Tuesday, September 18, 2012

Terkejut

Pengendali pasukan Terengganu, Peter Butler menganggap hukuman yang dikenakan terhadapnya adalah suatu yang mengejutkan dan mengambil keputusan ‘mengunci mulut’ berhubung keputusan itu.

Menurutnya, beliau terkejut dengan keputusan itu dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut kerana beliau masih belum menerima `hitam putih’ daripada pihak berkenaan.

“Saya masih menunggu surat rasmi daripada pihak PBSNT,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keputusan jawatankuasa tatatertib PBSNT yang telah disahkan dalam mesyuarat PBSNT di pejabat persatuan itu, di sini, semalam.

Bekas jurulatih pasukan Kelantan itu dihukum gantung enam bulan serta didenda RM4,000 dan gajinya turut dipotong 15 peratus sebulan daripada gaji pokok setelah didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berhubung masalah disiplin dua pemain Terengganu tanpa pengetahuan pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan hukuman itu berkuat kuasa serta merta.

Mesyuarat selama dua jam yang dipengerusikan Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh itu diadakan bagi meneliti keputusan Jawatankuasa Tatatertib berhubung beberapa kesalahan membabitkan Butler serta empat lagi pemain skuad Penyu.

Empat pemain berkenaan ialah Muslim Ahmad, Ismail Faruqi Asha’ari, Ahmad Sharbinee Allawee dan Francis Forkey Doe.

Muslim, Ismail Faruqi dan Ahmad Sharbinee diberi amaran keras serta didenda RM1,000 seorang manakala Forkey Doe kenakan tindakan tatatertib dengan sebulan gajinya dipotong 15 peratus dan denda sebanyak RM2,000 daripada FAM. 

Hukuman ke atas empat pemain tersebut turut berkuat kuasa mulai semalam.

Dalam pada itu, Ismail Faruqi ketika dihubungi bagi mendapatkan reaksinya berhubung hukuman terhadapnya bagaimanapun enggan mengulas mengenainya.

“Saya belum dimaklumkan oleh persatuan (PBSNT) berhubung perkara ini, jadi saya tak boleh nak beri komen,” katanya.

Sementara dua lagi pemain, Muslim dan Ahmad Sharbinee gagal dihubungi bagi mendapatkan reaksi berhubung perkara itu.

No comments:

Post a Comment