Tuesday, September 11, 2012

Ujian Poligraf Dibuat Keatas Pemain Terengganu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya telah menjalankan ujian poligraf ke atas seorang daripada lapan individu yang dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan ada pemain Terengganu menjual perlawanan.

Pengarah SPRM Terengganu, Md. Yusof Md, Zain ketika mengesahkan perkara itu berkata, individu berkenaan merupakan salah seorang daripada tiga pemain skuad Penyu dan ujian poligraf itu dilakukan bagi mengesan sama ada pemain itu bercakap benar atau sebaliknya.

Tujuh lagi individu termasuk dua pemain skuad berkenaan tidak perlu menjalani ujian tersebut, setakat ini.

"Hanya seorang pemain saja yang perlu jalani ujian itu (poligraf) manakala yang lain-lain (tujuh lagi individu) tak buat (ujian poligraf).

"Kita memang dari dulu lagi menggunakan kaedah ini (poligraf), hanya kes-kes tertentu saja untuk mereka yang kita merasakan sangsi. Tujuannya untuk kita kesan sama ada mereka ini bercakap benar atau tidak," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Md. Yusof berkata, ujian poligraf yang dijalankan itu dikendalikan kakitangannya yang pakar dan bertauliah dalam bidang berkenaan bagi memastikan proses pengesanan penipuan individu yang disoal siasat.

Kelmarin, beliau berkata, pihaknya kemungkinan akan memanggil beberapa pemain bola sepak Terengganu yang lain bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ada pemain skuad itu menjual perlawanan.

Menurutnya, pihaknya sedia memanggil beberapa pemain lain sekiranya memerlukan untuk memberi keterangan dalam usaha membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut.

Pada masa yang sama, jelas beliau, lapan individu termasuk tiga pemain skuad itu yang sebelum ini dipanggil untuk memberi keterangan juga berkemungkinan dipanggil semula selepas ini bagi tujuan yang sama, sekiranya perlu.

No comments:

Post a Comment