Tuesday, September 18, 2012

Dilema Terengganu

Nasib buruk skuad hitam putih yang terkenal dengan gelaran Sang Penyu itu mula kelihatan sejak permulaan saingan liga, berikutan persembahan hambar dan tidak konsisten sesudah melepasi lima perlawanan pertama.

Berang menyaksikan persembahan yang goyah itu, sekumpulan besar anak muda yang mendakwa sebagai peminat tegar Sang Penyu mengadakan tunjuk perasaan di luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) sejurus berakhir satu perlawanan liga.

Mereka menuntut barisan kepimpinan skuad Penyu terutama pengurusnya, Datuk Che Mat Jusoh dan Ketua Jurulatih, Mat Zan Mat Aris, segera berundur.

Gesaan itu tidak terhenti setakat mengadakan tunjuk perasaan di luar stadium dan memberi kenyataan media pada malam itu sahaja, sebaliknya mereka berarak ke rumah Che Mat di pinggir bandar Kuala Terengganu.

Di luar pagar kediaman Che Mat yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), mereka melaungkan gesaan supaya tokoh tersebut angkat kaki daripada pasukan.

Selain melontarkan kata-kata gesaan, juga terjulang sepanduk yang senada dengan laungan itu, namun mereka beredar setelah diarahkan bersurai oleh pihak berkuasa.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, tindakan itu bagaimanapun tidak melibatkan penyertaan kelab penyokong pasukan bola sepak Terengganu yang dikenali sebagai Peteh.

Sungguhpun tidak diurus dengan terancang, gelombang penentangan akibat rasa tidak puas hati itu membesar dan kian mendapat sokongan anak muda dari seluruh negeri.

Gelora tersebut memasuki episod baharu apabila ramai peminat tegar skuad Penyu memboikot beberapa perlawanan seterusnya di SSINS.

Ekoran itu, prestasi Sang Penyu yang pada awalnya berada dalam kelompok empat pasukan teratas dalam carta Liga Super, makin menjunam hingga menimbulkan keresahan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Biarpun begitu, beliau masih mempertahankan kedudukan barisan kepimpinan skuad Penyu dan meminta usaha pemulihan prestasi dilaksanakan dengan segera.

Banyak pihak melihat kepincangan skuad Penyu bermula lebih awal, bukannnya sejurus selepas tirai saingan Liga Super 2012 disingkap.

Bagi mereka, kemelut yang menyerkup pasukan gergasi Pantai Timur itu sudah mula kedengaran pada penghujung saingan kejuaraan Piala Malaysia 2011.

Mereka percaya virus sudah mula menjangkiti Sang Penyu tatkala skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim ketika itu berjaya menyingkirkan Selangor pada saingan separuh akhir yang dianggap sebagai perlawanan El-Classico 2011.

Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, trio Penyu iaitu Abdul Hadi Yahya, Ashaari Shamsuddin dan Abdul Manaf Mamat memperagakan persefahaman yang unik dan kualiti itu diteruskan pada saingan separuh akhir kedua di SSINS.

Malangnya, dikatakan bahawa menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu Negeri Sembilan, skuad Penyu dilanda wabak misteri yang sehingga kini belum menemukan jawapan.

Irfan Bakti yang ketika itu cuba menyaingi pencapaian Mat Zan pada 2001 yang membawa Penyu menjulang Piala Malaysia buat kali pertama, berdepan cabaran getir.

Selaku jurulatih yang matang, beliau mengetepikan situasi semasa, sebaliknya memfokuskan perhatian memburu kejuaraan namun akhirnya kecundang kepada lawan termasuklah melalui satu sentuhan mudah yang gagal diselamatkan Sharbinee Allawee.

Ketika meninggalkan pasukan Pantai Timur itu, Irfan Bakti enggan mengulas desas-desus kemelut yang melanda Penyu namun jika diteliti kata-katanya, wujud suatu bentuk semantik yang boleh difahami.

Memasuki saingan musim baharu Liga Super 2012, skuad Penyu seolah-olah segar daripada apa-apa kemelut.

Bagaimanapun, selepas diasak peminat dan penyokong yang melihat prestasi skuad hitam putih itu semakin tenat, PBSNT merehatkan Ketua Jurulatihnya, Mat Zan dan membawa masuk Peter Butler.

Sungguhpun berhadapan dengan krisis status Mat Zan yang dikatakan teraniaya, kehadiran Butler yang fasih berbahasa Melayu itu memberikan sedikit sinar kepada skuad Penyu.

Buktinya, berlaku sedikit kemajuan kedudukan dalam liga dan skuad hitam putih itu menamatkan saingan Liga Super 2012 pada ranking kelima.

Kegagalan Penyu mempertahankan Piala FA ekoran tewas kepada Sime Darby pada 27 Mac di peringkat separuh akhir meninggalkan Piala Malaysia sebagai sasaran tunggal.

Sejenak waktu, jurulatih berbangsa Inggeris itu kelihatan berada di landasan yang betul apabila menewaskan Kelantan 2-0 pada perlawanan pertama Kumpulan B yang digelar kumpulan maut.

Rupa-rupanya hari panas tidak sampai ke petang.

Kemelut dalaman berlaku dan timbul isu panas membabit dua pemain utama pada malam sebelum Penyu bertemu Kedah di Alor Setar.

Belum pun reda masalah yang menyaksikan Butler mencabar dua pemain itu menjalani ujian poligraf, timbul pula isu 'tangan ajaib' dalam perlawanan dengan Kedah di SINSS yang boleh dianggap menutup laluan Penyu ke suku akhir.

Nasib malang Sang Penyu disahkan oleh kekalahan besar 1-6 di tangan tetangganya yang menyaksikan dua jaringan itu dilakukan oleh bekas pemainnya sendiri, Nor Farhan Mohammad.

Kini, suasana suram menyelubungi fikiran peminat bola sepak Terengganu dan rata-rata mereka berpendapat malang yang menimpa pasukan kesayangan mereka boleh diatasi jika suara 'orang kecil' dinilai dengan saksama.

Tanpa meletakkan sepenuh kesalahan kepada pihak pengurusan pasukan, mereka berkata, jalinan idea pihak pengurusan dengan pihak penyokong pasukan sepatutnya bertaut dan terjalin mesra.

Sepatutnya, kata mereka, suara peminat dianalisis dengan adil dan tuduhan bahawa kumpulan berkenaan diresapi pengaruh negatif pihak tertentu tidak timbul.

Kata mereka lagi, tindakan kumpulan anak muda berkenaan timbul atas kesedaran mahu melihat skuad Penyu terus gah dengan gelaran pasukan elit Pantai Timur. - ALIAS ISMAIL

No comments:

Post a Comment