Monday, September 3, 2012

Gol sendiri Mengecewakan

KESILAPAN penjaga gol Terengganu, Ahmad Sharbinee Allawee yang membenarkan Kedah menyamakan kedudukan 1-1 dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia 2012 di Stadium Sultan Ismail Nasirruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin bakal mengundang padah kepada dirinya.

"Saya memang sangat kecewa dengan tindakannya (Sharbinee). Saya juga kecewa bagi pihak seluruh rakyat Terengganu serta Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) di atas tindakannya itu.

"Apa yang dia buat itu memang salah. Ini bukan kali pertama dia melakukan kesilapan seperti itu dan ia memang dilihat keterlaluan," kata pengendali Penyu, Peter James Butler.
Mengulas lanjut, Butler berkata, skuad Penyu tidak akan maju sekiranya pemain seperti itu terus kekal dalam pasukan.

"Saya tidak perlukan pemain yang tidak jujur (dalam pasukan), saya mahu yang berdisiplin.

"Keputusan malam ini (kelmarin) sangat tidak relevan. Tidak kira menang atau kalah. Mungkin selamat jika saya katakan dia (Sharbinee) tidak akan berada dalam kesebelasan utama lagi selepas ini," katanya.

Pada perlawanan malam kelmarin, Terengganu bermain dengan cukup baik apabila mendahului seawal minit ke-20 hasil tendangan percuma daripada luar kotak penalti oleh penyerang import, Francis Forkey Doe.

Bagaimanapun, pada separuh masa kedua, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-62 hasil tendangan penjuru yang gagal ditangkap penjaga gol tuan rumah, Sharbinee Allawee.

Ia sekali gus telah membuatkan Butler menggantikan Sharbinee dengan penjaga gol simpanan, Md. Sharmiza Yusof.

Dalam pada itu, Butler memberitahu, skuad kendaliannya akan terus berjuang dalam baki dua perlawanan Piala Malaysia.

"Kita mempunyai maruah dan akan terus berjuang menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan kelak," ujarnya.

No comments:

Post a Comment