu empat hari kemudian, menjadi pemain pertama Terengganu terpaksa mengambil ujian poligraf.


Itupun kerana bekas penjaga gol kebangsaan berusia 26 tahun itu, mengaku tidak terbabit mengatur perlawanan dan memberitahu media, dia sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Pengarah SPRM Terengganu, Md Yusoff Md Zain berkata, siasatan sudah dimulakan seperti diminta Shar binee dan setakat ini lapan individu termasuk pemain itu sudah dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM negeri di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu.






Menurutnya, selain Sharbinee, antara mereka yang dipanggil memberi keterangan termasuk Butler, Muslim, Ismail, Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh yang juga pengurus pasukan dan Timbalan Presiden PBSNT, Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusoff yang juga penolong pengurus pasukan.


“Sharbinee yang dua kali disoal siasat di pejabat negeri juga diarah menjalani ujian poligraf di ibu pejabat SPRM di Kuala Lumpur dan setakat ini, hasil ujian itu belum kami peroleh,” katanya.

No comments:

Post a Comment